Halaman

13 June 2011

TERENGGANU HANELANG- TERUS MENGEKALKAN KUASA BARU SUKAN TERMASUK BOLA SEPAK NEGARA

Oleh: Ruslan Abdul Rahman-Pengarang Teganukita.




Bukanlah sesuatu yang mudah untuk mencipta kejayaan berganda dan berturut-turut,melainkan bermula dari persiapan yang rapi dan kecaknaan yang tinggi.

Kejayaan berganda Terengganu apabila menjuarai dalam tempoh masa yang sama iaitu juara bolasepak Piala FA Sabtu lalu dan keesokkannya (kurang dari 24 jam selepas itu) diumumkan pula menjuarai SUKMA buat kali ketiga berturut-turut.




Dalam usaha mempastikan kemenangan dalam Final Piala FA sekaligus menjuarainya dengan mengalahkan Kelantan 2-1, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkali-kali meminta supaya pasukan bolasepak Terengganu mesti memperbaiki segala kelemahan sebelumnya dan menunjukkan prestasi dan semangat juang yang tinggi.

Pada sidang akhbar, Rabu selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri beberapa hari sebelum perlawanan akhir Piala FA, Dato’ Seri Ahmad beberapa kali memberi peringatan berkaitan.

Dipetik peringatan Dato’ Seri Ahmad:

“Saya berharap pasukan Bola Sepak Terengganu dapat membaiki mutu permainan mereka menjelang perlawanan akhir Piala FA menentang Kelantan di Stadium Nasional Bukit Jalil.



Saya mengakui berlaku kemerosotan pada pasukan Terengganu pada perlawanan terakhir di gelanggang sendiri semasa menentang Kelantan dalam pertandingan Liga Super Isnin lepas, saya menyaksikan permainan Pasukan Terengganu baru-baru ini dan mendapati ada satu kelemahan paling ketara iaitu berlaku kemerosotan mutu perlawanan, tetapi harap tidak berlaku lagi dalam perlawanan akhir Piala FA Sabtu ini, biarlah mereka berjuang hingga ke penghujungnya”.

Pada sebelah malam sehari sebelum perlawanan, Dato’ Seri Ahmad makan bersama dengan para pegawai dan pemain dan menerima ikrar janji pemain untuk berjuang habis-habisan membawa pulang Piala FA 2011 ke Terengganu.

Ini bermakna pesanan keramat Menteri Besar dan kesungguhan menyuntik semangat kepada pegawai dan pemain adalah menjadi asas perjuangan tinggi bagi kemenangan ini.

Sudah tentu peringatan Menteri Besar ini menjadi bekalan kepada barisan pegawai dan pemain bolasepak Terengganu di Bukit Jalil sehingga sanggup berjuang hingga ke penghujung waktu tanpa rasa penat dan jemu atau kecewa.

Walaupun sudah ‘lemas’ dengan ketinggalan yang berlarutan, tetapi pemain tidak hilang punca, berusaha dan terus berusaha hinggalah kira-kira 20 saat terakhir di masa “kecederaan” mampu menyamakan kedudukan semula, menyebabkan kedudukan seri dan masa tambahan untuk penentuan.



Sehinggalah dalam masa tambahan, Terengganu berjaya memperolehi jaringan kemenangan; bermakna perjuangan pemain Terengganu hingga ke saat akhir, memegang peringatan/pesanan Dato' Seri Ahmad.

Manakala SUKMA kali ke 14 pula di bawah pimpinan Ketua Kontinjen, Dato’ Wan Ahamad Wan Muda menempa kejayaan sebagai Juara untuk kali ketiga berturut-turut.

Mempertahankan juara adalah lebih sukar dari mengejar kejuaraan untuk kali pertama, lebih-lebih lagi ia berlangsung bukan di gelanggang sendiri.

Kejuaraan pertama memanglah di gelanggang sendiri, tetapi kejuaraan kedua di Melaka dan kejuaraan berturut-turut buat kali ketiga ini adalah di ibu kota negara.




Bermakna Terengganu bukan sahaja ‘hero’ di tempat sendiri tetapi juga ‘hero’ di luar. Tahniah kepada Dato’ Wan Ahmad,para pegawai, pengurus dan atlet SUKMA Terengganu yang dengan segala kesukaran mempertahankan kejuaraan buat kali ketiga dengan memperolehi 30 emas, 8 perak dan 12 gangsa.

Terengganu memperolehi pinggat emas ke 30 melalui acara bola baling lelaki.



Walaupun terpaksa bersaing sengit dengan Selangor (yang berjaya meraih 26 emas, 18 perak dan 28 gangsa) untuk merebut kejuaraan SUKMA 2011 ini, tetapi atas tekad dan kegigihan Terengganu mampu membuat pintasan juga di penghujung waktu, khususnya melalui penguasaan akhir dalam sukan air.

Di atas kemenangan berganda dan berturut-turut ini:

Tahniah kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, tahniah Dato’ Che Mat Jusoh, Presiden Persatuan Bola sepak Terengganu (PBSNT), tahniah kepada Ketua Kontinjen SUKMA Terengganu, Dato’ Wan Ahamad Muda (Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri-Pengurusan), tahniah kepada pegawai dan pemain bolasepak Terengganu, para pegawai serta atlet SUKMA Terengganu dan tahniah kepada seluruh rakyat Terengganu!!