Halaman

13 June 2011

Pulau Bidong destinasi sukan air

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Kerajaan negeri sedang giat mempromosikan Pulau Bidong yang terkenal sebagai penempatan perlarian dari negara Vietnam pada tahun 70-an, sebagai destinasi sukan air, selam skuba dan snorkeling.

Bagi tujuan itu, Eksplorasi Bidong Tourism Malaysia Bersama Media 2011 selama tiga hari dua malam, melibatkan penyertaan wartawan dan jurugambar daripada pelbagai media cetak dan elektronik, dilancarkan bagi menarik pengunjung ke situ.

Majlis pelancaran program tersebut disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, YB Datuk Abdul Rahin Mohd Said, di Kuala Lumpur, semalam.

Bercakap kepada wartawan selepas majlis itu, beliau berkata pihaknya tidak mahu pulau yang terkenal di seluruh dunia itu kerana peninggalan sejarahnya, terbiar begitu saja, sedangkan masih banyak hidupan laut yang boleh terus dipulihara dan dijaga.

Program berkenaan yang diadakan dengan kerjasama Tourism Malaysia diharapkan dapat memberi promosi sewajarnya dan mempopularkan semula pulau yang agak terbiar itu.

Beliau berkata, kerajaan negeri berharap pulau berkenaan akan menjadi destinasi pelancongan terkenal dan mampu menarik mereka yang gemar beriadah dan meminati sukan air.

Katanya, pulau tersebut masih kaya dengan khazanah alam semulajadi dan mampu menjadi lokasi pelancongan terkenal jika diberi perhatian dan promosi diadakan dari semasa ke semasa.