Halaman

18 June 2011

Pulau Bidong lokasi skuba yang menarik

Oleh; Esah Abdullah

Eksplorasi Pulau Bidong yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, YB Datuk Haji Abdul Rahin Mohd Said di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTIC) Kuala Lumpur telah membuka ruang kepada pecinta alam mendekati pulau itu.

Program anjuran bersama Tourism Malaysia itu disertai 60 wakil media dan penyelam skuba dalam usaha memperkenalkan pulau berkenaan sebagai lokasi skuba yang sangat berpotensi di negeri ini selain pulau lain yang sudah terkenal.

Pada program berkenaan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Tourism Malaysia telah memberi taklimat kepada peserta mengenai halatuju kawasan selam di sekitar Pulau Bidong dan pembangunan pakej hari selam yang diadakan.

Menurut YB Datuk Haji Abdul Rahin, Pulau Bidong merupakan sebuah destinasi warisan sejarah yang dahulunya digelar ‘Little Saigon’ penuh dengan kesan peninggalan penempatan ribuan pelarian Vietnam yang tinggal di situ.

“Pulau ini sangat sesuai bagi mereka yang ingin melihat lebih dekat kesan sejarah pelarian Vietnam di samping keindahan yang terdapat di sekitar pulau berkenaan.

Kira-kira 250,000 pelarian berada di kem-kem di pulau berkenaan sebelum ia di tutup pada 1991di mana pelarian ini telah dipindahkan ke negara ketiga seperti Amerika Syarikat, Kanada, Australia, Perancis dan ada yang balik ke negara asal Vietnam.

Di samping menjalankan kativiti di pulau peserta program turut di bawa melawat beberapa tempat menarik di negeri ini seperti Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man dan Pasar Payang, Kuala Terengganu.




LPPKN adakan promosi saringan kesihatan

Oleh; Esah Abdullah

Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Terengganu, akan mengadakan promosi perkhidmatan saringan kesihatan reproduktif percuma kepada orang ramai selama enam hari bermula 20 Jun ini.

Pengarah LPPKN Terengganu, Puan Nurfarhana Lee Mohd Zulkiflee berkata promosi ini diadakan di semua Klinik Nur Sejahtera seluruh negeri.

Katanya, pelbagai program menarik ditawarkan termasuklah perkhidmatan perancang keluarga bagi penerima baru dan ulangan untuk semua kaedah perancang kecuali implanon.

“Pemeriksaan lain termasuklah tekanan darah, Indeks Jisim Badan (BMI), ujian glukos dan kolestrol,” katanya kepada Teganukita.

Selain itu katanya, LPPKN akan menyediakan pemeriksaan pap smear dan mengesan barah payudara serta pameran kesihatan.

Pihaknya juga laksana aktiviti kembara kaunseling dengan memberi peluang pengunjung mengambil ujian psikologi seperti ujian stress dan cara gaya keibubapaan yang dikendalikan Pegawai Psikologi LPPKN.

Katanya, bagi menggalakkan penyertaan orang ramai jabatan menyediakan ‘cenderahati’ istimewa kepada 50 orang pengunjung pertama dalam setiap program yang diadakan.

Katanya sepanjang masa promosi orang ramai boleh mengunjungi Klinik Nur Sejahtera yang terletak di Tingkat 1, Pusat Niaga Paya Keladi, Kuala Terengganu, Jalan Mok Mek, Jerteh dan Jalan Yahya Ahmad di Dungun.




Aplikasi IT dalam pentadbiran kerajaan negeri

Oleh: Aida Abd Rahman

Penggunaan kemudahan teknologi maklumat (IT) akan diaplikasikan sepenuhnya dalam sistem pengurusan dan pentadbiran kerajaan negeri bagi menghantar serta menerima maklumat antara negeri, jabatan dan agensi di seluruh Terengganu menjelang September ini.

