Halaman

14 April 2011

Enam cawangan baru Ar-Rahnu seluruh negara

Oleh: Aida Abd Rahman

Dalam usaha menggalakkan rakyat menggunakan perkhidmatan gadaiansecara Islam, Bank Rakyat mensasarkan untuk membuka enam lagi cawangan baru Ar-Rahnu di seluruh negara pada tahun ini.Antara lokasi cawangan baru yang dikenal pasti adalah di Muar, Alor Setar, Melaka dan Mentakab.

"Produk perkhidmatan Ar-Rahnu banyak membantu masyarakat dan berdasarkan sambutan yang menggalakkan yang ditunjukkan oleh pelanggan, pengurusan Bank Rakyat sudah meluluskan pembukaan enam cawangan baru Ar-Rahnu pada tahun ini. Empat kawasan sudahpun dikenal pasti dan dua lagi kawasan akan diputuskan kemudian," kata Penolong Pengurus Besar Operasi Cawangan, Encik Baharom Embi di majlis penyerahan wang zakat perniagaan Bank Rakyat 2010 untuk Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).
Bank Rakyat menyampaikan cek berjumlah RM1,057,655 juta kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said. Hadir sama, Setiuasaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Tuan Haji Wan Harujan Sulaiman.

Encik Baharom berkata, perkhidmatan Ar-Rahnu yang bermula sejak 1993 terdapat di semua 127 cawangan seluruh negara mendapat sambutan yang amat baik di kalangan penduduk Pantai Timur.

Selain 127 cawangan yang menyediakan perkhidmatan Ar-Rahnu, Bank Rakyat juga membuka perkhidmatan atau kedai di luar serta francais menerusi Bank Rakyat Management Services yang bertindak sebagai subsidiari di 17 cawangan koperasi seluruh negeri.

Katanya, untuk menampung permintaan pelanggan terhadap perkhidmatan itu, Bank Rakyat juga merancang untuk menambah lima lagi cawangan perniagaan francais Ar-Rahnu X'Change pada tahun ini.





Sasar peningkatan zakat RM4 juta berbanding tahun lalu

Oleh: Aida Abd Rahman

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) mensasarkan kutipan zakat mampu mencapai jumlah sehingga RM80 juta pada tahun ini, berbanding RM76 juta pada tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Tuan Haji Wan Harujan Sulaiman, berkata jumlah itu meningkat RM4 juta berbanding 2010.
“Daripada jumlah itu, RM61 juta sudah diagihkan kepada asnaf yang berhak menerimanya,” katanya dalam majlis penyerahan zakat perniagaan yang disampaikan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Bank Rakyat, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Pengurus Besar TNB, Ir Haji Md Yuslan Md Yusof dan Penolong Pengurus Besar Cawangan Bank Rakyat, Encik Baharom Embi .

TNB menyampaikan zakat berjumlah RM1,965,364.68, manakala Bank Rakyat berjumlah RM1,057,655.

Daripada kutipan RM76 juta zakat itu, zakat perniagaan menjadi penyumbang terbesar, iaitu mencecah 21 hingga 23 peratus, diiikuti zakat pendapatan penyumbang kedua tertinggi iaitu sebanyak 20 peratus daripada nilai keseluruhan kutipan.

Kutipan zakat meningkat RM2 juta tahun lalu berbanding 2009. Malah, peningkatan akan terus dicapai pada tahun ini bersandarkan kepada perkembangan semasa, yang mana RM7.6 juta peningkatan direkodkan berbanding tempoh masa yang sama tahun lalu.




Anugerah Kecemerlangan Pelajar-Pelajar Cemerlang SPM/STPM Tahun 2010 Negeri Terengganu



Syukur ke hadrat Allah S.W.T. atas limpah kurnia-Nya dan TAHNIAH kepada pelajar yang berjaya mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan masing-masing.

Secara keseluruhan keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia 2010 bagi sekolah Kementerian Pelajaran di Negeri Terengganu telah menunjukkan peningkatan dalam bilangan calon mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 daripada 8 orang pada tahun 2009 kepada 12 orang bagi tahun 2010.

