Halaman

15 June 2011

Terengganu idam Piala Malaysia

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Selepas menjuarai Piala FA 2011, kini skuad Penyu mengidam pula untuk mendakap Piala Malaysia bagi menambah koleksi pialanya.



Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu, Dato’ Che Mat Jusoh, berkata kemenangan pasukan itu ke atas lawan mereka Kelantan sebelum menjuarai piala berkenaan telah membakar semangat mereka untuk menang Piala Malaysia pula.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya berpuas hati kerana telah memenangi satu piala untuk musim ini dan mereka akan berusaha dengan lebih gigih bagi memastikan pasukan Terengganu turut menjuarai Piala Malaysia yang akan dimulakan selepas Hari Raya nanti.

Katanya, dorongan dan kata-kata semangat Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang banyak berkorban untuk melihat Terengganu menjulang piala dalam pertandingan bola sepak negara, akan menjadi azimat kepada pasukan itu untuk berjuang lebih gigih.

“Insya Allah, kita akan bermain bersungguh-sungguh dalam Piala Malaysia untuk muncul juara seperti Piala FA,” katanya ketika ditemui hari ini.

Beliau mengharapkan sokongan daripada peminat tempatan untuk membolehkan pasukan Penyu melawan pasukan lain yang turut berasing merebut piala kebanggaan rakyat Malaysia itu.

“Dengan berkat doa dan sokongan seluruh rakyat dan pimpinan negeri, kita harap impian itu dapat dicapai,” katanya.

Selain itu, pasukan Terengganu masih berpeluang merebut mahkota Liga Super setelah menewaskan pasukan T-Team 3-2 pada aksi malam tadi.

Terengganu berpeluang menjadi juara jika memenangi pertandingan terakhir dan dua pasukan lain iaitu Kelantan dan Selangor tumpas dalam pertandingan akhir mereka.