Halaman

13 June 2011

Pasukan Piala FA dan kontinjen SUKMA Terengganu dirai malam ini

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Kerajaan Terengganu merancang untuk meraikan pasukan bolasepak Terengganu yang menjuarai Piala FA dan kontinjennya yang menjuarai Sukan Malaysia (Sukma) ke-14, dalam satu majlis besar-besaran, di Dataran Shahbandar malam ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, dijadualkan berangkat pulang ke Terengganu petang ini, bagi meraikan wira-wira tersebut yang telah mengharumkan nama negeri ini di bidang sukan.

Orang ramai, khususnya peminat sukan dijangka turut membanjiri dataran tersebut bagi meraikan kemenangan wira-wira mereka.

Teganukita difahamkan, Menteri Besar akan bergegas pulang dari Kuala Lumpur kerana menghadiri mesyuarat penting bagi membolehkan beliau turut hadir ke majlis yang penuh makna itu.

Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Encik Rosli Zakaria ketika dihubungi Teganukita mengesahkan Menteri Besar akan hadir pada majlis malam ini dan dijangka mengumumkan sesuatu yang bukan saja menggembirakan skuad Piala FA dan para atlet yang terlibat, tetapi seluruh rakyat Terengganu.

Rakyat seluruh negeri kini tertunggu-tunggu pengumuman rasmi daripada Menteri Besar berkaitan cuti umum bagi menghargai skuad Piala FA dan kontinjen Sukma.

Para pemimpin kerajaan dan badan-badan sukan turut dijemput menyertai majlis pada malam ini yang dijadualkan bermula selepas solat Isyak.