Halaman

24 March 2011

Hentikan segera tabiat buruk buang sampah di sungai

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Tabiat buruk segelintir masyarakat tempatan yang gemar membuang sampah di dalam sungai perlu dihentikan segera bagi memastikan sungai-sungai di negeri ini tidak terus tercemar, sekaligus menyebabkan kemusnahan ekologi dan hidupan sungai.

Jika tabiat itu terus menjadi amalan, generasi akan datang pasti mengutuk masyarakat kita kerana kealpaan kita memulihara anugerah Ilahi ini.

Bukan itu saja, kerajaan negeri terpaksa mengeluarkan peruntukan besar setiap tahun bagi membersihkan sungai-sungai di seluruh negeri yang dipenuhi dengan sampah-sarap yang dibuang mereka tidak bertanggungjawab.

Buktinya, kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memasang 30 perangkap sampah di sungai-sungai tertentu membabitkan kos RM1 juta pada tahun lalu.

Mengikut laporan baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar Negeri, YB Toh Chin Yaw, berkata semua perangkap itu dipasang di laluan utama air sepanjang Sungai Terengganu bagi memerangkap pelbagai jenis sampah yang dibuang pihak tidak bertanggungjawab.

Langkah itu bukan sahaja bertujuan mengindahkan sungai, tetapi turut berfungsi bagi mengelakkan kejadian banjir, terutama di kawasan rendah.

Tga jenis perangkap sampah yang dipasang itu dikenali sebagai `Grass Polutant Trap’ (GPT), `Modular Floating Rubish Trap’ (MFRT) dan `Anti Back Flow Rubish Trap’ (ART).

Antara lokasi yang dipasang perangkap itu ialah Alor Lorong Jamil, Alur Chabang Tiga, Alur Hiliran, Alur Manir, Alur Buloh, Alur Sekati, Parit Tok Adis, Alur Tok Molor, Alur Guruh Telok Pasu, Parit Sungai Pinang, Sungai Paloh, Alur Manir dan Alur Buluh Duri Bukit Tunggal.

Perangkap sampah itu turut dipasang di sepanjang Sungai Kuala Ibai dan beberapa longkang utama di kawasan Chendering, Kuala Terengganu.

Alangkah baiknya jika masyarakat kita tidak membuang sampah di dalam sungai dan peruntukan bagi tujuan itu dialihkan bagi tujuan lain yang memberi faedah penduduk negeri ini.

Rakyat perlu memikirkan saranan ini kerana agama sendiri melarang kita mengotori sungai yang dijadikan Tuhan bagi pelbagai tujuan seperti pengairan untuk pertanian dan hidupannya di dalamnya boleh diambil sebagai sumber rezeki.

Pelajar Tiong Hua perolehi A+ dalam Tasawwur , Pendidikan Islam

Oleh: Aida Abd Rahman

Tiga pelajar Tiong Hua, antara 17 pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 seluruh Terengganu memecah tradisi apabila masing-masing mendapat A+ dalam mata pelajaran Tasawwur Islam dan Pendidikan Islam.



Selain mengambil subjek Tassawur Islam, Wong Yujing dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman berjaya mendapat juga memperolehi A+ dalam mata pelajaran Bahasa Melayu (BM), Bahasa Inggeris (BI), Pendidikan Moral, Sejarah, Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi.
Pelajar yang berasal dari Kampung Gong Badak itu mula meminati mata pelajaran Tasawwur Islam kerana dipengaruhi oleh pergaulan dengan rakan-rakan yang majoriti adalah beragama Islam.

Sejak Tingkatan Empat, dia mula mengikuti mata pelajaran itu dengan dorongan rakan-rakan beragama Islam selain ibu bapanya yang langsung tidak membantah, sebaliknya juga memberi sokongan penuh. Berdasarkan faktor itu, dia bertekad untuk melakukan lebih baik berbanding rakan-rakan yang lain.

