Kakitangan kerajaan diingatkan supaya sentiasa bersyukur dan menunjukkan prestasi kerja yang baik kerana golongan ini lebih terjamin kedudukan mereka dalam dunia pekerjaan, berbanding kakitangan swasta jika negara berdepan dengan kemelesetan ekonomi.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kelebihan kakitangan kerajaan berbanding swasta sepatutnya menjadi kayu ukur untuk golongan itu menanam budaya bekerja dengan betul dan mengikut etika serta undang-undang yang ditetapkan.
“Kakitangan kerajaan harus sentiasa bersyukur kerana dapat bekerja dengan kerajaan, berikutan apabila berlaku kemelesetan ekonomi pekerja swasta bimbang dan takut diberhentikan, manakala pekerja kerajaan lebih terjamin.
“Imej kerajaan terletak kepada kakitangan kerajaan, jika kakitangan menjalankan tugas dengan betul dan mengikut undang-undang, maka masyarakat akan menilai kerajaan membuat kerja dengan baik, bagaimanapun apabila ada salah laku di kalangan kakitangan kerajaan akan menyebabkan orang lain menuding jari pada kerajaan,” katanya di majlis perjumpaan bersama pegawai dan warga kerja kerajaan serta swasta daerah Kemaman, di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman, baru-baru ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Haji Mohamed Awang Tera serta Adun Kemasik, Ir Rosli Othman.
Menteri Besar juga meminta semua kakitangan kerajaan mahupun swasta melakukan penambahbaikan terhadap hasil kerja kerana pekerjaan yang dilaksanakan menjadi satu amanah sekaligus mampu merealisasilkan tahun 2020 sebagai negara maju.
Katanya, pekerjaan bukan hanya sebagai sumber pendapatan dan mata pencarian bagi menyara diri dan keluarga, malah juga menjadi matlamat bagi meningkatkan ekonomi negara.
Selain itu, kakitangan kerajaan mahupun swasta seharusnya melayani pelanggan serta rakyat yang sentiasa berurusan dengan mereka dengan mesra dan` senyum sokmo’ supaya wujud suasana lebih selesa serta lancar dalam melaksanakan tugas seharian.