Dato' Seri Haji Ahmad Said ketika hadir pada majlis perasmian Dewan Komuniti Tionghua Kemaman. - Foto: ZULKIPLI PUTRA.
Keprihatinan kerajaan negeri terhadap semua kaum terbukti apabila menyediakan dewan serba guna untuk kegunaan masyarakat Tionghua di Kemaman.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata Kerajaan Negeri prihatin dengan keperluan penduduk kaum Cina di Kemaman yang mengalami masalah untuk mengadakan pelbagai majlis dan aktiviti keramaian termasuk perkahwinan.
“Kita luluskan peruntukan untuk membina sebuah dewan serba guna berharga lebih RM3.8 juta untuk mereka. Cuma, apa yang kita harapkan penduduk Cina tidak mudah terpengaruh dengan fitnah dan dakyah pembangkang sebaliknya terus memberikan sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN),” katanya ketika merasmikan Dewan Komuniti Tionghua Kemaman, di Kampung Bukit Mak Dayang, Kemaman, baru-baru ini.
Menteri Besar berharap pengorbanan kerajaan dapat dinilai penduduk serta terus menyokong kerajaan negeri tanpa berbelah bagi terutama dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.
Lebih menggembirakan, pada majlis itu, Dato' Seri Haji Ahmad turut mengumumkan kelulusan peruntukan tambahan RM100,000 untuk membuat penambahan dan pengubahsuaian pendingin hawa di dewan berkenaan yang siap awal tahun ini dan berharap ia dapat memberikan manfaat kepada warga Tionghua di daerah ini khususnya.
Sementara itu, kewujudan dewan serba guna berkenaan diterima dengan penuh gembira oleh kira-kira 2,000 penduduk Tionghua di daerah ini kerana penantian sejak lebih 20 tahun lalu akhirnya terealisasi.
Dewan yang menyediakan kelengkapan gelanggang badminton, futsal dan sepak takraw itu juga boleh digunakan sebagai tempat perkahwinan masyarakat Cina serta penganjuran acara kemasyarakatan.