“Apa yang penting kita perlu memahami subjek yang diambil untuk menghasilkan kecemerlangan dalam peperiksaan. Sebagaimana konsep 1 Malaysia, saya merasakan tiada halangan untuk saya turut sama bersama rakan Islam yang lain belajar subjek itu.
“Mereka belajar sejak kecil dan saya mendapat bantuan rakan-rakan serta guru selain mentelaah sendiri subjek itu dengan menggunakan buka teks,” katanya.

Manakala Lim Fang Sheng, dari SMK Sultan Ismail 2, Kemaman memperolehi 9 A+ untuk semua mata pelajaran yang diambil melibatkan Pendidikan Islam, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi.

Sebagaimana kejayaan Lim, Goh Chow Ching, dari SMK Tengku Mahmud, Besut juga memperolehi 9A+ dalam semua mata pelajaran diambilnya termasuk Pendidikan Islam.



Dalam keputusan SPM yang diumumkan serentak semalam, Terengganu terus melakar kecemerlangan apabila gred purata negeri mencapai 5.03 bagi 2010 berbanding 5.17 tahun sebelumnya.

Pengecilan nilai gred purata negeri menunjukkan prestasi keseluruhan meningkat. Malah, peratusan calon yang memperolehi A ( kombinasi A+, A dan A-) dalam semua subjek yang diambil meningkat 0.5 peratus daripada 1.31 peratus (283 calon) pada 2009 kepada 1.88 peratus (405 calon) daripada keseluruhan 23,561 calon pada 2010.

Selain itu, peningkatan juga direkodkan dalam peratusan calon yang lulus semua subjek, iaitu 2.96 peratus daripada 53.58 peratus (11,601 calon) pada 2009 kepada 56.54 peratus (12,182 calon) pada 2010.

Pengarah Pelajaran Terengganu, Encik Razali Daud, berkata bilangan pelajar yang memperolehi keseluruhan A atau Gred Cemerlang Tertinggi (A+) juga menunjukkan peningkatan ketara daripada hanya lima pelajar pada 2009 melonjak kepada 17 pelajar pada 2010.



Daripada 17 pelajar, empat daripadanya merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tok Jiring, tiga pelajar daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman (Kuala Terengganu dan dua pelajar masing-masing dari Sekolah Menengah Sains Kuala Terengganu dan SMK Sultan Ismail 2 (Kemaman).

Sementara enam pelajar lagi, masing-masing seorang daripada SMA Atas Sultan Zainal Abidin, SMK Tengku Lela Segara (Marang), SMK Lembah Bidong ( Setiu), SM Sains Sultan Mahmud (Kuala Terengganu), SMK Rantau Petronas (Kemaman) dan SMK Tengku Mahmud, Besut.



23 March 2011

Anak yatim, anak buruh kilang muncul antara pelajar cemerlang SPM 2010

Oleh: Aida Abd Rahman


Sesi Interview Pelajar Cemerlang SPM 2010

Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 yang diumumkan hari ini (23 Mac) membuktikan Terengganu terus cemerlang apabila 17 pelajar diumumkan mendapat keseluruhan A+ dalam setiap subjek yang diambil berbanding hanya lima pelajar pada 2009.

Seorang daripada pelajar cemerlang itu, Faizah Omar, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tok Jiring, Kuala Terengganu mempunyai kisah menarik di sebalik kejayaannya memperolehi 11A+ dalam peperiksaan itu.

Faizah yang ditemani ibunya, Farinah Tan Abdullah, 54, dari Kampung Teluk Pasu, Manir, berkata dia memberi tumpuan penuh dan berusaha dengan gigih dalam pelajaran serta mengambil keputusan untuk tidak mengikuti tuisyen di luar sekolah kerana yakin dengan sistem dan perancangan yang dilaksanakan pihak sekolah dalam memastikan kejayaan pelajar-pelajarnya.


