Halaman

14 June 2011

Kerajaan negeri adil dan saksama

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Adil dan saksama – Itulah kesimpulan yang dapat dibuat hasil pengumuman Menteri Besar, Dato’ Haji Ahmad Said, ketika meraikan skuad Penyu yang meraih Piala FA dan atlet Terengganu yang menjuarai Sukan Malaysia (Sukma) XVI.

Pada majlis itu, pemain bolasepak Terengganu kegirangan apabila Menteri Besar mengumumkan ‘durian runtuh’ RM10,000 bagi setiap pemain dan jurulatih di samping lawatan ke London seperti yang dijanjikan sebelum ini.

Selain itu, setiap pemain juga akan dihadiahkan komputer riba setiap orang, sumbangan Syarikat Top IT, sebuah anak syarikat negeri.

Manakala atlet yang turut mengharumkan nama negeri setelah muncul juara Sukma buat kali ketiga berturut-turut akan menerima wang tunai RM5,000 bagi setiap pingat emas yang dimenangi, perak RM3,000 dan gangsa RM2,000.

Pada majlis itu juga Menteri Besar membuat pengumuman yang amat dinanti-nantikan seluruh rakyat Terengganu, yang berbunyi:

“Dengan kuasa yang ada pada saya sebagai Menteri Besar, dengan ini saya mengumumkan bahawa hari Ahad ini (19 Jun) sebagai cuti umum bagi meraikan kejayaan atlet kita,”.

Pengumuman beliau itu disambut sorakan dan tepukan gemuruh lebih 7,000 penduduk tempatan yang membanjiri Dataran Shahbandar bagi sama-sama meraikan skuad Terengganu dan para atlet tempatan yang berjaya mengarumkan nama negeri ini.

Menteri Besar yang bergegas pulang dari Kuala Lumpur semata-mata untuk meraikan skuad ‘Penyu’ dan para atlet itu ternyata begitu gembira dengan kejayaan berganda ahli sukan negeri ini.

Dato’ Haji Ahmad menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak pernah lokek untuk memberi pengiktirafan kepada mereka yang berjaya dalam segala bidang, terutama pelajaran dan sukan.

Ini terbukti apabila beberapa ahli sukan seperti Azizulhasni Awang dan Anwar Manan yang mengukir nama dalam sukan lumba basikal di peringkat antarabangsa, masing-masing sudah menerima habuan daripada kerajaan negeri.

Malah, Menteri Besar memberi jaminan kerajaan negeri akan menghulurkan pelbagai bantuan yang mereka perlukan bagi memastikan mereka dapat mencipta kejayaan lebih besar di masa depan.

Itulah sepintas lalu gambaran kecaknaan kerajaan negeri terhadap mereka yang berjasa dan bukan saja jasa mereka dikenang, rakyat turut menumpang bangga dan mereka sepatutnya diberi cuti umum sebagai tanda sokongan kepada para atlet yang telah berjaya.