Pencapaian calon yang mendapat 5 prinsipal meningkat 8.70% tahun 2010, berbanding 8.44% pada tahun 2009 iaitu peningkatan sebanyak 0.26%.

Manakala peratus calon yang mendapat 4 prinsipal meningkat sebanyak 1.10% kepada 97.09% pada tahun 2010 berbanding tahun 2009 iaitu 95.99%.

Pencapaian PNGK Negeri juga telah meningkat sebanyak 0.11 kepada 2.49 pada tahun 2010, berbanding tahun 2009 iaitu 2.38.

Seramai 22,837 orang calon termasuk 21,547 orang calon sekolah Kementerian Pelajaran telah mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia di 191 pusat peperiksaan di Negeri Terengganu pada 2010.

Peratusan calon yang memperoleh A (kombinasi A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran yang diambil MENINGKAT sebanyak 0.57% daripada 1.31% (283 calon) pada tahun 2009 kepada 1.88% (405 calon). Peratus calon yang lulus semua mata pelajaran MENINGKAT sebanyak 2.96% daripada 53.58% (11,601 calon) pada tahun 2009 kepada 56.54% (12,182 calon).

Calon yang memperolehi minimum C dalam semua mata pelajaran yang diambil MENINGKAT sebanyak 0.83% daripada 15.52% (3,361 calon) pada tahun 2009 kepada 16.35% (3,523 calon).

Daripada 72 mata pelajaran yang diambil oleh calon, sebanyak 49 mata pelajaran telah menunjukkan PENINGKATAN dari segi Gred Purata berbanding 33 mata pelajaran pada tahun 2009.

Gred Purata SPM 2010 bagi Negeri Terengganu adalah 5.03 (tahun 2010) berbanding 5.17 (tahun 2009). Pengecilan nilai Gred Purata Negeri menunjukkan prestasi keseluruhan semakin MENINGKAT.

SYABAS diucapkan kepada pelajar-pelajar, ibubapa dan pendidik Kerajaan Negeri Terengganu di atas peningkatan prestasi yang ketara dari segi kualiti dan kuantiti.

Peningkatan ketara ini selari dengan hasrat Kerajaan Negeri dalam merealisasikan "Terengganu Negeri Anjung Ilmu".

13 April 2011

Syarat baru Maidam ke Universiti Al-Azhar

Oleh: Aida Abd Rahman


Majlis penyerahan Zakat Perniagaan daripada Tenaga Nasional Berhad dan Bank Rakyat, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu disaksikan Menteri Besar Terengganu. - Foto: Harish Fadzillah.

Majlis Agama Islam Adat Melayu Terengganu (Maidam) menetapkan syarat baru supaya semua pelajar di negeri ini yang bakal mengikuti bidang Pengajian Islam di Universiti Al-Azhar, Mesir perlu menjalani program khas Skim Al-Ansar.

Skim yang menyediakan kursus Bahasa Arab dan penyesuaian diri dalam tempoh sebulan bermula 15 Mei ini bertujuan mengelak berlaku penangguhan pengajian apabila pelajar tiba di Mesir akibat kegagalan dalam peperiksaan serta Imtihan Qabul (ujian kemasukan).
Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Tuan Haji Wan Harujan Sulaiman, berkata pelajar yang mengikuti Skim Al Ansar itu juga diwajibkan menyertai kursus Biro Tatanegara sebagaimana yang diwajibkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi.

Katanya, dalam peperiksaan dan Imtihan Qabul tahun lalu, seramai 307 atau 47 peratus sahaja pelajar yang lulus daripada 657 pelajar Malaysia yang menduduki peperiksaan itu.

“Pelajar yang lulus termasuk daripada Terengganu, tetapi kita tidak dapat mengesannya kerana mereka tidak melalui Maidam dan juga Yayasan Terengganu sebaliknya mereka pelajar persendirian.

“Berasaskan maklumat yang kita terima ada beberapa pelajar dari Terengganu gagal meneruskan pengajian di Universiti Al-Azhar sebagaimana hasrat mereka sebelum bertolak daripada tanah air, disebabkan kegagalan mereka dalam peperiksaan dalam Imtihan Qabul tersebut,” katanya ketika ditemui di majlis penyerahan Zakat Perniagaan daripada Tenaga Nasional Berhad dan Bank Rakyat, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu hari ini.