Pengarah Unit Pengurusan Maklumat negeri, Encik Che Abd Rani Mohd, berkata setiap perhubungan antara kerajaan negeri, jabatan serta agensinya akan menggunakan kemudahan e-mel, dan bukan lagi melalui surat biasa seperti amalan yang sering dilaksanakan sebelum ini.

"Usaha ke arah itu kini sedang giat dijalankan, yang mana setakat ini, hampir 85 peratus daripada sistem pengurusan maklumat telah dinaik taraf bagi membolehkan surat atau dokumen dihantar dengan cepat dan tepat melalui e-mel," katanya kepada pemberita pada majlis Program BESCOMM Bersama Masyarakat anjuran Bestari.Com dari Unit Pengurusan Maklumat Kerajaan Negeri di Kuala Besut, semalam.

Bagaimanapun, pelaksanaan itu tidak melibatkan dokumen penting dan terhad, yang masih menggunakan pos biasa, dan program tersebut juga melibatkan penghantaran surat serta maklumat daripada kerajaan negeri kepada pusat.

Mengulas mengenai penggunaan Internet di kalangan penduduk Terengganu, Che Abd Rani berkata pelbagai usaha dilakukan kerajaan negeri untuk menarik 85 peratus penduduk mempelajari ICT.

"Di kalangan remaja, termasuk pelajar sekolah, penguasaan Internet adalah sebanyak 50 peratus, manakala di kalangan warga emas dan penduduk kampung sebanyak 35 peratus," katanya.





17 June 2011

Cuti umum bonus buat penyokong

Oleh: Aida Abd Rahman

Cuti umum pada 19 Jun ini (Ahad ) yang diumumkan kerajaan negeri sebagai menghargai kejayaan pasukan Terengganu menjuarai Piala FA serta kontijen negeri ini yang menjuarai Sukan Malaysia (Sukma) Ke-14 sesuatu yang amat ditunggu-tunggu seluruh rakyat Terengganu.

Seorang kakitangan swasta, Hartini Jusoh, 27, dari Kuala Terengganu berkata, pengisytiharan itu sebagai hadiah bermakna buat seluruh rakyat yang tidak jemu-jemu memberi sokongan kepada atlet Terengganu sehingga mampu meraih kejayaan berganda itu.

“Gembira dan sangat menunggu pengumuman cuti umum itu. Sekurang-kurangnya pengorbanan penyokong sukan negeri yang sentiasa berada di belakang bintang sukan turut dihargai sama,” katanya.
Pandangan itu turut disokong rakan baiknya, Nor Fadzlina Zakaria, 31, seorang pengusaha salon di Marang dan menganggap cuti yang diberikan pada hari Ahad memberi kelebihan kepada rakyat Terengganu untuk mengisi cuti hujung minggu lebih panjang dengan tambahan sehari cuti umum itu.

“Sekurang-kurangnya nikmat kejayaan pasukan bola sepak dan atlet Sukma yang muncul juara di Kuala Lumpur turut dirasai oleh semua dan kenangan indah itu harus dikenang sampai bila-bila.

“Malah, semua di kalangan kita berharap kejayaan lebih baik mampu diraih pada masa depan kerana Terengganu kini bukan seperti sepuluh tahun dulu lagi berikutan pelbagai kejayaan gemilang yang sudah dicapai dan membanggakan seluruh rakyat,” katanya.

Seorang peminat setia pasukan bola sepak Terengganu, Mazlan Yahya, 28, pula teruja dengan kejayaan gemilang yang sudah dilakarkan atlet dan pemain bola sepak Terengganu yang memahat sejarah tersendiri dalam arena sukan negara.

“Cuti umum seakan bonus untuk kita semua sebagai penyokong dan rakyat yang menantikan detik bermakna bagi merai kejayaan gemilang itu.Sokongan kita sungguh berbaloi dan kejayaan skuad bola sepak khususnya masih segar diingatan,” katanya lagi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengumumkan Ahad (19 Jun 2011) sebagai cuti umum bagi Terengganu sebagai menghargai kejayaan berganda dalam sukan yang diraih Terengganu itu.