17 pelajar yang telah mengharumkan nama negeri dengan mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM 2010. - Foto : Haris Fadzillah.

“Saya sentiasa mengikut arahan dan pesanan guru selain sentiasa meluangkan masa bertanya guru apabila timbul masalah dalam pelajaran. Selain tekun belajar, saya juga tidak lupa menyuburkan jiwa dengan solat hajat dan sentiasa mengamalkan bacaan Yaasin sebagai amalan harian,” katanya.

Anak bongsu daripada sembilan beradik itu juga menjadikan ibunya, seorang ibu tunggal sebagai sumber inspirasi dan dorongan paling kuat untuknya menghasilkan kejayaan.

Katanya, kejayaan itu sebagai hadiah berharga supaya ibunya gembira selain tidak mahu menghampakan harapan wanita gigih yang sudah banyak berkorban demi membesarkan dia dan lapan adik beradik yang lain itu, selepas kematian bapa akibat penyakit tumor 11 tahun lalu.

“Kejayaan semua abang dan kakak dalam pelajaran dan kebanyakannya sudah menjawat jawatan yang baik dalam profesion masing-masing juga mendorong saya untuk meneruskan kesinambungan kejayaan itu,” katanya.

Anak pertama dalam keluarga Faizah bekerja sebagai guru di Kelang, kedua pengurus besar (syarikat swasta), anak ketiga hingga kelima bekerja sebagai jurutera di syarikat korporat, keenam pelajar Universiti Teknologi Mara dan sedang menjalani praktikal di Hospital Selayang, ketujuh pelajar perubatan (Universiti di Poland) dan kelapan belajar di Universiti Perguruan Sultan Idris.

Sementara ibu Faizah, Farinah berkata selain didikan agama dan sentiasa mendekati anak-anaknya untuk memberi perangsang mereka belajar dengan baik, dia juga tidak pernah memberikan sebarang ganjaran apabila anak-anaknya menunjukkan keputusan yang cemerlang dalam pelajaran.


YAB Dato' Seri Haji Ahmad bin Said menandatangani komputer riba hadiah dari kerajaan negeri untuk pelajar cemerlang SPM.

“Saya tidak pernah memberikan sebarang habuan atas kejayaan anak-anak. Mereka buat dengan gigih dan ikhlas tanpa apa-apa balasan dan Alhamdulillah anak bongsu saya meneruskan kejayaan itu. Inilah hadiah pertama yang diterima dan diberikan kepada saya, “ katanya sambil merujuk hadiah komputer riba yang baru diterima Faizah daripada Menteri Besar sebagai anugerah berikutan kecemerlangan dalam peperiksaan itu.



Kegembiraan itu turut dikongsi rakan baiknya, Nur Zulaikha Ismail, juga pelajar SMKA Tok Jiring yang turut mendapat 11A+ serta muncul antara pelajar terbaik SPM 2010 seluruh negara.



“Saya tetapkan azam dan tekad untuk berjaya demi menggembirakan kedua-dua ibu bapa. Bapa, Ismail Othman, 52, bekerja sebagai buruh di Kilang Papan Wakaf Tengah, sementara ibu, Rudina Awang, 48, hanya seorang surirumah adalah pendorong utama saya untuk mencipta kejayaan ini.

“Saya tidak mahu menjadikan kesusahan hidup sebagai penghalang kejayaan dan menganggap kekayaan bukanlah cagaran untuk menempa kejayaan. Saya juga bertekad untuk membaiki kehidupan dan keluarga pada masa depan,” katanya yang memberi tumpuan penuh kepada peperiksaan SPM sejak Tingkatan Empat lagi.



Terengganu kekal cemerlang SPM

Oleh: Aida Abd Rahman


Menteri Besar, Dato Seri Haji Ahmad Said bersama pelajar cemerlang SPM Terengganu. - Foto: Harish Fadzillah.