Tuan Wan Harujan berkata kegagalan dalam peperiksaan itu menyebabkan pelajar terpaksa mengikuti kelas Bahasa Arab yang kemungkinan dianjurkan oleh pihak universiti atau Maahad di Mesir.

Beliau berkata, dalam situasi begini, Maidam tidak boleh membayar bantuan penuh berjumlah RM5,000 setahun disebabkan mereka hanya menuntut di Maahad dan bukan di universiti bagi mengikuti kursus ijazah.

Menurutnya, pelajar terbabit layak dipertimbangkan sebagai penerima bantuan am, iaitu RM1,000 hingga RM2,000 sahaja dan tanggungan pembiayaan berbaki perlu ditanggung oleh ibu bapa pelajar.

Dalam hal itu, katanya, Maidam memutuskan pelajar yang ditaja oleh Maidam hendaklah diberikan kursus asas terlebih dahulu yang merangkumi pengajian Bahasa Arab dan perihal serta perkara yang berkaitan masyarakat Arab supaya dapat lulus dalam peperiksaan dan Imtihan Qabul.

Katanya, Maidam meluluskan peruntukan RM500,000 untuk membiayai kursus ini dengan kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) untuk 100 pelajar yang terpilih bagi menentukan kelayakan pelajar ini.

“Maidam sedang dalam menentukan pelajar yang layak berdasarkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia lalu, di mana mereka dikehendaki mendapat 5A dan tiada mata pelajaran yang mendapat C dalam peperiksaan lalu.

“Dalam pemilihan itu akan melibatkan panel daripada Yayasan Terengganu, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Unisza dan juga ulamak bagi memperakukan pelajar untuk mengikuti kursus ini,” katanya lagi.

Selain itu, katanya Maidam juga membantu pelajar bagi menguruskan permohonan mereka untuk melanjutkan pelajaran di tiga universiti yang ditetapkan oleh Maidam di Jordan untuk kemasukan September ini.

Katanya, Maidam akan membiayai sepenuhnya tambang penerbangan, selain menguruskan kos dan penterjemahan keputusan SPM pelajar dalam Bahasa Arab, diikuti pengesahan di Wisma Putra serta penyediaan visa.

“Mudah-mudahan bantuan Maidam kepada pelajar dan ibu bapa yang tidak biasa dengan urusan permohonan dokumen melanjutkan pelajaran ke luar negara dan lazimnya menggunakan ejen dengan kadar bayaran tertentu, akan dapat melancarkan urusan mereka serta menyambung pelajaran dengan baik di Jordan,” katanya.





Klinik rawatan haiwan kesayangan dapat sambutan

Oleh; Esah Abdullah


Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu.

Kepekaan orang ramai terhadap penjagaan kesihatan haiwan kesayangan begitu memberangsangkan bila Klinik Rawatan Haiwan Kesayangan di Pejabat Veterinar negeri sentiasa dikunjungi ramai.

Pemangku Pengarah Veterinar negeri, Dr. Ahmad Shafri Hassan berkata terdapat antara 40 hingga 50 pemilik haiwan yang datang ke klinik itu setiap hari untuk menerima rawatan pelbagai penyakit haiwan.

Klinik tersebut dikendalikan empat petugas dan dibuka pada waktu pejabat dan klinik seumpamanya turut beroperasi di pejabat Veterinar daerah.

“Paling banyak yang datang buat rawatan adalah kucing, arnab, tikus belanda (hamster), anjing dan ayam yang menghidap pelbagai masalah antaranya demam, serangan kutu, luka dan cacing,” katanya kepada Teganukita.

Katanya, klinik itu juga menyediakan suntikan pelalian dan pembedahan pemandulan kucing dan anjing di mana perkhidmatan dikenakan sedikit caj perkhidmatan yang berbeza berdasarkan jenis rawatan yang diterima.