“Dengan kuasa yang ada pada saya sebagai Menteri Besar, dengan ini saya mengumumkan bahawa hari Ahad ini sebagai cuti umum bagi meraikan kejayaan atlet kita,” katanya sambil diiringi tepukan gemuruh lebih 7,000 orang yang membanjiri Dataran Shahbandar bagi meraikan skuad Terengganu menggenggam Piala FA dan atlet yang menyertai kejohanan Sukma dan muncul juara kali ketiga berturut-turut, baru-baru ini.

Menteri Besar yang begitu gembira dengan kejayaan berganda ahli sukan negeri ini, berkata kerajaan negeri amat berbangga dengan kejayaan mereka dan berharap lebih banyak kejayaan dicipta atlet di masa depan.

“Kerajaan negeri tidak pernah lokek untuk memberi pengiktirafan kepada mereka yang berjaya dalam segala bidang.

“Mereka yang berjaya akan diberi ganjaran yang setimpal dengan kejayaan yang telah mereka capai,” ujar beliau.






16 June 2011

FORUM RAKYAT DI TOK JIRING


Unit Komunikasi Negeri (UKOM)dengan kerjasama Peti Undi Tok Jiring akan menganjurkan Forum Rakyat esok (Jumaat), 17 Jun bertempat di Dewan Komuniti Kampung Tok Jiring, Dewan Undangan Negeri(DUN) Tepoh, Parlimen Kuala Nerus pada jam 8.45 malam.

Forum tersebut akan mengupas isu-isu semasa bertemakan 1 Malaysia serta Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan.

Beberapa orang ahli panel tempatan, termasuk Pengarah Ukom Haji Shamsuddin Sulong dan ADUN Tepoh, YB Ustaz Mohd. Ramli Noh akan turut menjadi ahli panel.

Orang ramai dijemput hadir dalam forum yang diadakan secara terbuka itu.


Atlet hargai sikap cakna kerajaan

Oleh: Suriati Ali



“Terima kasih tidak terhingga kepada Kerajaan Terengganu kerana sanggup membiayai kos rawatan kecederaan bahu yang saya alami walaupun tidak sempat menyumbang sebarang pingat pada kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) di Kuala Lumpur.

“Langkah kerajaan menghantar saya di sebuah pusat perubatan terkenal itu cukup besar buat diri saya dan keluarga yang sememangnya tidak mampu membayar bil yang agak mahal,” kata atlet Judo Mohd Syukri Nawi ketika dihubungi Teganukita hari ini (16 Jun).

Beliau bersama rakan seperjuangan, Muhammad Saiful Iskandar Manan dan pemain bola jaring Siti Aminah Ahmad, menerima rawatan serta layanan cukup sempurna daripada doktor dan jururawat di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Encik Zainal Abidin Hussin dan beberapa pegawai kanan kerajaan mengambil kesempatan melawat ketiga-tiga atlet itu yang mendapat rawatan di pusat itu selama tiga hari.

Mohd Syukri mengalami kecederaan serius di bahu kanan akibat terjatuh ketika beraksi dalam pusingan kedua dalam Kejohanan Judo Sukma Ke- 14, kini sedang berehat di rumah dan akan menjalani rawatan susulan di Hospital Sultanah Nur Zahirah secara berperingkat-peringkat.

Muhammad Saiful Iskandar yang juga atlet judo, 17, berkata tiada perkataan lain yang dapat diucapkan selain jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana sudi menyediakan rawatan terbaik buat dirinya.

“Jika berpeluang, saya nekad melakukan aksi lebih cemerlang dalam Sukma akan datang bagi membolehkan Terengganu terus melakar nama di arena sukan seperti yang dialami sekarang ini,”katanya.

Menurutnya,kecederaan lutut sewaktu beraksi pada kejohanan Sukma kali ini adalah paling serius berbanding sebelum ini.

“Walaupun kerap kali mengalami kecederaan, ia tidak mematahkan semangat saya untuk terus bersaing dalam sukan judo,” katanya.

