Halaman

18 June 2011

Aplikasi IT dalam pentadbiran kerajaan negeri

Oleh: Aida Abd Rahman

Penggunaan kemudahan teknologi maklumat (IT) akan diaplikasikan sepenuhnya dalam sistem pengurusan dan pentadbiran kerajaan negeri bagi menghantar serta menerima maklumat antara negeri, jabatan dan agensi di seluruh Terengganu menjelang September ini.

Pengarah Unit Pengurusan Maklumat negeri, Encik Che Abd Rani Mohd, berkata setiap perhubungan antara kerajaan negeri, jabatan serta agensinya akan menggunakan kemudahan e-mel, dan bukan lagi melalui surat biasa seperti amalan yang sering dilaksanakan sebelum ini.

"Usaha ke arah itu kini sedang giat dijalankan, yang mana setakat ini, hampir 85 peratus daripada sistem pengurusan maklumat telah dinaik taraf bagi membolehkan surat atau dokumen dihantar dengan cepat dan tepat melalui e-mel," katanya kepada pemberita pada majlis Program BESCOMM Bersama Masyarakat anjuran Bestari.Com dari Unit Pengurusan Maklumat Kerajaan Negeri di Kuala Besut, semalam.

Bagaimanapun, pelaksanaan itu tidak melibatkan dokumen penting dan terhad, yang masih menggunakan pos biasa, dan program tersebut juga melibatkan penghantaran surat serta maklumat daripada kerajaan negeri kepada pusat.

Mengulas mengenai penggunaan Internet di kalangan penduduk Terengganu, Che Abd Rani berkata pelbagai usaha dilakukan kerajaan negeri untuk menarik 85 peratus penduduk mempelajari ICT.

"Di kalangan remaja, termasuk pelajar sekolah, penguasaan Internet adalah sebanyak 50 peratus, manakala di kalangan warga emas dan penduduk kampung sebanyak 35 peratus," katanya.