Halaman

14 April 2011

Kerajaan letak tanda aras PNGK pelajar cemerlang

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri meletak tanda aras kepada pelajar yang berjaya mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.75 ke atas sahaja yang layak untuk menukar taraf pinjaman pengajian kepada biasiswa serta menerima sagu hati RM5,000.

“Ini kita putuskan dalam mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Terengganu baru-baru ini dan pelajar yang memperolehi Ijazah Kelas Pertama dengan pencapaian PNGK 3.75 akan diiktiraf untuk menerima kemudahan itu,” kata Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Bercakap pada sidang media selepas majlis Anugerah Kecemerlangan Imtiaz dan Pelajar Cemerlang SPM dan STPM 2010 di Wisma Darul Iman, hari ini, beliau berkata, pada masa ini Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dalam negara tidak sama dalam meletakkan tahap pencapaian yang melayakkan pelajar mendapat Ijazah Kelas Pertama.

Katanya, sesetengah universiti mengiktiraf pelajar yang mendapat PNGK 3.4 untuk ijazah kelas pertama manakala sebahagian lagi menetapkan PNGK 3.5 atau 3.6.

Mulai tahun ini, katanya, kerajaan akan tetapkan markah tersebut sebagai tanda aras dalam membuat penilaian kepada pelajar dan keputusan itu tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

Tahun lepas anak Terengganu yang mendapat kepujian ijazah kelas pertama seramai 168 orang dan pelajar yang menerima pinjaman daripada YT akan ditukar kepada biasiswa beserta sagu hati RM5,000.

Menteri Besar berkata, bagi pemegang pinjaman dari agensi lain terpulang kepada pihak agensi terbabit untuk memutuskan status pinjaman mereka tetapi kerajaan tetap beri saguhati RM5,000 kerana mereka anak tempatan.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan telah mengeluarkan RM840,000 untuk saguhati kepada pelajar cemerlang di peringkat universiti dan RM202,500 kepada pelajar yang mendapat semua A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

“Alhamdulillah majoriti pelajar yang cemerlang ini telah memilih untuk mengikuti pengajian dalam bidang perubatan dan kejuruteraan,” katanya.




SMIYT Kuala Terengganu dinobat sekolah cemerlang

Oleh; Esah Abdullah

Berdasarkan pencapaian cemerlang dengan kelulusan 10 peratus bagi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010, Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (SMIYT) Kuala Terengganu telah dinobatkan penerima Anugerah Sekolah Cemerlang 2010.

Kriteria lain yang menyokong kepada kejayaan itu, termasukah pengurusan dan pentadbiran sekolah, pencapaian hafazan, pencapaian ko-kurikulum di samping pernah mendapat beberapa anugerah kecemerlangan akademik kerajaan negeri, Kementerian Pelajaran dan agensi luar sebelum ini.

Kategori Anugerah Kecemerlangan Hafazan dan Sahsiah Pelajar dimenangi SMIYT Dungun dan Anugerah Kecemerlangan Ko-kurikulum dimenangi SMIYT Besut .

Manakala kategori Anugerah Guru Cemerlang (al-Quran) dan Anugerah Guru Cemerlang (akademik) dimenangi guru dari SMIYT Besut iaitu Encik Mohd Halik Ismail dan Puan Suhaila Salleh.

Selain itu, 405 pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu menerima penghargaan kerajaan negeri.

Majlis Anugerah Kecemerlangan Imtiaz dan Pelajar Cemerlang SPM dan STPM 2010 berlangsung di Wisma Darul Iman hari ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said telah menyampaikan hadiah berupa piala, wang tunai dan sijil penghargaan. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Ahmad Razif Abdul Rahman; Pengarah Yayasan Terengganu, Haji Aziz Mamat dan Pengarah Pelajaran, Encik Razali Daud.




SEKITAR PERBINCANGAN PENGURUSAN PENERANGAN DAN KOMUNIKASI TERENGGANU DAN SABAH


Penyampaian cenderahati kepada Timbalan Pengarah RTM Sabah, Abdul Razak Hamid oleh YB Hj.Khazan. Abdul Razak pernah bertugas di RTM Terengganu tahun 1979-1987.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Khazan Che Mat baru-baru ini mengetuai agensi penerangan negeri Terengganu dalam perbincangan pengurusan penerangan dan komunikasi dengan pihak Sabah.

Mesyuarat dan perbincangan bersama itu diadakan bagi bertukar pengalaman dalam bidang berkaitan ke arah memperkasakan lagi usaha penerangan dan komunikasi kerajaan dan rakyat.

Sabah adalah antara negeri yang mempunyai jumlah kaum dan etnik yang ramai telah menguruskan penerangan dan komunikasi dengan berkesan ke arah perpaduan dan penerimaan di antara satu sama lain.