Terengganu terus melakar kecemerlangan dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 yang diumumkan serentak hari ini, apabila gred purata negeri mencapai 5.03 bagi 2010 berbanding 5.17 tahun sebelumnya.

Pengecilan nilai gred purata negeri menunjukkan prestasi keseluruhan meningkat. Malah, peratusan calon yang memperolehi A ( kombinasi A+, A dan A-) dalam semua subjek yang diambil meningkat 0.5 peratus daripada 1.31 peratus (283 calon) pada 2009 kepada 1.88 peratus (405 calon).

Selain itu, peningkatan juga direkodkan dalam peratusan calon yang lulus semua subjek, iaitu 2.96 peratus daripada 53.58 peratus (11,601 calon) pada 2009 kepada 56.54 peratus (12,182 calon).



Pengarah Pelajaran Terengganu, Encik Razali Daud, berkata bilangan pelajar yang memperolehi keseluruhan A atau Gred Cemerlang Tertinggi (A+) juga menunjukkan peningkatan ketara daripada hanya lima pelajar pada 2009 melonjak kepada 17 pelajar pada 2010.

Daripada 17 pelajar, empat daripadanya merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tok Jiring, tiga pelajar daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman (Kuala Terengganu dan dua pelajar masing-masing dari Sekolah Menengah Sains Kuala Terengganu dan SMK Sultan Ismail 2 (Kemaman).



Sementara enam pelajar lagi, masing-masing seorang daripada SMA Atas Sultan Zainal Abidin, SMK Tengku Lela Segara (Marang), SMK Lemmbah Bidong ( Setiu), SM Sains Sultan Mahmud (Kuala Terengganu), SMK Rantau Petronas (Kemaman); SMK Tengku Mahmud, Besut.

“Peratus calon yang mendapat minimum C dalam semua subjek yang diambil meningkat sebanyak 0.83 peratus daripada 15.52 peratus (3,361 calon) pada 2009 kepada 16.35 peratus (3,523 calon).

“Selain itu, daripada 72 subjek yang diambil oleh calon SPM, sebanyak 49 subjek menunjukkan peningkatan dari segi gred purata berbanding hanya 33 subjek pada 2009,” katanya ketika mengumumkan keputusan SPM peringkat Terengganu, di SMKA Tok Jiring, Kuala Terengganu, hari ini (23 Mac).

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said. Beliau yang pertama kali meluangkan masa di majlis pengumuman peperiksaan awam negeri, kemudiannya menyampaikan komputer riba kepada 17 pelajar cemerlang yang memperolehi keseluruhan A dengan diiringi ibu bapa masing-masing.

Di akhir majlis, Dato’ Seri Haji Ahmad dan Encik Razali menerima kad ucapan tahniah sempena kecemerlangan SPM 2010 daripada ketua Sektor Akademik Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Haji Zubir Embong sebelum mereka menurunkan tandatangan pada kain rentang yang memaparkan kejayaan peperiksaan keputusan itu.

Encik Razali berkata, secara keseluruhannya keputusan bagi sekolah seluruh Terengganu sangat memberangsangkan dengan peningkatan dari segi lulus C, lulus subje, jumlah subjek yang meningkat dari gred mata pelajaran dan nilai gred purata negeri berbanding 2009.

“Sehubungan itu, saya bagi pihak JPNT mengucapkan tahniah kepada semua calon, ibu bapa, pengetua, guru dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru, semua warga JPNT dan pejabat pelajaran daerah serta tidak ketinggalan kepada pemimpin negeri, YAB Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said serta semau pihak yang memberi sokongan dan komitmen melalui Program pendidikan Terengganu Terbilang,” katanya.



Ukom anjur Bicara Media Ke-3 petang ini

Oleh: Kamarudin Mat Akib


YB Encik Yahya Khatib Mohamad ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh wartawan. - Foto: Syed Abdul Rahman.

