Halaman

12 June 2011

Terengganu jadi lokasi penamat LTDL 2012

Oleh: Aida Abd Rahman

Sesuai sebagai status negeri yang menjadi `kilang’ melahirkan jaguh sukan berbasikal negara dan mampu mengharumkan nama di persada antarabangsa, Terengganu diberi penghormatan apabila buat pertama kalinya dipilih sebagai destinasi terakhir perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012.

Sebelum ini, perlumbaan berprestij yang disertai pelumba seluruh dunia itu ditamatkan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.



Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pemilihan Terengganu dibuat sebagai memberi penghormatan kepada negeri itu atas usaha dan pelaburan mereka dalam menghasilkan ramai pelumba negara dalam acara trek dan lebuh raya.

“Penghormatan ini menjadi cabaran kepada negeri lain supaya mempunyai program pembangunan masing-masing dalam usaha mencungkil bakat baru dalam sukan berbasikal,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Imej dan Pengumuman laluan LTdL 2012, di Putrajaya, Selangor, Khamis lalu.

Dalam majlis itu turut berlangsung pertukaran memorandum persefahaman antara Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan wakil dari dua pasukan ProTour, Team garmin-Cervelo dan Pro Team Astana.

Malah, penganjuran tahun depan turut mempertandingkan kembali acara Ujian Masa Individu 20.3 kilometer (km) yang menjadi ujian getir setiap pelumba.

Dato’ Seri Ahmad Shabery berkata, penganjuran edisi ke-17 tidak melibatkan kos tinggi berbanding sebelum ini berikutan tidak melibatkan perlumbaan di Pulau Langkawi.

“LTdL adalah jenama dan tidak semestinya kerana namanya Le Tour de Langkawi jadi kita harus melalui Langkawi. Bagaimanapun, kita tetap akan adakan perlumbaan di pulau terbabit berselang-seli. Contohnya pada 2011 kita ke Langkawi, jadi 2012 kita beri peluang kepada negeri lain dan 2013 kita kembali ke pulau itu,” katanya.

Cabaran edisi ke-17 melibatkan perlumbaan sejauh 1,414.8km bermula dari Putrajaya pada 24 Februari hingga 4 Mac di Kuala Terengganu yang juga tuan rumah tiga peringkat bagi peringkat ke-8, 9 dan terakhir, 10.

Sebanyak 22 pasukan profesional termasuk tiga pasukan tempatan yang juga skuad kebangsaan termasuk Terengganu Cycling Team (TSG) dan Le Tua Cycling Team bakal membawa cabaran negara dalam LTdL yang bertemakan `Ready For The Wold' musim depan itu.