Agensi-agensi yang terlibat di peringkat Terengganu ialah Unit Komunikasi, Jabatan Penerangan, Jabatan Penyiaran (RTM) dan Bernama. Begitu juga di peringkat negeri Sabah.

Jawatankuasa turut membawa sama Persatuan Pelancongan Terengganu dan Majlis Sukan Negeri kerana dua bidang itu sedang dijana pada masa ini. Sukan telah membawa Terengganu terkenal di peringkat nasional dalam pelbagai kejohanan dan bidang pelancongan pula sedang pesat dibangunkan.




Persatuan Isteri Wakil Rakyat Sabah (Berkisa) turut hadir sama.


YB Haji Khazan bersama pegawai-pegawai Jabatan Penerangan Sabah.

Laporan dan gambar oleh: Ruslan Rahman.



Kerajaan perlu sokongan penjawat awam

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Menteri Besar berbincang sesuatu dengan pegawai kanan kerajaan sebaik tiba untuk merasmikan Program Bicara Eksekutif YAB Menteri Besar dengan Pegawai Tadbir Negeri dan Ketua-ketua jabatan di Awana Kijal, Kemaman. - Foto: Syed Abdul Rahman.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan selaku pembuat dasar tidak dapat memenuhi tanggungjawabnya jika kehendaknya tidak dapat diterjemahkan dengan baik oleh penjawat awam.

Sehubungan itu, beliau meminta penjawat awam supaya peka dengan tuntutan semasa kerajaan negeri yang sudah pasti menjurus ke arah kehendak kempimpinan negara (Kerajaan Pusat).

“Sebagai pegawai, kita lebih berkemampuan menyelesaikan masalah kerana kita adalah sistem yang memiliki kemampuan tersebut. Sebab itulah umum menggelar kita sebagai jentera kerajaan...kita mampu merubah keadaan sama ada dalam memperkasakan pentadbiran atau mensejahterakan rakyat, atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena program Bicara Eksekutif YAB Menteri Besar dengan Pegawai Tadbir Negeri dan ketua-ketua jabatan di Awana Kijal, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mazlan Ngah; Timbalannya, Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda; Setiausaha Politik Menteri Besar, Encik Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Menteri Besar berkata, tuntutan global sekarang ini memerlukan kakitangan kerajaan yang komited terhadap tugas masing-masing dan pengalaman kerja mereka perlu digembelingkan agar dapat melonjakkan produktiviti kerja semaksimum mungkin.

“Sebagai jentera pelaksana, pentadbiran kerajaan mesti kemas, kukuh dan tegas. Tetapi, ketegasan kita janganlah sampai menghakis kemesraan kepada rakyat kerana ramai yang bergantung kepada perkhidmatan yang kita berikan,” katanya.

Beliau berkata, tugas penjawat awam adalah untuk mencelikkan rakyat supaya mereka tahu betapa besarnya usaha kerajaan untuk membawa kesejahteraan kepada rakyat agar timbul rasa kesyukuran.

Menteri Besar meminta penjawat awam supaya memberi kerjasama yang sebaik mungkin kepada kerajaan semasa dan akan datang.




SUK minta agensi kerajaan rancang pembangunan

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Semua agensi kerajaan di negeri ini diarah supaya merancang projek pembangunan dengan lebih rapi, teliti dan selaras dengan hala tuju kerajaan negeri, bagi memastikan perkhidmatan terbaik diberikan kepada penduduk tempatan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata setiap agensi kerajaan sama ada peringkat negeri mahu pun Pusat, perlu merujuk kepada Struktur Pembangunan Negeri dan Rancangan Kerajaan Tempatan, agar ia dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun.

“Saya dapati ada agensi kerajaan di negeri ini yang melaksanakan pembangunan jabatan mereka tidak mengikut Struktur Pembangunan Negeri,” katanya ketika berucap pada majlis Bicara Eksekutif YAB Menteri Besar dengan pegawai tadbir dan ketua-ketua jabatan di Awana Kijal, malam tadi.

Beliau berkata, kerajaan negeri memerlukan sistem penyampaian perkhidmatan yang cekap bagi menjamin kelancaran dan keberkesanan pelaksanaan dasar dan strategi pembangunan negeri.

“Usaha-usaha penambahbaikan yang telah terlaksana juga perlu diteruskan dan dipertingkatkan lagi bagi memenuhi kehendak rakyat,” katanya.

Dato’ Haji Mazlan berkata, tadbir urus yang baik merupakan suatu proses, bermula dengan perancangan yang teliti, seterusnya pelaksanaan pentadbiran dan pengurusan organisasi yang cekap, berkesan, adil dan saksama, telus, beramanah, berakauntabiliti dan berintegriti.

