Halaman

07 May 2011

Kerajaan buat pelaburan besar dalam bidang pendidikan

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan sanggup buat pelaburan besar dalam bidang pendidikan dan pelbagai pengiktirafan juga diberi kepada pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan awam.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, tumpuan kerajaan hari adalah untuk melahirkan seramai mungkin pakar dalam bidang perubatan.


“Kita perlu terjemahkan dalam hidup kita ini dengan pelbagai cabang ilmu dan mampu menguasai pelbagai bahasa,” katanya di majlis Perasmian Mesyuarat Agung dan Anugerah Kecemerlangan Akademik, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu hari ini.

Hadir sama, wakil Pengarah Jabatan Pelajaran, Haji Zubir Embong; Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) merangkap Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk, Dato’ Haji Che Mat Jusoh dan Pengetua SMK Sultan Sulaiman, Haji Zakaria Awang.

Katanya, lebih 90 peratus rakyat di Negara ini mencapai kejayaan dalam kehidupan kerana mempunyai pengetahuan akademiknya yang baik.

“Usaha kerajaan mewujudkan kelas maya di sekolah-sekolah juga merupakan satu lonjakan dalam arus pendidikan bagi memastikan pelajaran itu suatu yang menyeronokkan,’ katanya.

Menteri Besar juga mengingatkan ibu bapa agar bersama kerajaan memberi dorongan dan sokongan untuk melahirkan generasi pelapis yang mampu berdepan dengan cabaran diperingkat global.

Dato’ Seri Haji Ahmad kemudiannya menyampaikan anugerah kecemerlangan akademik kepada 217 pelajar yang berjaya mencatat keputusan semua A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).





Aktiviti Festival Kenyir dapat sambutan

Oleh: Suriati Ali





“Festival Kenyir ini sewajarnya dijadikan sebagai program tahunan kerana cukup berfaedah kepada masyarakat terutama peniaga yang ingin memperkenalkan produk masing-masing.

“Pada masa sama, ia dapat mempopularkan lagi Tasik Kenyir yang kini sedang pesat membangun dengan pelbagai prasarana dan destinasi menarik,” kata seorang pengunjung, Muhamed Ismail Sabri, 35 dari Kuala Berang.

Katanya, dia datang bersama keluarga sempat menyertai beberapa aktiviti yang disediakan penganjur. Pengalaman tidak akan dilupakan ketika menaiki belon udara panas yang hanya dikenakan bayaran RM10 bagi dewasa dan kanak-kanak pula RM5.

“Apabila mendengar ada pertunjukan belon udara panas, saya tidak sabar-sabar untuk berkunjung ke festival ini dan tidak sangka pula ia dibuka kepada orang ramai untuk mencuba,” katanya ketika di temui di tapak Festival Kenyir, Tasik Kenyir Hulu Terengganu, semalam (6 Mei).

Festival yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir esok (8 Mei) itu dirasmikan Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said manakala perasmian penutup pula di jangka disempurnakan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, YB Dato’ Seri Haji Mohd Shafie Afdal.

Pelbagai aktiviti air diadakan bagi menarik minat pengunjung termasuk pertandingan jet ski, triathlon Kenyir, bot berhias, pertunjukan perahu naga Putrajaya dan permainan bot kawalan jauh.

Aktiviti lain, karnival usahawan dan pameran; pertunjukan belon udara panas; penampilan krew produksi dan pelakon siri kartun terkenal, Upin dan Ipin serta persembahan tarian kebudayaan.

Pengunjung dari Setiu, Noraini Ismail, 45, berkata dia berharap Pulau Bebas Cukai yang bakal diwujudkan di Pulau Bayas, Tasik Kenyir dapat dilaksanakan secepat mungkin kerana sudah tentu dapat menaikkan imej Terengganu.

Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Encik Hamzah Ngah, berkata Festival Kenyir sememangnya wajar diadakan kerana bertepatan dengan keputusan kerajaan Pusat yang bersetuju menjadikan Tasik Kenyir sebagai Zon Bebas Cukai yang dijangka beroperasi akhir 2012.

