Halaman

13 March 2011

MID bantu masyarakat luar bandar dalami ICT

Oleh: Suriati Ali



TDM Plantation Sdn Bhd (TDMP) berusaha membantu hasrat kerajaan mempromosi penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), di kalangan masyarakat luar bandar, dengan mengambil inisiatif membina Medan Infodesa (MID) Ladang Tayor, Setiu.

MID cukup berguna kepada penduduk di kawasan itu untuk mengadakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan selain mempelajari bidang ICT secara mendalam.

Pengerusi TDM Berhad, Datuk Haji Ruslan Awang Chik, berkata pembinaan MID adalah sebahagian daripada tanggungjawab pihaknya dalam usaha membantu kerajaan mencapai matlamat penggunaan ICT di kawasan pendalaman selain merapatkan jurang digital antara luar bandar dan bandar.

“Program Infodesa juga dirancang secara spesifik untuk mencapai objektif kementerian. Oleh itu, pihaknya memerlukan masyarakat berkualiti, berkemahiran, berpengetahuan, kreatif dan berinovatif yang merupakan teras mencapai matlamat menjadi negara maju,” katanya.

TDM Berhad yang tersenarai di Papan Utama Bursa Malaysia, merupakan syarikat pegangan pelaburan milik Terengganu dengan kecekapan teras dalam sektor perladangan dan penjagaan kesihatan.




Terengganu jadi hub pelaburan

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri berhasrat menjadikan Terengganu sebagai hub pelaburan yang berkompetitif di rantau Asia dengan melaksanakan pelbagai pendekatan dan perubahan supaya lebih banyak syarikat tempatan dan asing menyatakan minat untuk melabur.

Program promosi pelaburan dan menaiktaraf infrastruktur di kawasan sedia ada giat dijalankan manakala lokasi berpotensi sebagai kawasan perindustrian akan terus dikenalpasti dan diselia bagi memastikan mendapat keuntungan.

Berdasarkan perangkaan yang dicatatkan Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN) dan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) sebanyak RM2.8 bilion pelaburan dicatatkan pada tahun lalu, membabitkan 42 projek bermutu tinggi.

Sebanyak RM2.1 bilion melibatkan pelaburan tempatan dan RM217 juta adalah pelaburan asing yang yang berminat melabur di pelbagai lokasi di Terengganu.

Kawasan perindustrian Kerteh menjadi lokasi paling popular pelabur, diikuti daerah Kemaman, Kuala Terengganu, Telok Kalong, Cheneh Baru Ketengah, Wakaf Tapai dan Batu Rakit.

Kawasan Kerteh dan Kemaman menjadi lokasi pilihan berikutan terdapat bahan mentah seperti petroleum, petrokimia, salika, minyak dan gas asli.

Seramai 7,349 peluang pekerjaan dapat ditawarkan kepada rakyat terutama golongan belia dan graduan Institut Pengajian Tinggi (IPT) Awam serta Swasta hasil daripada pelaburan itu.



Rakyat sudah bijak memilih

Oleh: Suriati Ali dan Hazwan Roslee

“Rakyat hari ini sudah pandai membuat keputusan sama ada untuk memilih parti yang boleh membawa perubahan kepada kehidupan mereka atau sebaliknya.

“Ini sudah terbukti apabila Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan besar dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau dan DUN Kerdau baru ini-ini,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Katanya, senario itu juga membuktikan keyakinan tinggi rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

“Saya percaya BN Terengganu akan memperoleh kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum (PRU 13) akan datang.

“Pelbagai bantuan sudah diagihkan kepada rakyat termasuk bantuan pendidikan, kebajikan dan sebagainya. InsyaAllah, rakyat akan bijak memilih,” katanya ketika berucap di Majlis Program Sehari Bersama YAB Menteri Besar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura, di Dewan Majlis Daerah Dungun, semalam (12 Mac).

Menurutnya, rakyat sudah beri percubaan kepada Pas pada 1999, tapi malangnya parti itu tidak mampu melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

“Umno sentiasa bersedia berjuang untuk mempertahankan hak rakyat, tetapi Pas hanya untuk kepentingan diri sendiri selain untuk memperoleh kemenangan pilihan raya.

“Kekuatan Umno hari ini adalah hasil sokongan dan bantuan kerajaan pusat yang sentiasa prihatin mengenai apa jua masalah,” katanya.