Unit Komunikasi Negeri (Ukom) menganjurkan program Bicara Media kali ke-3 petang ini di Hotel Tanjong Vista, bagi memberi ruang kepada pemimpin kerajaan negeri bertemu dengan wartawan tempatan.

Tetamu kehormat bagi program kali ini ialah Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, YB Encik Yahya Khatib Mohamad, yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Terengganu.


Antara petugas media yang hadir ke program Bicara Media.

Kira-kira 30 wartawan tempatan dijangka hadir bagi mendengar penerangan mengenai portfolio yang melibatkan YB Yahya serta mengajukan pelbagai soalan berkaitan isu-isu semasa dalam kerajaan dan parti.

Ukom mula mengadakan Program Bicara Media pada 12 Januari lalu di mana tetamu undangan ialah Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang, di tempat yang sama.

Bagi program kali kedua yang diadakan pada 20 Februari, tetamu jemputan ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman.

Program tersebut diadakan bagi merapatkan hubungan antara pemimpin negeri dengan media serta memberi peluang kepada wakil media massa mendapatkan maklumat mutakhir mengenai program-program yang dilaksanakan Kerajaan Terengganu.



PPDNKK Terengganu perkenalkan program sembang pengguna

Oleh: Esah Abdullah

Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Terengganu (PPDNKKT) perkenalkan program ‘sembang pengguna’ mencari pendekatan bersama anggota masyarakat yang berkait masalah barangan keperluan harian.

“Kumpulan sasar adalah masyarakat termasuk jabatan kerajaan, pertubuhan sukarela, atau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan jawatankuasa masjid,” kata Timbalan Pengarah PPDNKKT, Encik Abdul Ghani Harun.

Katanya, program sembang tidak perlu penglibatan ramai cukup dalam kelompok yang kecil antara 10 atau 15 orang untuk mendapat maklum balas daripada orang ramai mengenai keperluan dan harga barang di tempat masing-masing.

Selain itu katanya, jabatan juga telah pelbagaikan pendekatan dengan masyarakat luar bandar, tanah rancangan, penempatan baru serta pelajar dengan berkunjung ke tempat berkenaan untuk memberi penjelasan tentang isu-isu semasa membabitkan rasionalnya kenaikan harga barang

“Semua anggota PPDNKKT di setiap daerah diarah turun kesetiap pelusuk kampung untuk beri ceramah dan pameran tentang harga barangan semasa agar tidak diekploitasi oleh orang yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Sehubungan itu katanya, kaunter aduan akan dibuka di pasar raya dan tempat awam untuk menerima sebarang aduan berkaitan dengan kenaikan harga barang, kekurangan bekalan dan sebagainya.




ECER wujud kampung baru

Oleh; Esah Abdullah

Daripada hutan tebal, kawasan Pancur Bederu, Setiu akan bertukar menjadi sebuah perkampung baru yang lengkap dengan pelbagai kemudahan prasarana dalam tempoh dua tahun dari sekarang.

“Kawasan seluas 280 hektar berkenaan akan dibangunkan di bawah Pembangunan Ekonomi Wilayah Timur (ECER) yang kini sedang dalam peringkat pembersihan kawasan,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Haji Ashaari Idris..

Katanya, projek akan dibangunkan secara berperingkat itu akan menempatkan 150 keluarga golongan miskin di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) dengan menyediakan 150 unit rumah kediaman.

Menurutnya, pelbagai kemudahan prasarana turut disediakan seperti masjid, premis perkedaian, padang permainan dan sebagainya untuk melengkapkannya sebagai sebuah perkampungan baru.

“Peserta yang terpilih tinggal di sini akan memberi tumpuan kepada Lembah Kaprima yang dibangunkan di kawasan berkenaan sebagai sumber pendapatan mereka,” katanya.

Katanya, pelaksanaan projek ini diantara usaha kerajaan untuk memberi kehidupan yang lebih sempurna kepada golongan miskin dan berharap mereka dapat perbaiki kehidupan dan terkeluar dari kepompong kemiskinan.