Katanya, kerja-kerja infrastruktur asas kini sedang giat dibangunkan sebagai persiapan untuk tujuan itu.



55 atlet Terengganu sertai Sukan Arafura

Terengganu menghantar kontinjen mengandungi 55 atlet dan 20 pegawai bagi menyertai Kejohanan Sukan Arafura 2001 di Darwin, Australia selama lapan hari mulai hari ini.

Atlet Terengganu akan menyertai lima acara dalam sukan tersebut iaitu hoki wanita, sepak takraw, tinju, menembak dan olahraga.

Pengarah Majlis Sukan Negeri, Encik Zainal Abidin Hussin, berkata ini merupakan kali ketiga Terengganu menyertai kejohanan tersebut di mana ia bertujuan memberi pendedahan pertandingan bertaraf antarabangsa kepada atlet tempatan.

Beliau berkata, langkah itu juga merupakan sebahagian daripada persiapan negeri ini menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) di Pahang yang akan didakan tahun depan.

Beliau berkata, semua atlet yang terpilih menyertai kejohanan tersebut adalah atlet elit yang dijangka mampu menyumbangkan pingat emas pada Sukma tahun depan.



MB sertai Program Jiwaku Bersama Rakyat

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Dato' Seri Ahmad Said bersama penduduk Kampung Meraga Beris bergotong-royong memasang atap rumah. - Foto: Syed Abdul Rahman.

Lebih 100 orang menyertai gotong royong memasang atap rumah penduduk Kampung Meraga Beris, Kijal, Kemaman, pagi ini.

Menteri Besar, Dato’ Haji Ahmad Said turut menyertai program tersebut yang turut disertai pelbagai pertubuhan sukarela.

Melalui Program Jiwaku Bersama Rakyat Gotong Royong Memasang Atap Kediaman Orang Miskin Bersama Menteri Besar itu, penduduk kampung berkenaan bergotong royong memasang atap tujuh rumah penduduk kampung.



Program itu dianjurkan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Penyelaras Umno DUN Kijal, Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Meraga Beris dan Umno Cawangan Meraga Beris.



Cegah kerosakan gigi peringkat kanak-kanak

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM1.2 juta bagi tujuan pemasangan Fluorida Feeder di seluruh negeri bagi memastikan bekalan air mempunyai tahap fluorida pada paras selamat bagi mencegah kerosakan gigi kalangan kanak-kanak.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr. A, Rahman Mokhtar berkata, setakat ini bekalan air mempunyai tahap fluorida pada paras selamat iaitu 0.4 hingga 0.6 ppm atau 62 peratus.


Katanya, masih terdapat empat loji air di negeri ini belum mempunyai fluorida dan dijangkakan dapat diselesaikan menjelang akhir tahun ini.

Sehubungan itu, YB Dr A. Rahman menyifatkan penjagaan kesihatan gigi bagi kanak-kanak berumur enam tahun di negeri ini masih berada pada tahap rendah.

“Kerajaan akan mencari kaedah terbaik dalam usaha memberi kesedaran kepada semua lapisan masyarakat terutama ibu bapa agar tidak mengambil ringan dalam soal penjagaan kesihatan gigi anak-anak” katanya.

Mengikut laporan kaji selidik murid sekolah 2007 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, menunjukkan purata kerosakan gigi kanak-kanak berumur enam tahun di negeri ini adalah 6.05 peratus.

“Angka itu meletakkan negeri ini kedua tertinggi di negara ini selepas Kelantan yang mencatat kadar purata 9.22 peratus,” katanya.

Selain itu katanya, purata kerosakan gigi bagi kanak-kanak berumur 12 tahun di negeri ini adalah 1.4 peratus berbanding Semenanjung Malaysia hanya 0.87 peratus.

Oleh yang demikian, kerajaan memandang serius dalam hal berkaitan dan sentiasa berusaha untuk memastikan rakyat di negeri ini memberi komitmen padu terhadap penjagaan kesihatan gigi.