Katanya, sebelum lahir lagi, seseorang insan itu sudah mendapat bantuan daripada kerajaan termasuk penjagaan rapi dari Klinik Desa atau Klinik Kesihatan berhampiran kediaman masing-masing.

“Jika ada mana-mana individu mendakwa tidak pernah mendapat bantuan, ia adalah satu perbohongan besar,” katanya.

Menurutnya, pembangunan untuk rakayat akan diteruskan semata-mata untuk keselesaan dan menjana ekonomi Terengganu.



FORUM TIADA SAMBUTAN

Malang bagi pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir kerana ceramah dalam bentuk forum yang mereka anjurkan malam tadi di Kampung Bukit Tok Beng (Jalan ke Lapangan Terbang) tidak ramai yang hadir sedangkan dua orang Ahli Parlimen (pembangkang) diundang.

Walaupun mereka cuba mengaitkan kehadiran sama Ahli Parlimen BN Kuala Nerus dan Ahli Dewan Undangan Negeri (BN) Seberang Takir menyertai program itu bagi meramaikan kehadiran, tetapi masyarakat sekitar faham helah dan pembohongan parti itu.

Wakil DAP pun tidak dijemput menyertai forum/ceramah itu walaupun di dalam program itu mereka menyatakan pakatan mereka terdiri daripada PKR, Pas dan DAP untuk menjadi alternative kepada BN bagi memerintah negara.

Jelas, mereka tidak berani menampilkan penglibatan DAP dalam pakatan mereka di negeri Terengganu.

Difahamkan penyokong-penyokong Pas di DUN Seberang Takir sendiri tidak begitu ‘seronok’ dengan program itu yang diurus oleh PKR.

Hanya bendera PKR yang kelihatan dan tidak ada bendera Pas dinaikkan.
Keadaan ini jelas menggambarkan ketidak sepakatan pakatan pembangkang (PKR,Pas dan DAP) dalam Dun Seberang Takir, mungkin kerana perebutan calon sesama mereka belum selesai.

Dalam pilihanraya umum yang lalu, Pas yang begitu beria-ia untuk menjadi calon bagi pihak pembangkang terpaksa berputih mata apabila kerusi Dun Seberang Takir dapat kepada PKR, tetapi calon PKR Muzafeq Mamat tewas teruk kepada calon BN, Haji Ahmad Razif Abdul Rahman.

PEMIMPIN BERSAMA RAKYAT DI DUN SURA

Oleh: Ruslan Abdul Rahman, Gambar-gambar: Hazwan Rosli



Menemui rakyat di pelbagai lapisan dan peringkat sudah menjadi amalan biasa pemimpin nombor satu negeri, Dato’ Seri Ahmad bin Said.



Semalam (Sabtu, 12 Mac 2011) beliau besama isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud berkunjung menemui penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri, Sura, Dungun.




Sempena dengan lawatan itu, Menteri Besar telah menemui golongan tua dan uzur, memberi bantuan kerusi roda, membaiki atap rumah golongan miskin, menyampaikan anugerah dan bantuan pakaian sekolah serta komputer kepada pelajar, melawat pantai Teluk Lipat dan bermesra dengan golongan belia melalui perlawanan futsal.

Sempena dengan pendekatan 1 Malaysia, Dato’ Seri Ahmad bertemu dan bermesra dengan masyarakat Tionghua di kawasan berkenaan.



Mengiringi beliau ialah Pegawai Pembangunan DUN Sura, Dato’ Dr.Rosli Mat Hassan yang juga Ketua Umno Bahagian Dungun, wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dalam Parlimen Dungun dan saf kempimpinan Parlimen/Bahagian Dungun.



Rakyat gembira dan bangga memperolehi pemimpin yang berjiwa rakyat dengan meletakkan kepentingan dan keutamaan rakyat mengatasi kepentingan yang lain berkonsepkan “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan”.



Institut Khat bakal dibina di TTI

Oleh: Esah Abdullah


Ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja, Tengku Sri Bendahara Raja ketika merasmikan Inspirasi Seni Khat di TTI, Kuala Terengganu. - Gambar oleh Harish Fadzillah.

Sebuah Institut Khat terulung di Asia bakal dibina di Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man dan akan menjadi tempat rujukan khat di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.



“Untuk merealisasikan hasrat berkenaan pihak pengurusan TTI akan menyiapkan kertas kerja sebelum pelaksanaan pembangunan institut berkenaan berjalan,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abdul Rahman.



