Halaman

16 June 2011

TATiUC sedia kursus kemahiran kepada lepasan SPM

Oleh: Esah Abdullah



Hasrat kerajaan melahirkan lebih ramai golongan tenaga mahir tempatan bagi menampung keperluan industri negara akan direalisasikan menerusi program Pembangunan Pelajar Terbilang Negeri Terengganu (PPTNT).

Program PPTNT yang baru diwujudkan itu mencerminkan manfaat yang diperoleh pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari seluruh negeri dengan menawarkan tempat di institusi pengajian tinggi (IPT) khususnya di Kolej Universiti TATi (TATiUC).

“Setakat ini TATiUC berjaya melatih 144 pelajar lepasan SPM sejajar fungsi institusi itu sebagai gedung ilmu bagi melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dalam pelbagai bidang,” kata Rektornya Dr Mohd Rozailan Mamat.

Menurutnya, peserta yang dilahirkan menerusi program berkenaan menjadi medium utama mempromosikan TATiUC kepada masyarakat sekali gus memenuhi hasrat kerajaan melatih belia lepasan sekolah dalam bidang kemahiran.

“Peserta program ini juga memperoleh manfaat berguna terutama dari segi peningkatan kemahiran malah kemudahan dan kepakaran tenaga pengajar dimanfaatkan sepenuhnya untuk memberi latihan dan pengetahuan kepada peserta kursus,” katanya.

Terdapat tujuh kursus ditawarkan antaranya ‘Reka Letak dan Multimedia’, ‘Asas Rekaan/Pelukis Pelan’ dan ‘Penyelenggaraan Kenderaan Bermotor’.

Menurut Dr. Mohd Rozailan, peserta yang berjaya menamatkan kursus menerima sijil dalam bidang yang diambil dan berpeluang menyertai mana-mana agensi yang memerlukan khidmat tenaga mahir di negeri ini.