Halaman

13 June 2011

Siti Rajiah dominasi ganjaran tertinggi

Oleh: Aida Abd Rahman



Ratu kanu Terengganu, Siti Rajiah Ali sekali lagi menjadi tumpuan apabila membolot enam pingat emas bagi acara sukan air di temasya Sukan Malaysia (Sukma) Ke-14 Kuala Lumpur 2011 yang berakhir semalam.

Walaupun gagal menyamai penampilan cemerlang ketika Sukma Melaka tahun lalu dengan kelebihan satu pingat emas, Olahragawati Harapan Terengganu 2009/2010 itu masih unggul mempertahankan gelaran atlet yang berjaya meraih pingat terbanyak pada edisi Sukma kali ini.
Malah, anak kelahiran Marang itu juga bakal menerima imbuhan tertinggi iaitu RM30,000 keseluruhan daripada kerajaan negeri hasil kejayaannya yang diraihnya secara individu serta berpasukan.

Bagi setiap pingat emas yang berjaya dikutip atlet Terengganu yang sah bergelar juara Sukma kali ini layak menerima RM5,000.

Acara kanu yang berlangsung tiga hari di Kompleks Sukan Air Putrajaya membawa atlet berusia 21 tahun itu mengutip dua emas menerusi acara K1 200 meter wanita dengan catatan 55.191 saat, manakala satu lagi pingat emas diperolehnya dalam acara K4 200 meter hasil gandingan bersama Abidah Nor Azaha, Norazlina Tajudin dan Nurul Farahim Wahab (47.909 saat).

Terdahulu, pendayung kelahiran Marang itu memperoleh pingat emas menerusi acara K1 1000 meter, K4 1000 meter, K1 500 meter dan K4 500 meter.

Sementara itu, rakan-rakan sepasukan Siti Rajiah turut cemerlang apabila menyumbangkan tiga lagi pingat emas untuk Terengganu bagi mengukuhkan kedudukan di tangga teratas pungutan pingat.

“Saya gembira dengan kejayaan yang diperoleh kali ini tetapi sedikit kecewa kerana gagal menyamai pencapaian yang saya lakar pada Sukma di Melaka tahun lalu.

“Ketika itu, saya berjaya meraih tujuh pingat emas, namun tahun ini hanya enam pingat emas sahaja,” kata Siti Rajiah.

Terengganu memonopoli acara kanu dan mendayung pada temasya kali ini apabila berjaya menuai 17 pingat emas (12 kanu, lima mendayung), dua perak (kanu) dan lima gangsa (dua kanu dan tiga mendayung).