Menurut Dr. Ahmad Shafri, bagi kes membabitkan penggunaan ubat bius caj dikenakan RM50.00 dan rawatan biasa antara RM5 hingga RM10.00.

“Petugas kita juga turut membuat rawatan di rumah jika terdapat permintaan atas alasan sukar membawa haiwan peliharaan ke klinik kita,” katanya.

Beliau kemudiannya menasihatkan orang ramai sentiasa mengambil berat terhadap kesihatan haiwan peliharaan kerana ia boleh menjadi punca jangkitan kepada manusia.

“Setiap haiwan peliharaan hendaklah mendapatkan suntikan pelalian bagi mengelak jangkitan penyakit berjangkit kerana mencegah adalah lebih baik dari merawat,” katanya.




Peruntukan RM2 juta bangunkan kawasan MDS

Oleh: Suriati Ali



Kerajaan negeri memperuntukkan RM2 juta bagi membangun dan membaik pulih jalan serta membina longkang di kawasan Parlimen Setiu di bawah pentadbiran Majlis Daerah Setiu (MDS) sepanjang tahun ini.

Setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen itu mendapat RM500,000 bagi memberi keselesaan dan kesejahteraan penduduk setempat, terutama mereka yang terlibat dengan banjir.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pada masa sama, pihaknya bersetuju meratakan kawasan berbukit di Bukit Merah, Langkap untuk dijadikan tapak kediaman bagi penduduk yang dilanda banjir.



Tanah bukit setinggi 10 meter itu akan ditambun ke kawasan bersebelahan yang sudah lama terbiar di mana ia dilaksanakan dalam tempoh terdekat selepas pihak berkaitan termasuk MDS selesai menjalankan kerja mengukur.

“Kerajaan sedia membantu rakyat dalam apa jua keadaan dan rakyat pula perlu berterima kasih dan bukannya bertindak menghentam kerajaan, “ katanya kepada media selepas mengadakan Lawatan Kerja di Parlimen Setiu.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Haji Asha’ari Idris; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, YB Haji Ramlan Ali dan Adun Permaisuri, YB Haji Halim Jusoh.

Tetamu kehormat lain,Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Dato’ Haji Mat Razali Kassim; Pegawai Daerah Setiu, Encik Mohamad Nor Ibrahim dan Yang DiPertua Majlis Daerah Setiu, Encik Ishamudin Hashim.

Dalam lawatan yang disertai lebih 30 ahli rombongan, sebanyak lapan projek dan lokasi ditinjau iaitu kawasan Jeti Merang; muara sungai Merang; projek chalet terbengkalai di Pulau Besar; projek ternakan udang di Kampung Nyatoh dan projek menaiktaraf jalan di Binjai Manis.

Kawasan lain, sistem pemparitan dan longkang di Kampung Chalok; projek jelapang padi Kg Jelapang dan pembinaan perumahan mampu milik, Sungai Tong.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu sebanyak 30 unit lot perkedaian bakal dibina bersebelahan Jeti Merang, Setiu bagi menggantikan deretan kedai yang dibina peniaga secara haram.

“Kawasan tempat letak kereta juga ditambah dan jalan raya sedia ada akan dilebarkan mengikut kesesuaian. Kos dan tarikh untuk melaksanakan projek itu masih dalam perbincangan.



“Projek mendalamkan muara sungai Merang akan dijalankan tidak lagi lagi bagi memudahkan kapal dan bot pelancong berlabuh,” katanya.

Menurutnya, hampir setiap tahun Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) terpaksa melaksanakan projek ini berikutan sering berlaku hakisan pasir di dasar sungai. Kira-kira RM6 juta hingga RM8 juta bakal dibelanjakan bagi tujuan itu.




Pemilik Ismail Kraftangan cekal harungi persaingan

Oleh: Suriati Ali

Pemilik syarikat Ismail Kraftangan, Encik Ismail Awang Besar, 47 cekal mengharungi persaingan, cabaran dan rintangan dalam perniagaan walaupun memiliki kekurangan diri atau dikategorikan Orang Kurang Upaya (OKU).

