Halaman

12 June 2011

YPU dan DPPMT bantu usahawan Bumiputra

Oleh: Esah Abdullah

Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) kerjasama Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Terengganu (DPPMT) membuat sasaran membuka 20 rangkaian kedai barangan perkakasan T-Hardware di seluruh negeri tahun ini.

Di samping 20 buah T-Hardware, sebuah gudang utama dikenali sebagai Bina Trade akan dibangunkan di kawasan berhampiran Pelabuhan Kemaman.

Daerah Kemaman dilihat sesuai dijadikan tapak gudang utama untuk kemudahan logistik dan simpanan barangan import yang tiba di pelabuhan itu sebelum diagihkan ke semua T-Hardware di daerah-daerah lain.

Menurut Yang Dipertua DPPMT, Tengku Ismail Tengku Jaafar, matlamat DPPMT adalah untuk membantu usahawan Bumiputra terbabit dalam perniaga yang berdaya maju.

“Dengan penglibatan rangkaian kedai T-Hardware mereka mampu menjana pendapatan sehingga RM5 juta setahun sekiranya konsep yang disasarkan itu terlaksana,” katanya.

Katanya, rangkaian T-Hardware kebih tersusun dan teratur berbanding kedai perkakasan sedia ada dan kos pembukaan setiap premis dianggarkan RM200,000 manakala gudang utama RM2 juta.

Selain itu katanya, jika pelaksanaan rangkaian kedai berkenaan berjaya mencapai sasaran jualan, ia akan dijadikan model serta diperluas ke seluruh negara di mana usahawan Bumiputra baru dan pengusaha kedai perkakasan sedia ada akan diberi peluang menyertainya.