Pindaan Akta 134 perkasa hak Orang Asli

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan Pusat akan memastikan pindaan Akta 134 yang melibatkan kepentingan dan hak Orang Asli yang bakal dibentang di Parlimen disusun secara rapi dan terperinci selepas mendapatkan pandangan dan persetujuan semua negeri.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Seri Shafei Apdal, berkata langkah menyusun semula Akta 134 mengenai hak tanah masyarakat Orang Asli membolehkan kerajaan melaksanakan peraturan yang lengkap dan tersusun, selain boleh digunapakai bukan hanya hari ini, tetapi juga pada masa depan.

“Masalah berkait dengan tanah yang berhubung kait dengan hati dan jiwa masyarakat Orang Asli dan saya akan pastikan ia dipertimbangkan sebaik mungkin. Beberapa negeri sudah bersetuju dengan beberapa pandangan yang akan dibawa ke pengetahuan Majlis Tanah Negara,” katanya ketika sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Isu Tanah Orang Asli, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Turut hadir Menteri Besar,Dato' Seri Haji Ahmad Said dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera.

Terengganu merupakan negeri kelima menganjurkan mesyuarat itu selepas kementerian mengadakan mesyuarat yang sama di Johor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan.

Dato’ Seri Shafei berkata, dalam menangani isu tanah golongan itu, semua pihak harus menyedari hakikat tuntutan yang ada serta keterbatasan jumlah tanah di sesetengah negeri yang perlu kepada pertimbangan dan realiti sebenar.

“Bagaimanapun, sebahagian besar yang diperlukan oleh masyarakat Orang Asli ini akan kita laksanakan. Selepas berbincang dengan lima negeri ini, tidak menjadi masalah sangat tetapi tidak boleh diperincikan sekarang selagi tidak membawanya kepada Majlis Tanah Negara , selepas itu kita akan memperhalusi akta (Akta 134) itu,” katanya.

Selain isu tanah, perbincangan mereka turut menekankanmeningkatkan taraf hidup dan pembangunan golongan itu termasuk penekanan aspek pendidikan, perladangan dan juga ekonomi, selain terlibat secara langsung dalam sektor pembangunan negara.

Katanya, kerajaan tidak mahu tergesa-gesa dalam menyediakan akta ini supaya tidak menimbulkan masalah kepada golongan itu serta peringkat kerajaan negeri.

“Kuasa tanah (Orang Asli) bukan terletak kepada Kerajaan pusat, tetapi kuasa kerajaan negeri dan kita pohon supaya ada persetujuan dan pandangan lain sebelum kita menyiapkan akta itu,” katanya lagi.





RM2.58 juta untuk khidmat pergigian pelajar

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri membelanjakan RM2.58 juta bagi menyediakan rawatan pergigian kepada kira-kira 242,000 pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh Terengganu melalui Perkhidmatan Pergigian bergerak sepanjang tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A.Rahman Mokhtar, berkata peruntukan itu juga digunakan bagi menyediakan
perkhidmatan yang sama untuk kemudahan masyarakat di kawasan luar bandar.
Katanya, kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan kerajaan mampu menyerlahkan prestasi Bahagian Kesihatan Pergigian, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.

Katanya tahap kesihatan pergigian kanak-kanak berumur bawah enam tahun didapati masih rendah berdasarkan laporan kaji selidik pada tahun 2007 yang menunjukkan bahawa purata kerosakan gigi golongan itu berada pada tahap 6.05 peratus.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Khidmat Masyarakat Klinik Pergigian Bergerak 1Malaysia dan Kem Kesihatan Negeri Terengganu di pekan Kuala Besut.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Pergigian), Dr N.Jegarajan S Pillay, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan), Dr Mohamamad Omar dan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Dr Mohd Jusoh.

Dr A.Rahman berkata ketika ini terdapat 80 pegawai pergigian daripada 104 jawatan dengan nisbah seorang pegawai bagi 13,000 penduduk berkhidmat di Terengganu, tidak termasuk lima pakar pergigian dalam bidang pembedahan mulut, pakar pergigian kanak-kanak, pakar orthodontik dan pakar periodontik.




