Halaman

13 June 2011

Si cilik dari Besut wakil Malaysia ke Doha

Oleh: Aida Abd Rahman

Si cilik berusia 12 tahun, Nurussyahamah Taqiah Nurunnajmi dari Besut bakal membawa cabaran negara ke Pusingan Akhir Tilawah al-Quran Kanak-Kanak Peringkat Antarabangsa di Doha, Qatar akhir bulan ini.

Murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Lubuk Kawah, Jerteh itu akan ditemani bapanya, Nurunnajmi Yaacob, 40 seorang guru yang berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Seri Payong, Hulu Besut ke negara Timur Tengah itu nanti.
Pemilihan anak kedua daripada empat beradik menjadi satu sejarah buat negara selepas lulus dua ujian saringan yang diadakan oleh kerajaan Qatar sebelum ini.

Lebih 4,000 kanak-kanak dari seluruh dunia termasuk Malaysia telah melalui proses saringan tersebut dan Nurussyahamah adalah antara 63 murid yang terpilih.

Tilawah Al-Quran itu dianjur oleh Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Qatar dan saluran TV Al-Jazeera.

Menurut Nurunnajmi, anak keduanya daripada empat beradik itu terpilih bersama dua lagi peserta negara selepas menjalani saringan pertama pada Februari lalu bersama 49 kanak-kanak dari seluruh negara dan diikuti saringan kedua pada April.

”Tiga orang termasuk Nurussyahamah melepasi ujian pertama pada Februari dan ujian kedua diadakan April lalu,” katanya.

Beliau berkata, Nurussyahamah meminati al-Quran sejak kecil dan telah mula membaca sejak berumur empat tahun.

Nurussyahamah pernah menjuarai tilawah al-Quran J-Qaf peringkat negeri pada 2007 dan 2008 serta tiga kali mewakili Terengganu ke pertandingan peringkat kebangsaan sekolah-sekolah Malaysia.