Dia yang mengusahakan perniagaan berasaskan ukiran kayu sejak 20 tahun lalu itu menjual pelbagai jenis cederamata dan hiasan dinding semata-mata tidak mahu kehilangan bakat yang dipelajari ketika berusia 20-an di bengkel Pemulihan OKU, Pulau Kerengga, Marang.


Encik Ismail berkata, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) banyak membantu memajukan perniagaannya dengan memberi sumbangan mesin dan beberapa keperluan lain berkaitan ukiran kayu dan kraftangan.

Katanya, dia cukup berterima kasih di atas keprihatinan Maidam, jika tidak cukup sukar untuk menghidupkan perniagaan ini kerana kekurangan modal.

“Barangan hiasan dan cederamata seperti kapal layar, ukiran ayat suci al-Quran, rumah tradisional, tanda nama, keris, kotak pensil, bingkai gambar dan sebagainya dijual antara RM10 hingga RM200 bergantung kepada kualiti dan jenis ukiran.

“Hampir semua barangan kraf yang dihasilkan menggunakan kayu cenggal berkualiti tinggi yang diperoleh daripada penduduk tempatan terutama yang tinggal di kawasan Hulu Terengganu,” katanya.

Katanya, pendapatan bulanan yang diperoleh tidak tetap kerana kebanyakkannya bergantung kepada tempahan pelanggan. Jika banyak menerima tempahan, maka pendapatan bulan itu akan meningkat.





MBNT anjur kejohanan bola sepak peringkat negeri

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Amirullah Othman


YB Senator Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar menyampaikan hadiah kepada pasukan yang menang.

Sebanyak 54 pasukan dari seluruh negeri menyertai kejohanan bola sepak sembilan sebelah anjuran Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) yang diadakan di Padang Bola Kampung Rawai dan Kampung Alor Limbat, kelmarin.

Pasukan LPRNJ muncul johan dan menggondol hadiah wang tunai RM1,000 serta piala pusingan dan piala iringan. Pasukan Good FC yang tewas kepada LPRNJ pada perlawanan akhir dengan keputusan penalti selepas kedudukan terikat 1-1 dalam perlawanan sebenar muncul naib johan dan menerima wang tunai RM700 dan piala iringan.

Manakala pasukan Ayos Hasli yang menewaskan pasukan Friend FC pada perlawanan menentukan tempat ketiga dan keempat muncul pemenang tempat ketiga. Pasukan Ayos Hasli menerima wang tunai RM300 dan piala iringan manakala Friend FC yang menduduki tempat keempat turut mendapat habuan yang sama.

Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang kejohnan tersebut disempurnakan oleh Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, YB Senator Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar.



Dalam uacapan perasmiannya, beliau berharap kejohanan tersebut mampu mencungkil lebih ramai bakat baru dalam bola sepak, khususnya dari kawasan Parlimen Marang, untuk diketengahkan ke peringkat negeri.

Beliau berkata, sekiranya pemain yang terpilih dapat bermain dengan baik, mereka akan diserap menyertai pasukan Terengganu atau T-team yang kini menduduki kedudukan agak baik dalam Liga Super.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Belia Negeri Terengganu, Encik Mat Yusof Mat Ali, berkata pihaknya amat berpuas hati dengan sambutan golongan belia terhadap kejohanan itu yang diadakan khusus bagi mencungkil bakat-bakat baru dari seluruh negeri.

“Kejohanan ini diadakan bukan saja untuk menyediakan wadah kepada golongan belia beriadah, tetapi juga membantu kerajaan menangani masalah gejala sosial di kalangan belia,” ujar beliau.

Beliau berkata, kejohanan itu bukan saja menarik penyertaan belia, tetapi jumlah penonton yang besar pada setiap kali perlawanan diadakan.

Katanya, sepanjang dua hari kejohanan itu berlangsung ramai peminat bola sepak berkumpul di tepi padang bagi memberi sokongan kepada pasukan mereka.

“Pihak kami akan merancang lebih banyak lagi aktiviti sukan dan riadah supaya lebih ramai belia menyertainya di masa depan,” katanya.



