Terengganu mempunyai kemudahan marina bertaraf antarabangsa dengan menyediakan kemudahan pelayar dari seluruh dunia termasuk penganjuran sukan Piala Monsun yang diadakan di negeri ini.
“Penganjuran rali perahu layar ini dijangka mampu mempromosikan pelancongan marin di perairan negara terutama di pantai timur,” - YB Datuk Haji Abdul Rahin Mohd Said
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, YB Datuk Haji Abdul Rahin Mohd Said berkata, rekod kedatangan dan penyertaan perayu layar ke negeri ini meningkat setiap tahun.
“Ini dapat diihat pada penganjuran 2008, 10 perahu layar dengan 20 pelayar manakala tahun lalu meningkat kepada 40 perahu layar dengan 80 pelayar,” katanya di majlis makan malam meraikan peserta Sail Malaysia Passage To The East (SMPTTE) di Ri-Yaz Heritage Resort & Spa Pulau Duyung, Kuala Terengganu.
Katanya, 35 perahu layar SMPTTE membabitkan 60 pelayar dari serata pelusuk dunia singgah di Bandaraya Kuala Terengganu sebelum berlepas ke Sarawak.
“Penganjuran rali perahu layar ini dijangka mampu mempromosikan pelancongan marin di perairan negara terutama di pantai timur,” katanya.
Selain itu katanya, program ini juga mampu menjadi platform bagi perkenalkan laluan pelayaran baru terutama di negeri ini yang belum diteroka sepenuhnya oleh komuniti pelayar antarabangsa.
Katanya, usaha dilakukan ini boleh memperkenalkan destinasi pelayar yang masih belum dikenali ramai memandangkan laluan di Laut China Selatan bukan laluan utama pelayar.