Halaman

13 June 2011

Wira-wira Terengganu diarak bersama Piala FA

Oleh: Zulkipli bin CW. Putera


Skuad Terengganu bersama Piala FA diarak mengelilingi bandar Kuala Terengganu selepas pulang dari `medan pertempuran' perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kepulangan wira-wira Terengganu disambut meriah apabila hampir 5,000 penyokong setianya membanjiri ruang ketibaan Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), petang ini (12 Jun) selepas membawa pulang bersama Piala FA yang dimenangi malam tadi.



Kesemua pemain bersama piala kemudiannya diarak menaiki kenderaan pancuan empat roda dari LTSM melalui Kompleks Sukan Gong Badak dan Pekan Batu Enam seterusnya ke Manir, Durian Burung, Chabang Tiga sebelum memasuki Bandar Kuala Terengganu untuk ke Dataran Shahbandar.



Berpuluh-puluh buah kenderaan peminat pasukan itu termasuk motosikal turut mengiringi sambil mengibarkan bendera negeri dan membunyikan hon kereta sepanjang perjalanan dan disambut secara besar-besaran di Dataran Shahbandar bagi membolehkan peminat serta penyokong melihat piala itu dari dekat.





Terengganu menjulang Piala FA selepas menumpaskan Kelantan 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil yang pastinya menamatkan kemarau selama 11 tahun untuk menjulang piala berprestij itu.





Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan mengadakan rundingan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam masa terdekat untuk meletakkan Piala FA yang dimenanginya di Muzium Negeri Losong, Terengganu.



Datuk Che Mat Jusoh yang juga Presiden PBSNT berkata, bagaimanapun satu rundingan akan dilakukan bersama sama ada untuk menyerahkan kembali piala tersebut kepada FAM ataupun diberikan kepada negeri pemenang.

"Kita akan membuat rayuan terakhir dalam masa terdekat kepada pihak FAM bagi membolehkan meletakkan piala kebanggaan rakyat Terengganu di muzium negeri untuk menghargai jasa dan pengorbanan pemain selain untuk tatapan peminat," katanya.

Skuad Terengganu berjaya mencatat sejarah apabila menjadi penjulang terakhir trofi yang diperkenalkan pada 2005 itu, yang sempat digunakan untuk tujuh edisi kerana trofi baru akan diperkenalkan untuk edisi musim depan.



KLIK FOTO