Perdana Menteri lawat Terengganu 30 April

Oleh: Aida Abd Rahman


Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak akan mengadakan lawatan sehari ke Terengganu sempena Program Turun Padang (PTP), 30 April ini (Sabtu).

Beliau dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud pada jam 8.45 pagi dan terus memulakan lawatan ke Pekan Batu Enam, Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal dan Parlimen Kuala Nerus.
Perdana Menteri akan berjalan kaki menemui pemimpin dan rakyat di Peti Undi Batu Enam, DUN Bukit Tunggal dan Parlimen Kuala Nerus serta menikmati sarapan pagi di Kedai Alias, di Pasar Batu Enam.

Lawatan kerja beliau di pasar berkenaan melibatkan kawasan menjual kuih muih, pasar basar, sayur-sayuran, buah-buahan dan pelbagai barangan lain.

Sejurus kemudian, Perdana Menteri bakal menziarahi rumah seorang warga emas yang uzur, Puan Chik Mamat, 85, di Kampung Pengkalan Arang, sebelum meneruskan aktiviti gotong- royong membaiki rumah seorang penduduk miskin, Raja Azizah Raja Ali, 57, di kampung yang sama.

Selepas itu, Dato’ Seri Mohd Najib dijadualkan ke program kedua, Pelancaran Pasar Baru Bukit Tunggal, diikuti ke program Perjumpaan Mesra YAB Perdana Menteri Bersama Rakyat DUN Manir bertempat di Padang Bola Kampung Pulau Bahagia, Manir.

Pada sebelah petang, Perdana Menteri akan merasmikan Perumahan Pangsapuri Rakyat Mampu Milik di Pulau Duyong, sebelum meneruskan aktiviti menemui rakan laman sosial `Facebook’ beliau.

Program Perjumpaan Jalinan Setiakawan Maya YAB Perdana Menteri Bersama Rakan Facebook bakal berlangsung di Bilik Rajawali 1 (Aras 2), di Marina Ri-Yaz Heritage, Pulau Duyong, kira-kira jam 5 petang.

Sejurus kemudian, sidang media akan diadakan di bilik bersebelahan sebelum beliau meneruskan aktiviti perjumpaan tertutup dengan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan YB Ahli Parlimen seluruh Terengganu.

Pada sebelah malamnya, Perdana Menteri dijadualkan bersama kepimpinan masyarakat termasuk parti komponen Barisan Nasional di Taman Tamadun Islam.

Selepas menamatkan program terakhir sempena lawatan kerja sehari itu, beliau akan berlepas pulang ke Kuala Lumpur dengan pesawat khas.




Kerajaan bantu pulih ternakan ikan dalam sangkar

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan negeri akan bantu lima penternak ikan dalam sangkar di Sungai Mercang, Marang yang mengalami kerugian besar dalam kejadian hujan lebat melanda daerah itu baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, YB Encik Yahya Khatib Mohamad berkata, kerajaan sedang membuat taksiran dan akan membantu penternak terbabit untuk memulihkan semula projek mereka.

“Terdapat lima peserta yang menternak ikan dalam sangkar di Sungai Mercang telah mengalami kerugian yang keseluruhan dianggarkan berjumlah RM1 juta atau RM200,000 setiap penternak,” katanya kepada Teganukita.

Bagaimanapun, katanya, beberapa peserta yang mengusahakan ternakan tiram hanya mengalami sedikit kerosakan dan masih boleh meneruskan projek.

“Kerajaan amat bersimpati dan masalah bencana ini di luar kawalan dan kita akan memberi bantuan benih, sangkar dan keperluan lain bagi membolehkan mereka bangkit kembali,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Berangan.

“Dalam kejadian itu juga beberapa rumah kediaman turut mengalami kerosakan dan kita beri bantuan segera untuk membaiki rumah berkenaan serta dua rumah kepunyaan ibu tunggal yang rosak teruk akan diberi rumah baru di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT),” katanya.

Katanya, dua pemilik rumah yang tidak boleh dibaiki itu akan dipindahkan ke kawasan penempatan baru di Pulau Rusa bagi membolehkan mereka meneruskan kehidupan yang selesa ditempat baru..