Taraf hidup Orang Asli makin baik

Oleh: Aida Abd Rahman

Taraf hidup masyarakat Orang Asli di negara ini semakin baik apabila lebih 1,000 golongan itu bergelar penjawat awam di 144 agensi kerajaan seluruh negara.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Dato’ Seri Mohd Shafie Apdal, berkata pertambahan jumlah itu menunjukkan taraf hidup dan kesedaran masyarakat Orang Asli di negara ini sudah banyak berubah berbanding dahulu.

"Masyarakat Orang Asli bukan sahaja bekerja di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sahaja, tetapi turut ditempatkan di agensi-agensi lain.
"Ini merupakan perkembangan yang baik kerana mereka kini menyertai arus perdana, bukan sahaja dari segi ekonomi, tapi juga terlibat dalam pentadbiran negara," katanya selepas menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Isu Tanah Orang Asli di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera.

Terengganu merupakan negeri kelima menganjurkan mesyuarat itu selepas kementerian mengadakan mesyuarat yang sama di Johor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan.

Mesyuarat memfokuskan kepada usaha membantu dan memajukan masyarakat Orang Asli di seluruh negara termasuk menyelesaikan masalah tanah yang dituntut serta dihadapi oleh masyarakat itu.

Katanya, segala perbincangan dan persetujuan yang dicapai daripada seluruh negeri kelak akan dijadikan sebagai pindaan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) yang bakal dibentang di Parlimen.

Selain isu tanah, perbincangan mereka turut menekankanmeningkatkan taraf hidup dan pembangunan golongan itu termasuk penekanan aspek pendidikan, perladangan dan juga ekonomi, selain terlibat secara langsung dalam sektor pembangunan negara.

Terengganu muncul negeri terawal yang mewartakan tanah kepada masyarakat Orang Asli iaitu sejak 1962 dan negeri yang paling banyak mewartakan tanah kepada golongan itu.

Untuk rekod, sebanyak 50,563.51 hektar tanah yang diduduki oleh masyarakat Orang Asli di tiga penempatan di seluruh Terengganu dengan 19,713.65 hektar daripadanya sudah diwartakan sebagai tanah rizab.

Sementara itu, sebanyak 30, 849.84 hektar sudah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri tetapi belum diwartakan.

Tiga penempatan orang asli di Terengganu adalah di Sungai Berua, Hulu Terengganu yang melibatkan 416 orang daripada 88 keluarga, Sungai Pergam, Kemaman seramai 535 orang daripada 114 keluarga dan Sungai Sayap, Besut pula seramai 29 penduduk (lapan keluarga).

Dato’ Seri Shafei berkata, semakin ramai penduduk Orang Asli negara ini mempunyai kedudukan kewangan yang memberangsangkan memandangkan mereka tidak lagi bergantung kepada punca pendapatan tradisional.

"Sudah ramai yang mengusahakan tanaman getah dan kelapa sawit, malah ada yang terlibat dalam sektor perniagaan dan pembinaan," katanya.

Menurutnya, sesetengah daripada mereka tidak lagi memerlukan rumah di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) dan memiliki Rumah Mesra Rakyat kerana keupayaan daripada segi kewangan.



Kerajaan Pusat kesal cara Kelantan tangani isu tanah Orang Asli

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan Pusat kesal dengan cara kerajaan negeri Kelantan menangani kepentingan dan hak Orang Asli berhubung Ladang Rakyat.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Seri Mohd Shafie Apdal, berkata usaha kerajaan PAS Kelantan membantu masyarakat Orang Asli negeri itu tidak mencapai tahap yang sepatutnya, sebagaimana yang dilakukan negeri lain termasuk Terengganu.
"Kalau di negeri lain, banyak bantuan disalurkan kepada masyarakat Orang Asli untuk meningkatkan taraf hidup mereka," katanya dalam siding media selepas menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Isu Tanah Orang Asli di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.
Turut hadir Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera.

Terengganu merupakan negeri kelima menganjurkan mesyuarat itu selepas mesyuarat yang sama di Johor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan.