Pulau bebas cukai masuki fasa penyediaan pelan

Oleh: Suriati Ali

Perancangan kerajaan negeri untuk membangunkan pulau buatan manusia, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu sebagai mempusat beli belah bebas cukai kini berjalan lancar dan sudah memasuki fasa penyediaan pelan.

Jika perancangan berjalan mengikut jadual ditetapkan, lokasi membeli belah itu akan dapat disiapkan menjelang Ogos tahun depan selepas kerja-kerja asas siap sepenuhnya.

Pengurus Bahagian Pembangunan Tasik Kenyir, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Encik Omar Ismail berkata, selepas fasa yang mengambil masa setahun setengah itu selesai, segala projek untuk membangunkan pulau bebas cukai akan dimulakan secara berperingkat-peringkat.

"Peringkat penyediaan pelan ini boleh dikatakan sebagai peringkat akhir rancangan tersebut tetapi proses membuka tender tidak akan dilakukan lagi buat masa terdekat ini” katanya.

Katanya, pada masa sama, Petang Island Resort (PIR), di tasik itu, yang kini mempunyai 24 tempat penginapan, bakal menerima 26 unit tambahan bilik lagi, menjadikan 50 bilik kesemuanya apabila siap nanti.

"Kita tambah bilik dan kemudahan lain di tasik itu secara berperingkat-peringkat bergantung kepada peruntukan yang diluluskan kerajaan," katanya.





PPNT minta tubuh MPPNT

Oleh: Suriati Ali

Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT) meminta kerajaan negeri menubuhkan Majlis Pembangunan Pelancongan Negeri Terengganu (MPPNT) bagi memudahkan pelbagai pihak membuat rujukan berkaitan industri pelancongan di negeri ini.

Di samping itu segala urusan seperti menyelesaikan isu pencemaran, kepupusan batu karang dan kaedah terbaik menarik minat pelancong dapat dipermudahkan dan diselesaikan di bawah satu bumbung.

MPPNT cukup penting kerana bukan saja mampu memantap dan menyelaraskan sektor itu dengan lebih sempurna dan berkesan malah memberi imej terbaik kepada Terengganu.

Pengerusi PPNT Wan Supian Wan Ishak, berkata pihaknya mengakui, Terengganu kini mempunyai Lembaga Penggalak Pelancong Malaysia (Malaysia Tourism) atau Pejabat Kementerian Pelancongan di Terengganu, tetapi peranannya tidak begitu menyeluruh.

"Apabila MPPNT ditubuhkan, kita boleh menjemput wakil-wakil dari Sabah atau Johor bagi membantu kita merancakkan lagi industri berkaitan kerana mereka sudah mempunyai majlis berkenaan yang sudah berjalan dengan sempurna.

“Pada masa sama, industri pelancongan di Terengganu memerlukan `tagline’ atau moto bertujuan memberitahu kelebihan dan produk yang terdapat di negeri ini,” katanya.



Imbasan 3 tahun MERAKYATKAN PENTADBIRAN DAN PEMBANGUNAN

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Hari ini, 23 Mac 2011 genaplah tiga tahun Dato’ Seri Haji Ahmad Said, menerajui pemerintahan Negeri Terengganu berlandaskan “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan”. - Foto: Zulkipli Putra.

Hari ini tanggal 23 Mac 2011, maka genaplah tiga tahun Dato’ Seri Haji Ahmad Said, menerajui pemerintahan Negeri Terengganu yang berlandaskan konsep “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan”.

Seperti yang selalu disebut oleh beliau dalam ucapannya, Menteri Besar menjelaskan bahawa beliau tidak pernah bermimpi untuk menjawat jawatan tertinggi dalam kerajaan negeri itu.

Malah, semua orang tahu Dato’ Ahmad terpaksa meniti ranjau dan duri serta jalan penuh liku untuk berada pada kedudukan sekarang ini.

