Kami bersedia memberi khidmat dan sokongan moral kepada anak-anak semua bagi membina kehidupan yang lebih baik pada hari ini dan masa depan. Anggaplah kami seperti ibu sendiri sebagai tempat untuk mengadu masalah yang dihadapi.
Demikian kata-kata yang disampaikan Yang Dipertua Isteri Wakil-wakil Rakyat Terengganu (Serikandi) yang juga isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud sebagai mewakili persatuan itu, ketika menghadiri majlis bersama warga Sekolah Tunas Bakti (STB) Perempuan (P), Marang, di dewan sekolah itu, kelmarin (14 Oktober).
Hadir sama, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Encik Zuhami Omar dan Pengerusi Lembaga Pelawat STB (P) Marang, To’ Puan Zaiton Mat Amin.
To’ Puan Seri Norliza berharap supaya anak-annak di STB mampu berubah menjadi anak yang baik dan sentiasa memberi yang terbaik untuk kedua ibu bapa, sseterusnya mampu menjaddi belia yang baik dan pemimpin yang disegani pada masa depan.
“Maju dan mundur sebuah negeri pada masa depan adalah bergantung kepada aset yang merupakan belia yang ada pada hari ini, termasuk anak-anak semua. Oleh yang demikian, saya berharap, anak-anak semua dapat merenung dalam diri dan menyayangi kedua ibu bapa serta masa depan semua.
“Sekali tersilap langkah, boleh memusnahkan kehidupan. Bagaimanapun, anak-anak masih bertuah kerana walaupun ditempatkan di sini (STB), namun anak-anak masih berpeluang untuk mengubah kehidupan dan mempraktikkan segala ilmu yang diberi sepanjang di STB untuk kebaikan diri sendiri,” kata beliau.
Beliau berkata, pelajar di STB diharap terus bersemangat untuk menjalani kehidupan apabila keluar dan kembali kepada keluarga masing-masing kelak seterusnya bertekad untuk menjalani hidup dengan cemerlang serta menjadikan setiap pengalaman pahit atau manis sebagai pengajaran yang berguna.
To’ Puan Seri Norliza kemudiannya menyampaikan cenderahati kepada sebahagian daripada pelajar STB sempena majlis itu.
Seramai 172 pelajar ditempatkan di sekolah yang ditubuhkan sejak 2003 itu menerusi pengawasan JKM yang melibatkan 166 pelajar Melayu, empat India dan dua Cina.
TEGANUKITA