Halaman

13 June 2011

Program kesedaran pengguna

Oleh: Esah Abdullah



Kerajaan merangka pelbagai program dan aktiviti untuk memberi kesejahteraan kepada pengguna di negeri ini di samping mewujudkan suasana kondusif kepada peniaga untuk menjalankan aktiviti harian mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr. A. Rahman Mokhtar berkata, melalui Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNK) merangka program kesedaran untuk komuniti setempat , pelajar dan guru.

“Kumpulan ini diberi pendedahan berkait ilmu kepenggunaan termasuk perundangan dan kuatkuasa sesuatu barang keperluan,” katanya kepada Teganukita.

Katanya, orang ramai perlu tahu hak mereka selaku pengguna dan memastikan harga yang seragam baik di bandar, kawasan pendalaman atau di pulau-pulau.

Menurutnya, pengetahuan luas perkara berkaitan penting agar tidak berlaku penipuan dan pihak ketiga meraih untung berganda di atas kesilapan pengguna sendiri.

Setakat ini katanya, pihak PPDNK melaksanakan projek Pengedaran Barang Perlu (PBP) dengan lancar dan berkesan kepada penduduk Pulau Perhentian dan Sungai Sayap, Besut , Pulau Redang, Kuala Terengganu dan Pasir Raja dan Kampung Basong, Hulu Terengganu.

“ Pelaksanaan PBP membabitkan kos pengangkutan yang tinggi dan ianya ditanggung oleh jabatan untuk memastikan pengguna yang tinggal jauh dari kawasan bandar dapat menikmati harga yang seragam,” katanya.