Halaman

13 June 2011

Sana sini berita kejayaan Terengganu

Oleh: Suriati Ali



Semua akhbar arus perdana iaitu Harian Metro, Berita Harian, Utusan, Nstp, Sinar Harian, Kosmo dan The Star bermula semalam, (12 Jun) secara berterusan menyiarkan pelbagai paparan berita menarik mengenai kejayaan Terengganu meraih kejuaraan dalam bola sepak Piala FA dan Sukan Malaysia (Sukma) ke 14 Kuala Lumpur.

Berita bertajuk, Ganu Nelang, Warna-warna Piala FA 2011, Terengganu Rai Kejuaraan Berganda dan sebagainya mampu membuatkan peminat tersenyum ketika membaca setiap laporan akhbar.

Warung kopi, restoran, dan kedai makan turut menjadi lokasi topik perbualan mengenai kejayaan Terengganu bersama rakan sekerja.

Kira-kira jam 3.30 petang semalam, hampir 5,000 rakyat Terengganu membanjiri ruang ketibaan lapangan terbang itu bagi menyambut kepulangan wira-wira Terengganu yang berjaya menjulang Piala FA.

Kesemua pemain bersama piala kemudiannya diarak dari LTSM sehingga ke Dataran Shahbandar dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda.

Berpuluh-puluh buah kenderaan peminat pasukan itu turut mengiringi sambil mengibarkan bendera negeri dan membunyikan hon kereta sepanjang perjalanan ke Shahbandar.

Sambutan secara besar-besaran diadakan di Dataran Shahbandar pada malam ini bersama Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said bagi meraikan kejayaan itu bersama peminat dan pemain.

Terengganu menamatkan kemarau selama 11 tahun untuk menjulang Piala FA selepas berjaya menumpaskan Kelantan 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam semalam (11 Jun).