“Pelaksanaan berkesan itu hendaklah diperkukuhkan dengan penilaian dan pemantauan berterusan, berlandaskan kepada matlamat untuk memenuhi kehendak rakyat dan stakeholders,” katanya.

Justeru itu, katanya, penyelarasan antara jabatan amat penting bagi mencapai matlamat dan objektif yang telah ditetapkan oleh kerajaan di dalam pentadbiran dan pembangunan.

“Bagi mencapai matlamat tersebut, semua penjawat awam, khususnya di peringkat pengurusan atasan perlu memahami secara mendalam apa yang sepatutnya dilaksanakan bagi mencapai matlamat pembuat dasar,” katanya.

Dato’ Mazlan berkata, sebagai badan pelaksana dasar yang melaksanakan pelbagai program, penjawat awam tidak dapat lari daripada tanggungjawab dan akur kepada kehendak stakeholders, terutamanya rakyat.

“Berdepan dengan kehendak rakyat yang semakin meningkat dan mencabar, khususnya kepada penjawat awam, kita hendaklah menerapkan budaya kerja yang “excessive” iaitu bekerja lebih dari sepatutnya dan juga bersikap mesra rakyat,” tambahnya.

Beliau berkata, penjawat awam perlu memberikan khidmat yang menyenangkan rakyat.

“Kepuasan hati rakyat adalah tanda aras utama kepada kejayaan sektor awam. Jika kita ingin berkhidmat untuk rakyat, kita perlu fahami setiap masalah, kekangan dan kesulitan yang dihadapi rakyat, barulah kita mampu untuk mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi mengatasi masalah tersebut,” ujarnya.


Maidam jemput LHDN buka kaunter

Oleh: Suriati Ali

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam ) telah menjemput Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi membuka kaunter perkhidmatan Bulan Perkhidmatan Pembayar Cukai (BPPC) di bilik latihan Teknologi Maklumat dan Komunikasai (ICT) Maidam, Kuala Terengganu, semalam (14 Mac).

Program ini nyata dapat membantu pegawai dan kakitangan Maidam serta beberapa di Kompleks Seri Iman mengisi borang taksiran cukai pendapatan tahun 2010 secara online atau e-filing.

Program yang bermula jam 10.00 pagi dan berakhir pada jam 1.00 tengahari itu, dikendalikan tiga pegawai LHDN iaitu En. Mohd Shafie Ismail, Puan Sarina Hassan dan Wan Farhana Azuma Wan Abd. Rahman.

Ketiga-tiga pegawai berkenaan mengajar pembayar cukai bagaimana untuk mengisi borang dengan betul dan pelbagai perkara berkaitan.

Mereka yang layak membayar cukai diberi tempoh selama 30 hari selain budi bicara untuk membayar secara ansuran tetapi perlu mendapat kebenaran daripada LHDN terlebih dahulu.

Kegagalan untuk berbuat demikian menyebabkan mereka yang berkenaan dikenakan penalti 10 peratus daripada jumlah cukai yang perlu dibayar.

Maidam berharap pegawai dan kakitangan yang dikenakan cukai dapat berbuat demikan bagi mengelakkan tindakan dari LHDN selain membantu melaksanakan tanggungjawab sebagai warganegara Malaysia.




Dato’ Seri Haji Ahmad terima kunjungan Panglima Wilayah Laut 1

Oleh: Suriati Ali



Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said menerima kunjungan Panglima Wilayah Laut 1 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Pertama Dato’ Pahlawan Mohamad Roslan Mohamad Ramli di pejabatnya, Wisma Darul Iman , Kuala Terengganu, hari ini (14 April).

Dalam pertemuan hampir 30 minit itu, pelbagai perkara dan isu semasa dibincangkan untuk kepentingan negeri dan rakyat.



Pegawai tadbir negeri jadi penghubung kerajaan, rakyat

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Sebarang arahan daripada kerajaan negeri dan pekeliling yang dikeluarkan dari semasa ke semasa bukan bertujuan menyusahkan ketua-ketua jabatan dan para pegawai tadbir negeri, sebaliknya ia bertujuan memantapkan jentera pentadbiran kerajaan.

Dalam hal ini, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pegawai tadbir negeri merupakan penghubung antara pentadbiran negeri dengan rakyat.