Mesyuarat memfokuskan kepada usaha membantu dan memajukan masyarakat Orang Asli di seluruh negara termasuk menyelesaikan masalah tanah yang dituntut serta dihadapi oleh masyarakat itu.

Katanya, segala perbincangan dan persetujuan yang dicapai daripada seluruh negeri akan dijadikan sebagai pindaan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) yang bakal dibentang di Parlimen apabila selesai kelak.

Selain isu tanah, perbincangan mereka turut menekankanmeningkatkan taraf hidup dan pembangunan golongan itu termasuk penekanan aspek pendidikan, perladangan dan juga ekonomi, selain terlibat secara langsung dalam sektor pembangunan negara.

Dato’ Seri Shafei berkata isu Ladang Rakyat telah membangkitkan kemarahan Orang Asli di kawasan Gua Musang apabila mereka mendakwa tanah yang diusahakan mereka sejak puluhan tahun lalu diambil oleh kerajaan negeri itu untuk dibangunkan sebagai Ladang Rakyat yang diusahakan pihak swasta.



06 May 2011

Tender pembangunan Pulau Bebas Cukai keluar minggu depan

Oleh: Suriati Ali


Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said menaiki belon panas di Festival Kenyir 2011 di Hulu Terengganu. - Foto: Syed Abdul Rahman.

Kerajaan negeri akan mengeluarkan tender dan sebut harga bagi lima pakej pembangunan Pulau Bebas Cukai, di Tasik Kenyir Hulu Terengganu, bermula minggu depan.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata bagi merealisasikan sebuah kawasan bebas cukai yang serba lengkap, pihak berkaitan sedang giat melaksanakan pembangunan prasarana termasuk Kompleks Bebas Cukai dan Kompleks Kastam yang dirancang dibina di Pulau Bayas, selain mewujudkan rangkaian gedung yang akan menjual barangan berkualiti berkonsepkan Factory Outlet.

Katanya, pada masa sama, Tenaga Nasional Berhad (TNB) kini sedang giat menjalankan kerja-kerja memasang kabel elektrik sejauh 23 kilometer (km) iaitu bermula dari Kampung Kuala Ping, Hulu Terengganu ke Pulau Bayas, Tasik Kenyir membabitkan kos RM33juta.

Status Tasik Kenyir sebagai pulau bebas cukai akan membantu menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini, sekali gus meningkatkan ekonomi negeri dan rakyatnya, terutama penduduk setempat.

“Kita harap ini akan menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan Terengganu. Selama ini kita anggap Tasik Kenyir sebagai sebuah tasik yang 'tidur'. Hampir 30 tahun tidak ada kegiatan dan pembangunan, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Kenyir 2011, Hulu Terengganu, hari ini (6 Mei).



Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, YB Toh Chin Yaw; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telemong, YB Haji Rozi Mamat dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Haji Mat Razali Kassim.

Tetamu kehormat lain, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, YB Haji Mohd Nor Othman; Pengurus Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Encik Hamzah Ngah; beberapa pemimpin masyarakat dan pegawai kanan kerajaan.

Lebih 170 gerai pameran dan jualan daripada agensi kerajaan dan swasta di samping usahawan dari wilayah Ketengah mengambil bahagian dalam program itu.

Pelbagai aktiviti air diadakan bagi menarik minat pengunjung termasuk pertandingan jet ski, triathlon Kenyir, bot berhias, pertunjukan perahu naga Putrajaya dan permainan bot kawalan jauh.

Aktiviti lain, karnival usahawan dan pameran, pertunjukan belon udara panas, persembahan pelakon Upin dan Ipin serta tarian kebudayaan.


Sementara itu, pihak penganjur turut memberi kemudahan kepada orang ramai dengan menyediakan pengangkutan bas dan van dari Bandar Kuala Berang, Hulu Terengganu ke Pengkalan Gawi.



Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu sebanyak RM100 juta diperuntukan untuk pembangunan prasarana pelancongan di tasik buatan manusia itu, antara lain menempatkan taman tema air di Pulau Besar, Taman Orkid, Santuari Kelah, Santuari Gajah, Taman Herba, Taman Burung, Taman Rama-Rama dan Taman Anggur.