Sesungguhnya takdir Tuhan tiada siapa yang mampu menolak, justeru beliau diberi kepercayaan untuk memikul amanah sebagai Menteri Besar Terengganu, selepas selesai Pilihan Raya Umum ke-12.

Dato’ Seri Haji Ahmad Said, memperkenalkan konsep Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan, khusus untuk rakyat Terengganu kerana bagi beliau dalam apa jua keadaan, rakyat menjadi agenda utama.

Bermula dari situ, Menteri Besar dalam setiap ucapan beliau sentiasa mengingatkan pemimpin politik dan pegawai kanan kerajaan supaya memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Beliau memperkenalkan konsep 5M iaitu menjiwai, menghalusi, memahami, melaksana dan memantau, agar ia dihayati para pegawai dan kakitangan kerajaan.

Seawal pentadbirannya, Dato’ Ahmad yang berasal dari keluarga miskin, mengumumkan peruntukan yang besar bagi menggantikan atap rumah penduduk kampung yang bocor kerana masalah itu sering dikaitkan dengan kesusahan rakyat.

Beliau memansuhkan bayaran meter air bagi mengurangkan beban rakyat berpendapatan rendah dan memperkenalkan program ladang rakyat yang melibatkan tanaman kelapa sawit secara besar-besaran bagi menampung pendapatan keluarga yang dikategorikan miskin tegar.

Mereka yang mempunyai kawasan lapang di belakang rumah pula diberikan benih pokok kelapa sawit secara percuma untuk ditanam sebagai sumber pendapatan sampingan.

Dato’ Ahmad memperkenalkan skim bantuan RM1,000 seorang bagi setiap pelajar tingkatan enam di Terengganu. Selama ini lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang masuk ke tingkatan enam diabaikan kerana bantuan hanya tertumpu kepada mereka yang memasuki institusi pengajian tinggi.

Hasilnya begitu terserlah apabila Terengganu turut meraih kejayaan dengan mencatatkan keputusan terbaik peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) buat tahun ketiga berturut-turut mulai 2008.

Pelbagai bantuan untuk bidang pelajaran juga membolehkan Terengganu muncul sebagai negeri terbaik dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) selama 10 tahun berturut-turut serta muncul negeri terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009.

Sebagai penghargaan kepada pendidik yang bertungkus-lumus mendidik pelajar hingga lulus dengan cemerlang dalam pelbagai peperiksaan utama, kerajaan negeri menghadiahkan ‘pen drive’ kepada guru-guru.

Apa yang lebih membanggakan golongan pendidik, beliau menyampaikan sendiri buah tangan tersebut kepada setiap guru dalam program yang diatur seluruh negeri.

Dato’ Seri Ahmad menjadi wira rakyat apabila beliau memperjuangkan agar royalti minyak dipulangkan semula kepada negeri Terengganu dan permintaan itu ditunai Kerajaan Pusat.

Beliau juga menyediakan peruntukan yang besar bagi mewujudkan jelapang padi baru di beberapa kawasan di negeri ini serta memperkenalkan tanaman jagung hibrid bagi menambah pendapatan rakyat.

Menteri Besar memberi keutamaan kepada usaha menyediakan kediaman lebih selesa kepada penduduk tempatan, terutama golongan miskin dan berpendapatan rendah.

Kerajaan negeri mensasarkan untuk membina 10,000 unit rumah pelbagai jenis dalam tempoh lima tahun akan datang.

Mulai tahun lalu, kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM10 juta bagi menubuhkan Tabung Penyakit Kronik di mana rakyat yang menghidap penyakit kronik diberi wang biaya untuk menyembuhkan penyakit mereka.

Sehingga ini ramai pesakit, terutama daripada golongan miskin dan berpendapatan rendah menikmati kemudahan menerusi tabung tersebut.

Di bidang pendidikan pula, Dato’ Seri Ahmad memperkenalkan e-Book bagi meningkatkan mutu pendidikan di Terengganu, sekaligus menjadikan masyarakat negeri ini ‘celik komputer’.