Kerajaan negeri menanggung sepenuhnya kos pembedahan dan rawatan tiga atlet Terengganu berjumlah RM46,000 yang mengalami kecederaan serius ketika beraksi dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-14 di Kuala Lumpur.

Timbalan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Encik Ibni Amin Busu berkata, rawatan terbaik diberikan kepada tiga atlet yang telah berjuang mengharumkan nama negeri bersama atlet lain sehingga berjaya mencipta hatrik dengan mempertahankan kejuaraan selama tiga tahun berturut-turut.

“Tiga atlet itu mengalami kecederaan yang agak serius dan memerlukan rawatan rapi, bagi menjaga kebajikan dan kesihatan mereka, kerajaan negeri membuat keputusan untuk memastikan mereka mendapat rawatan terbaik,” katanya.


Sokongan semua pihak dorong kejayaan Siti Rajiah

Oleh: Suriati Ali

Ratu Kanu Terengganu Siti Rajiah Ali, 21, memberitahu berkat doa ibu bapa, dorongan jurulatih Mohd Hakimi Abdullah dan sokongan rakan seperjuangan, menjadi faktor utama kejayaan beliau dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) Ke-14 Kuala Lumpur 2011.

“Tanpa mereka, saya tidak mampu meraih kejayaan besar ini serta mengharumkan nama Terengganu di serata negeri dan luar negara,” katanya yang memperoleh enam pingat emas menerusi acara kanu secara individu dan berpasukan.

Kejayaan dalam acara K1 1000 meter, K4 1000 meter, K1 500 meter dan K4 500 meter itu membolehkan Siti Rajiah layak menerima sumbangan Kerajaan Terengganu sebanyak RM30,000 secara keseluruhan.

Katanya, dia bangga dengan sikap cakna kerajaan negeri yang sanggup mengeluarkan belanja dalam jumlah yang besar semata-mata untuk membangun bidang sukan.

“Wang kemenangan RM30,000 ini akan disimpan untuk kegunaan masa depan selain membeli beberapa aset berharga untuk keluarga yang telah banyak memberi sokongan dan dorongan untuk saya meraih kejayaan,” katanya.


Kakitangan awam perlu tunjuk prestasi kerja yang baik-MB

Oleh: Aida Abd Rahman/ Hazwan Rosli

Kakitangan kerajaan diingatkan supaya sentiasa bersyukur dan menunjukkan prestasi kerja yang baik kerana golongan ini lebih terjamin kedudukan mereka dalam dunia pekerjaan, berbanding kakitangan swasta jika negara berdepan dengan kemelesetan ekonomi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kelebihan kakitangan kerajaan berbanding swasta sepatutnya menjadi kayu ukur untuk golongan itu menanam budaya bekerja dengan betul dan mengikut etika serta undang-undang yang ditetapkan.

“Kakitangan kerajaan harus sentiasa bersyukur kerana dapat bekerja dengan kerajaan, berikutan apabila berlaku kemelesetan ekonomi pekerja swasta bimbang dan takut diberhentikan, manakala pekerja kerajaan lebih terjamin.

“Imej kerajaan terletak kepada kakitangan kerajaan, jika kakitangan menjalankan tugas dengan betul dan mengikut undang-undang, maka masyarakat akan menilai kerajaan membuat kerja dengan baik, bagaimanapun apabila ada salah laku di kalangan kakitangan kerajaan akan menyebabkan orang lain menuding jari pada kerajaan,” katanya di majlis perjumpaan bersama pegawai dan warga kerja kerajaan serta swasta daerah Kemaman, di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman, baru-baru ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Haji Mohamed Awang Tera serta Adun Kemasik, Ir Rosli Othman.

Menteri Besar juga meminta semua kakitangan kerajaan mahupun swasta melakukan penambahbaikan terhadap hasil kerja kerana pekerjaan yang dilaksanakan menjadi satu amanah sekaligus mampu merealisasilkan tahun 2020 sebagai negara maju.