“Dalam suasana dunia yang makin mencabar, penjawat awam perlu begerak seiring dengan tuntutan semasa. Penjawat awam perlu pro-aktif, kreatif dan inovatif serta berkemampuan melaksanakan pembaharuan untuk meningkatkan kualiti pentadbiran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucap tama sempena program Bicara Eksekutif YAB Menteri Besar dengan Pegawai Tadbir Negeri dan ketua-ketua jabatan di Awana Kijal, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mazlan Ngah; Timbalannya, Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda; Setiausaha Politik Menteri Besar, Encik Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Menteri Besar berkata, warga pentadbiran kerajaan negeri perlu memiliki tenaga dan minda berwawasan yang boleh mencorak kehidupan rakyat ke arah yang lebih cemerlang.

“Bagi sesebuah badan pentadbiran kerajaan negeri, kepuasan akan dapat dirasai oleh setiap tenaga warga kerja apabila kejayaan untuk membawa pembangunan yang dirancang sama ada kecil atau besar mencapai matlamat dan berkesan mengubah kehidupan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, setelah tiga tahun kerajaan negeri memperkenalkan pendekatan konsep “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan Negeri Terengganu (MPPNT)”, ramai penjawat awam sudah dapat mempertahankannya tanpa sebarang keraguan.

“Cabaran bagi penjawat awam kini melipatgandakan usaha untuk memperjelaskan pendekatan MPPNT kepada rakyat dengan cara yang berhemah supaya ia dapat diyakini dan difahami oleh rakyat,” katanya.



Enam cawangan baru Ar-Rahnu seluruh negara

Oleh: Aida Abd Rahman

Dalam usaha menggalakkan rakyat menggunakan perkhidmatan gadaiansecara Islam, Bank Rakyat mensasarkan untuk membuka enam lagi cawangan baru Ar-Rahnu di seluruh negara pada tahun ini.Antara lokasi cawangan baru yang dikenal pasti adalah di Muar, Alor Setar, Melaka dan Mentakab.

"Produk perkhidmatan Ar-Rahnu banyak membantu masyarakat dan berdasarkan sambutan yang menggalakkan yang ditunjukkan oleh pelanggan, pengurusan Bank Rakyat sudah meluluskan pembukaan enam cawangan baru Ar-Rahnu pada tahun ini. Empat kawasan sudahpun dikenal pasti dan dua lagi kawasan akan diputuskan kemudian," kata Penolong Pengurus Besar Operasi Cawangan, Encik Baharom Embi di majlis penyerahan wang zakat perniagaan Bank Rakyat 2010 untuk Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).
Bank Rakyat menyampaikan cek berjumlah RM1,057,655 juta kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said. Hadir sama, Setiuasaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Tuan Haji Wan Harujan Sulaiman.

Encik Baharom berkata, perkhidmatan Ar-Rahnu yang bermula sejak 1993 terdapat di semua 127 cawangan seluruh negara mendapat sambutan yang amat baik di kalangan penduduk Pantai Timur.

Selain 127 cawangan yang menyediakan perkhidmatan Ar-Rahnu, Bank Rakyat juga membuka perkhidmatan atau kedai di luar serta francais menerusi Bank Rakyat Management Services yang bertindak sebagai subsidiari di 17 cawangan koperasi seluruh negeri.

Katanya, untuk menampung permintaan pelanggan terhadap perkhidmatan itu, Bank Rakyat juga merancang untuk menambah lima lagi cawangan perniagaan francais Ar-Rahnu X'Change pada tahun ini.





Sasar peningkatan zakat RM4 juta berbanding tahun lalu

Oleh: Aida Abd Rahman

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) mensasarkan kutipan zakat mampu mencapai jumlah sehingga RM80 juta pada tahun ini, berbanding RM76 juta pada tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Tuan Haji Wan Harujan Sulaiman, berkata jumlah itu meningkat RM4 juta berbanding 2010.
“Daripada jumlah itu, RM61 juta sudah diagihkan kepada asnaf yang berhak menerimanya,” katanya dalam majlis penyerahan zakat perniagaan yang disampaikan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Bank Rakyat, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Pengurus Besar TNB, Ir Haji Md Yuslan Md Yusof dan Penolong Pengurus Besar Cawangan Bank Rakyat, Encik Baharom Embi .

TNB menyampaikan zakat berjumlah RM1,965,364.68, manakala Bank Rakyat berjumlah RM1,057,655.

Daripada kutipan RM76 juta zakat itu, zakat perniagaan menjadi penyumbang terbesar, iaitu mencecah 21 hingga 23 peratus, diiikuti zakat pendapatan penyumbang kedua tertinggi iaitu sebanyak 20 peratus daripada nilai keseluruhan kutipan.

Kutipan zakat meningkat RM2 juta tahun lalu berbanding 2009. Malah, peningkatan akan terus dicapai pada tahun ini bersandarkan kepada perkembangan semasa, yang mana RM7.6 juta peningkatan direkodkan berbanding tempoh masa yang sama tahun lalu.