Program tersebut mendapat pujian di kalangan pendidik, cendikiawan dan pemimpin kerajaan di dalam dan luar negara.

Di peringkat pra-sekolah pula, program Terengganu Brilliant Kids (TBKids) diperkenalkan bagi menarik minat kanak-kanak belajar menggunakan kemudahan Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Di segi pembangunan bandar pula, usaha-usaha sedang dilakukan bagi menyusun semula kawasan bandar Kuala Terengganu di mana Projek Pangsapuri Ladang Gemilang sudah pun siap dan diaigih kepada penduduk tempatan.

Bandar Kuala Terengganu bakal berubah wajah dengan pelaksanakan projek pembangunan Ladang Tok Pelam – Tanjung Kapur dan ‘water front’ di Kampung Cina.

Rakyat Terengganu kini sudah menikmati penerbangan terus ke Tanah Suci di mana bakal jemaah haji menaiki pesawat di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, terus ke Jeddah atau Madinah.

Terbaru, orang ramai juga berpeluang menunaikan umrah menerusi penerbangan terus dari LTSM ke Jeddah.

Menjelang Aidilfitri pula, dana khas Hari Raya dikeluarkan bagi membantu golongan miskin dan berpendapatan rendah membeli keperluan bagi menyambut hari lebaran.

Masyarakat Tionghua yang layak turut berpeluang menikmati bantuan khas RM300 setiap orang, setiap kali menyambut Tahun Baru Cina.

Kerajaan negeri memutuskan untuk membuka semula Lombong Bukit Besi jika kajian mengenai jumlah kandungan bijih yang terdapat di kawasan itu mampu menghasilkan pendapatan tinggi.

Melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), T’Shoppe dibuka bagi memasarkan produk Industri Kecil Sederhana (IKS) tempatan dengan sasaran 90 buah rangkaian kedai T’Shoppe akan beroperasi di seluruh negara sehingga 2013.

Di bidang pelancongan, usaha-usaha dilakukan bagi meningkatkan sumbangan industri berkenaan agar Terengganu tidak bergantung kepada bidang petroleum semata-mata.
Tasik Kenyir dimajukan dengan projek Kenyir Island Hopping (KIH) yang meliputi pembangunan 10 buah pulau di utara Pengkalan Gawi.

Antara taman yang dibina termasuk Taman Rama-Rama, Taman Burung, Taman Orkid, Taman Herba dan Taman Tropika.

Santuari Kelah turut diwujudkan di tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara itu bagi mempelbagaikan aktiviti mereka yang melancong ke situ.

Artifak purba berupa rangka manusia berusia 16,000 tahun yang ditemui di Gua Bewah akan dikekalkan di situ, sebagai daya tarikan pelancong ke Tasik Kenyir.

Pembinaan Taman Rekreasi dan Zoo di Bukit Takal, Kemaman pula kini menjadi destinasi pilihan baru pelancong ke Terengganu.

Manakala aktiviti ‘river cruise’ di Taman Tamadun Islam, menjadi satu tarikan orang ramai ke taman tema tersebut, sekaligus membantu meningkatkan kedatangan pelancong ke Terengganu.

Dengan kesungguhan Menteri Besar membela nasib rakyat dan kesederhanaan beliau sejak dahulu hingga sekarang, sokongan kepada Kerajaan Barisan Nasional semakin meningkat.

Bagi membalas sokongan rakyat itu, kerajaan BN pimpinan Dato’ Seri Ahmad akan terus merancang pelbagai program bagi kesejahteraan dan kepetingan rakyat Terengganu.

Dalam setiap kali ucapannya, Menteri Besar berkata, pihaknya tidak mengharapkan apa-apa balasan dari rakyat, cuma satu saja permintaan iaitu “UNDILAH BN BILA TIBA PILIHAN RAYA”.