Katanya, pekerjaan bukan hanya sebagai sumber pendapatan dan mata pencarian bagi menyara diri dan keluarga, malah juga menjadi matlamat bagi meningkatkan ekonomi negara.

Selain itu, kakitangan kerajaan mahupun swasta seharusnya melayani pelanggan serta rakyat yang sentiasa berurusan dengan mereka dengan mesra dan` senyum sokmo’ supaya wujud suasana lebih selesa serta lancar dalam melaksanakan tugas seharian.



TATiUC sedia kursus kemahiran kepada lepasan SPM

Oleh: Esah Abdullah



Hasrat kerajaan melahirkan lebih ramai golongan tenaga mahir tempatan bagi menampung keperluan industri negara akan direalisasikan menerusi program Pembangunan Pelajar Terbilang Negeri Terengganu (PPTNT).

Program PPTNT yang baru diwujudkan itu mencerminkan manfaat yang diperoleh pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari seluruh negeri dengan menawarkan tempat di institusi pengajian tinggi (IPT) khususnya di Kolej Universiti TATi (TATiUC).

“Setakat ini TATiUC berjaya melatih 144 pelajar lepasan SPM sejajar fungsi institusi itu sebagai gedung ilmu bagi melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dalam pelbagai bidang,” kata Rektornya Dr Mohd Rozailan Mamat.

Menurutnya, peserta yang dilahirkan menerusi program berkenaan menjadi medium utama mempromosikan TATiUC kepada masyarakat sekali gus memenuhi hasrat kerajaan melatih belia lepasan sekolah dalam bidang kemahiran.

“Peserta program ini juga memperoleh manfaat berguna terutama dari segi peningkatan kemahiran malah kemudahan dan kepakaran tenaga pengajar dimanfaatkan sepenuhnya untuk memberi latihan dan pengetahuan kepada peserta kursus,” katanya.

Terdapat tujuh kursus ditawarkan antaranya ‘Reka Letak dan Multimedia’, ‘Asas Rekaan/Pelukis Pelan’ dan ‘Penyelenggaraan Kenderaan Bermotor’.

Menurut Dr. Mohd Rozailan, peserta yang berjaya menamatkan kursus menerima sijil dalam bidang yang diambil dan berpeluang menyertai mana-mana agensi yang memerlukan khidmat tenaga mahir di negeri ini.




Tarik minat orang muda serta aktiviti berfaedah

Oleh; Esah Abdullah



Gelanggang futsal bernilai RM150,000 begitu besar manfaatnya kepada masyarakat setempat untuk beriadah terutama golongan belia untuk bermain futsal, sepak takraw dan bola jaring.

Ahli Perlimen Setiu, YB Dato’ Haji Mohd Jidin Shafee ketika merasmikan gelanggang berkenaan di Kampung Gong Lingai, Batu Rakit berkata, usaha kerajaan ke arah mewujudkan golongan belia yang sihat dan cergas terus diperkasakan.

“Kerajaan akan wujudkan lebih banyak kemudahan beriadah di kampung-kampung yang dilihat mampu menarik minat golongan muda untuk menyertai aktiviti yang berfaedah,” katanya.

Katanya, usaha ini juga bagi mengelak mereka menyertai aktiviti liar termasuk merempit yang menimbulkan masalah kepada orang ramai.

Sehubungan itu beliau bersetuju untuk memasang lampu limpah berhampiran gelanggang berkenaan bagi menghidupkan suasana malam sekali gus dapat meningkat ekonomi penduduk.

“Dengan adanya lampu limpah masyarakat di sini dan kawasan sekitar boleh lakukan pelbagai aktiviti kemasyarakatan kerana pada siang hari kebanyakkan mereka keluar bekerja,” katanya.

Katanya, segala kemudahan yang diberikan ini membuktikan kerajaan sentiasa memastikan pembangunan di kawasan luar bandar tidak terpinggir.

Beliau berharap semua kemudahan yang disediakan kerajaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya di samping dapat mengeratkan perpaduan antara penduduk setempat.