Menurut Haji Ahmad Razif, pembinaan institut berkenaan akan menjadi mercu tanda baru bagi kerajaan negeri dan untuk peringkat permulaan, Geleri Khat di Institut Al-Quran (IQ) di Padang Midin akan dipindahkan ke TTI.

Namun begitu katanya, pembinaan institut berkenaan akan mengambil kira semua aspek termasuk kajian, sejarah dan ketamadunan bagi memastikan ianya relevan.



“Penyediaan kertas kerja juga perlu berpandukan beberapa institut yang ada di luar negara seperti di Mesir dan Turki,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Inspirasi Seni Khat di TTI semalam.

Ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja, Tengku Sri Bendahara Raja telah merasmikan majlis tersebut dan turut dihadiri Setiausaha Kerajaan , Dato’ Mazlan Ngah dan Ahli Lembaga Pengarah TTI Management Sdn Bhd, Datuk Zubir Embong.


Kedai runcit dan bengkel automotif dipermodenkan

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan memperkenalkan dua program iaitu ‘Transformasi Kedai Runcit (Tukar) dan Pemodenan Bengkel Automotif (Atom) untuk memodenkan peruncit dan pengusaha bengkel di negeri ini.



Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. A. Rahman Mokhtar berkata, program Tukar bertujuan memodenkan pekedai runcit tradisional serta meningkatkan daya saing dalam persekitaran peruncitan yang kompetitif.

Manakala di bawah program Atom untuk mentransformasikan sektor perkhidmatan dan pembaikan automotif yang bertaburan dan tidak tersusun.

“Program ini memberi penekanan kepada peruncit dan pengusaha bengkel yang memenuhi syarat kelayakkan yang ditetapkan oleh Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Terengganu (PPDNKK),” katanya.

Katanya, kementerian menetapkan kuota untuk PPDNKK melaksanakan 28 premis Tukar dan 16 premis Atom dan tiga pihak terbabit dalam program ini ialah PPDNKK (pemudahcara), Mydin/Carrefour (konsultan) dan Bank Rakyat (pembiaya).

“Proses pelaksanaan akan melalui lima fasa iaitu pemilihan premis/peserta; cadangan ubahsuai/kajian; semakan kedudukan kewangan premis, pemilihan premis yang layak dan akhirnya keputusan mesyuarat pelaksana,” katanya.

Menurutnya, setiap peserta yang berjaya, layak mendapat pinjaman antara RM20,000 hingga RM75,000 daripada Bank Rakyat dengan kadar keuntungan tiga peratus setahun.

“PPDNKK akan berusaha mencapai matlamat melalui kuota yang diberikan dalam tempoh yang ditetapkan iaitu pada Jun depan,” katanya.

Setakat ini katanya, prestasi program sudah 25 peratus siap dan mendapat maklum balas 46 premis peruncit dan 31 premis bengkel seluruh negeri dan pemilihan akan dibuat pada akhir bulan ini.

“Walaupun mendapat sambutan tinggi dari peruncit dan pemilik bengkel berbanding kuota yang ditetapkan, hanya peserta yang benar-benar memenuhi syarat sahaja akan diberi keutamaan,” katanya.




Pencapaian PSJL dipertingkatkan

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan negeri akan mempertingkatkan capaian Perkhidmatan Selular dan Jalur Lebar (PSJL) di seluruh negeri melalui strategi pembangunan yang seimbang untuk kesejahteraan rakyat.



“Sasaran utama kerajaan adalah memastikan tahap liputan 97 peratus telefon selular di kawasan berpenduduk sepanjang tahun ini,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib.

Katanya, kerajaan juga akan pastikan penetrasi isirumah perkhidmatan Jalur Lebar mencapai 50 peratus menjelang 2012 serta mengukuhkan kedudukan negeri sebagai hab ICT di Pantai Timur.

Datuk Za’abar berkata, usaha-usaha ke arah merangsang sumber pertumbuhan baru dalam sektor ICT melalui jaringan telekomunikasi seiring dengan perancangan pembangunan yang sistematik.

Selain itu katanya, usaha mempercepatkan pembudayaan e-Pentadbiran dan e-Pembelajaran akan membuka ruang dan peluang pembabitan seluruh rakyat dalam dan luar bandar.

“Untuk mewujudkan keseimbangan, kerajaan akan melaksanakan program penyediaan jaringan gentian fiber optik dan jalur lebar (broadband) di seluruh negeri,” katanya.

