Halaman

13 June 2011

Pas perlu gugur istilah Islam

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Sesuai dengan perjuangan Pas yang tidak lagi berjuang untuk Islam, pemimpin parti itu perlu mengugurkan perkataan Islam pada nama parti itu bagi mengelakkan orang ramai daripada terus terkeliru dengan perjuangannya yang sudah jauh menyimpang daripada matlamat penubuhannya.

Pelbagai pihak berpendapat langkah itu perlu bagi menyesuaikan perjuangan terkini parti itu yang kini dilihat lebih berminat menjaga hubungannya dengan parti pembangkang lain, terutama DAP.

Berdasarkan perkembangan semasa dalam Pas, pemimpin parti lain dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) menyarankan Pas menukar nama parti itu kepada Parti Kebajikan se-Malaysia menggantikan nama asalnya Parti Islam se-Malaysia.

Ada juga pemimpin NGO yang menyarankan pemimpin Pas menukarkan nama parti itu kepada Parti Amal Jariah sahaja.

Malah, ada juga yang menyarankan nama Pas kini ditukar kepada Parti Kebajikan se-Malaysia, sesuai dengan perjuangannya untuk menjaga kebajikan rakyat, bukannya agama Islam.

Selama ini pemimpin parti itu lantang menyuarakan hasrat mereka untuk mengubah perlembagaan negara dengan menjadikan al-Quran dan Hadis sebagai asas penggubalan undang-undang.

Dalam setiap ceramah, mereka mengecam pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) kerana tidak melaksanakan undang-undang Islam, sebakliknya lebih mengutamakan projek pembangunan untuk rakyat.

Sebaliknya selepas sekian lama bergelumang dengan DAP, pemimpin Pas sudah mula melupai matlamat penubuhan parti itu dan kini mereka turut terikut-ikut dengan rentak permainan DAP.

Walau apa pun nama baru yang dicadangkan untuk parti itu, rakyat negara ini sudah dapat menilai matlamat sebenar perjuangan parti itu.

Kini ‘sudah terang lagi bersuluh’ bahawa Pas sebenarnya tidak ada apa-apa yang istimewa kerana pemimpinnya hanya berjuang untuk kepentingan diri mereka sahaja.

Malah, lebih teruk lagi pemimpin Pas mahu merealisasikan rakan-rakan mereka dapam pakatan pembangkang untuk memerintah negara ini dan mereka berpeluang untuk meraih pelbagai keuntungan jika pakatan pembangkan memerintah Malaysia.

Rakyat yang selama ini menyokong perjuangan Pas sudah mula sedar bahawa selama ini mereka telah ditipu pemimpin parti itu yang menggunakan agama Islam untuk mendapat sokongan.