Usaha sedemikian juga adalah untuk melengkapkan agenda kepimpinan kerajaan negeri berasaskan slogan ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan.




12 March 2011

BUKTI PEMIMPIN PAS KAITKAN ISLAM, SYURGA DENGAN PAS.



Oleh: Putera Pesisir Air
Isu Pas menjual atau merasuahkan syurga bukanlah baru, walaupun Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat cuba menafikan dan mencabar Mufti Perak Tan Sri Harussani membuktikannya.
Datuk Nik Abdul Aziz dilaporkan telah menghantar surat rasmi menyatakan hasrat mahu bertemu dengan mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Surat yang dihantar antara lain mahu mufti Perak itu menjelaskan kenyataannya sebelum ini yang mendakwa Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan, pernah berkata 'undi PAS masuk syurga'.

Tulisan mufti itu disiarkan oleh akhbar Mingguan Malaysia 6 Mac lalu, iaitu hari pengundian bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kerdau dan Merlimau.

"Saya memohon supaya beliau menjelaskan bilakah saya menyatakan bahawa undi PAS masuk syurga," katanya melalui Facebook hari ini.
Nik Aziz sebenarnya pernah mengatakan mengucap syahadah adalah sama dengan Pas…dan itulah sebenarnya bermakna menyokong Pas itu Islam, mengucap dua kalimah syahadah dan masuk syurga.
Beliau (Nik Aziz) juga pernah berkata, masuk Islam tu samalah dengan masuk Pas.
Petikan ceramah Nik Aziz di Kota Bharu pada Februari 1999:
“Islam ni hadirin semua, kalau kita reti sungguh, ugut setara mana, bodek setara mana, beri setara mana…dia jadi seperti Bilal. Bilal, gode (pukul), dumm..Ahad (satu),Dumm gode…Ahad. Jemur tengah panas .. Ahad! Ahad makna Tuhan so (satu).
Bilal ni jadi kuli bagi seorang tauke Mekah, kafir. Sebab nok marah do’oh, masuk Islam ni, dera tengah panas. Sudah dera tengah panas, ambil batu panas pula letak atas perut, tapi mulut duduk kata…Ahad..Ahad..Ahad. Ahad itu kalu loni gak ialah, Pas..Pas..Pas!”
Dalam satu ceramah lain di Kampung Delima, Wakaf Bharu pada 14 September 1999, Nik Aziz berkata, masuk Pas itu seolah-olah memeluk Islam. Inilah petikan kata-kata Nik Aziz:
“Ketika tu, Nabi kita rebut peluang g dakwah doh dan Nabi cari ore-ore (orang) Madinah. Royak memperkenalkan diri gini-gini mengenai Islam, yang menyebabkan tiap-tiap tahun ore Madinah sampai di Mekah di Mina tu, ada sokmo ore hok masuk Islam. Masuk Pas lah kita panggil masuk Islam. Haa..gitu duduk…”
Itu di peringkat Nik Aziz..di peringkat pemimpin dan penceramah Pas pun sama jugalah.
Ustaz Bunyamin dalam ceramahnya pada 20 September 1999 di Kedai Peringat Kelantan:
“Kedai Melor, Kedai Peringat, Kubang Kerian Kota Bharu, puak kita kena pakat ingat, pilihanraya akan datang mapus Umno Baru.
Kubang Kerian Kota Bharu, Pasir Tumboh Kedai Melor, bakpo Umno Baru kita nok buang, pasal puak dia parti gila.
Wau wau bule, wau bule teraju tiga, jangan sokong parti setan, mati seksok, mapus masuk nerako
Wau wau bule, wau bule teraju tiga, sokong Parti Islam Semalaysia, mati seksok masuk syurga.
Ustaz Ismail Kamus pada 18 Ogos 1999 sewaktu ceramah di Sementa berkata bahawa masuk Pas boleh terlepas dari soalan malaikat dalam kubur. Petikannya sebagaimana berikut:
“Akhirnya tua-tuan jangan lepas peluang strat besok boleh masuk Pas belaka, isi borang jangan tunggu lusa bimbang lusa mati tidak dapat masuk Pas. Pasal apa? Besok malaikat tanya dalam kubur siapa Tuhan kamu, nak jawab apa? Apa agamaku nak jawab apa? Sekarang soalan dalam kubur kan dah bocor. Dan bocor dah. Semua tahu sudah soalan. Nak jawab al-Quran imam tak tahu dia. Al- perlembagaan al Malaysia imami, siapa saudaramu? Bumiputera…Ha…tu!! Dengan demikian tuan-tuan jangan lepas peluang , hari ni saja, besok sudah tak ada lagi”.
Presiden Pas, Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang juga tidak boleh lepas tangan terhadap isu masuk Pas,masuk syurga, melalui amanat atau ucapannya di Banggol Peradong pada tahun 1981, mengkafirkan orang Umno secara terang dan nyata.
Bahkan dalam ucapannya, melawan orang Umno itu mati syahid.
Ucapan dan amanat Haji Hadi bukan rekaan dan diakui sendiri oleh Haji Hadi dalam wawacara dengan Malaysiakini pada 5 Jun 2001.
Petikan wawancara adalah seperti berikut;
Malaysiakini: Boleh Tuan Guru menerangkan bagaimana timbulnya amanat Hadi itu?
Haji Hadi : Sebenarnya itu adalah petikan daripada ucapan saya apabila hadir pada satu majlis di Banggol Peradong dan polis mengepung majlis tersebut. Pada waktu itu, saya berumur 30 an, sudah tentu berapi-api saya bercakap, Tidak lama kemudian bekas Menteri Besar (Tan Sri Wan Mokhtar) telah membaca ucapansaya itu dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu dan bertanya kepada saya sama ada itu ucapan saya. Saya menjawab, ya. Selepas itu, seorang Hamba Allah mengambil ucapan itu, dibukukannya dan sekarang ini jadilah Amanat Hadi.
Sebenarnya memang banyak ucapan pemimpin, penceramah dan penceramah Pas dengan menyamakan sokong Pas itu sama dengan menyokong Islam, maka sudah pasti Islam itu membawa ke syurga dan menentang Islam itu membawa ke neraka dan menentang orang-orang yang memusuhi Islam atau Pas itu syahid dan masuk ke syurga.
Oleh itu, apa yang disebut oleh Mufti Perak itu bukannya suatu rekaan dan andaianya semata-mata.






Penganjur pameran mistik perlu bincang Majlis Fatwa Kebangsaan

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Pelbagai pihak yang ingin menganjurkan pameran mistik atau sebarang bentuk pameran yang dikhuatiri boleh menimbulkan kontroversi, perlu mendapatkan pandangan daripada Majlis Fatwa Kebangsaan terlebih dahulu, sebelum membuat sebarang hebahan mengenai cadangan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat, berkata dari satu sudut pihak penganjur mungkin mempunyai niat yang baik untuk menonjolkan sesuatu perkara seperti mistik atau penyalahgunaan dadah bagi menyedarkan orang ramai agar mereka tidak terlibat dengan perkara-perkara yang dilarang oleh agama.

“Bagaimanapun, Majlis Fatwa Kebangsaan mempunyai pandangan dari sudut lain di mana mereka mengambil kira perkara negatif lebih banyak daripada positif, menyebabkan mereka melarang sesuatu pameran itu dilakukan,” katanya.


Pameran mistik atau sebarang bentuk pameran yang dikhuatiri boleh menimbulkan kontroversi, perlu mendapatkan pandangan daripada Majlis Fatwa Kebangsaan terlebih dahulu. - (Gambar Hiasan)

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan syarikat Dynasty Event Sdn Bhd untuk mengadakan pameran alam mistik di Dataran Shahbandar pada bulan depan.

Buat masa ini, kerajaan negeri akan melihat secara terperinci sebelum membuat sebarang keputusan berhubung pameran tersebut yang dikatakan bercanggah dengan keputusan yang dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Sebelum ini, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pihaknya akan mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) sebelum meluluskan pameran itu.

Mengikut laporan akhbar Kosmo baru-baru ini, Setiausaha Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata jawatankuasa itu sudah membuat ketetapan sejak 2007 bahawa pameran seperti itu adalah haram diadakan kerana tidak mahu masyarakat Islam disogok dengan perkara tahyul dan khurafat.

Haji Khazan berkata, masalah itu tidak akan timbul jika syarikat berkenaan berbincang dengan Majlis Fatwa Kebangsaan terlebih dahulu sebelum menghebahkannya kepada orang ramai.

“Jika didapati hasrat mengadakan pameran itu tidak mendapat izin majlis berkenaan, pihak penganjur tidak perlu meneruskannya kerana ia menimbulkan pelbagai masalah,” tambahnya.