Halaman

24 June 2011

Kanak TPK mula hafaz surah

Oleh: Suriati Ali

Kanak-kanak berumur tiga dan empat tahun di 65 Taska Permata Keluarga (TPK) milik Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) di seluruh negeri ini mula menghafaz 23 surah lazim yang dijangka diperdengarkan kepada umum September nanti.

Pengurus Taska TPK Batas Baru, Kuala Terengganu, Puan Norhayati Omar, berkata menjadi rutin pagi bagi kanak-kanak di TPK menghafaz surah-surah lazim bersama ustaz dan ustazah sebelum memulakan pembelajaran dan aktiviti harian.

“Kanak-kanak berkenaan dipastikan peka dengan amalan itu supaya tidak ketinggalan. Mereka yang menunjukkan minat saja akan dipilih menyertai Program Menghafaz 23 Surah Lazim. “Ibu bapa disarankan membantu anak-anak menghafaz setiap surah dikehendaki di rumah supaya lebih cepat ingat dan lancar,” katanya.

Pengarah YPK Encik Mohd Safaruddin Mustaffa, berkata pihaknya mengharapkan jumlah lebih besar boleh dicapai kanak-kanak TPK dalam menghafaz 23 surah lazim pada tahun ini. “Untuk capai sasaran berkenaan, setiap pagi mereka perlu menghafaz beberapa surah sebelum memulakan aktiviti dan pembelajaran.

Ketika aktiviti pun dimulakan dengan sebutan ayat-ayat suci al-Quran agar setiap patah perkataan itu mudah melekat di hati mereka,” katanya Tahun lalu katanya, 735 kanak-kanak berusia tiga dan empat tahun boleh menghafaz 23 surah lazim dan tahun ini jumlah itu akan lebih meningkat lagi.



23 June 2011

SEM asah bakat pelajar

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri memberi komitmen tinggi kepada penganjuran pameran Schoolwide Enrichment Model (SEM) yang mampu mengasah bakat, potensi dan kreativiti pelajar di samping menjadikan proses pembelajaran lebih mencabar dan seronok.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, program ini mula diperkenalkan di Universiti of Connecticut, Amerika Syarikat.

“Sehingga ini 85 guru telah dihantar berkursus di universiti berkenaan yang bermula sejak 2005 hingga sekarang,” katanya kepada pemberita di majlis perasmian Pameran SEM di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) petang semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Pelajaran Terengganu, Encik Hashim Mohd Zin; Ketua Sektor Akademik Pejabat Pelajaran, Haji Zubir Embong dan Pengerusi T'Contra, Encik Mazlan Che Wil.

Katanya, usaha ini semata-mata untuk meningkatkan mutu kecemerlangan pendidikan di negeri ini di mana pelajar didedahkan dengan cabaran dunia sebenar supaya mereka bukan sahaja berjaya dalam akademik malahan juga menjadi pekerja cemerlang bila berada di dunia sebenar.

Menurut YB Haji Ahmad Razif, hasil penggabungan guru-guru dari sekolah kementerian, yayasan dan agama negeri yang mengikuti kursus di universiti itu lahirlah PersatuanPendidikan Bestari Negeri Terengganu (T’Confra) pada Mac lalu.

“T’Confra berfungsi sebagai badan penyumbang idea-idea penggayaan untuk kecemerlangan pendidikan dan memastikan program SEM dilaksanakan di sekolah-sekolah melalui kursus-kursus yang diadakan untuk guru-guru,” katanya.

Menurutnya pameran yang berlansung selama tiga hari bermula 21 Jun lalu diserta 24 buah sekolah elit, premier, Imtiaz dan agama negeri merangkumi 96 projek membabitkan 384 pelajar serta 120 guru pengiring.

Sementara itu Sekolah Menengah Agama (SMA) Atas Sultan Zainal Abidin, Batu Buruk memenangi tempat pertama dalam kategori Inovasi Terbaik, Dokumentasi Terbaik dimenangi SMA Khairiah Kuala Terengganu manakala Both Terbaik SMK Tengku Lela Segara, Marang.




T’Contra susun program pelajar pintar

Oleh; Esah Abdullah

Program Schoolwide Enrichment Model (SEM) merupakan satu blueprint untuk sesebuah sekolah meningkatkan keupayaan pelajar yang menjurus untuk menghasilkan program tersendiri yang unik berasaskan kajian lokaliti setempat.

Pengerusi Persatuan Pendidikan Bestari Negeri Terengganu (T’Contra), Encik Mazlan Che Wil berkata, demografi pelajar dan kekuatan dinamik sekolah itu sendiri akan menghasilkan kekuatan dan juga kreativiti.


“Program ini istimewa bagi pelajar pintar cergas untuk mengetengahkan bakat melalui gerak kerja yang mencabar minda dengan pembelajaran yang menyeronokkan,” katanya di majlis perasmian Pameran SEM di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) petang semalam.

Katanya, program ini membuka peluang kepada pelajar mengaplikasikan minat, pengetahuan dan idea kreatif mereka dalam bidang kajian yang diminati.

“Bidang kajian ini terdiri daripada pelbagai disiplin ilmu berdasarkan minat dan kecenderungan pelajar, kemuncaknya usaha kreatif dan kritis ini ditampilkan kepada umum untuk manfaat bersama,” katanya.

Selain itu katanya, pelajar yang terbabit dengan program ini menimba pengalaman melalui menjana idea, penerokaan hasilan dan hasilan produk yang menggalakkan pelajar berfikir diluar kotak.

“Kita merancang mana-mana produk yang mencapai tahap hasilan mampu dikeluarkan sebagai hasilan produk gunaan akan dipaternkan,” katanya.

Beliau berharap program SEM yang bakal diadakan setiap tahun ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh pelajar dan pengalaman menyiapkan tugasan yang diberi dapat mematangkan fikiran mereka.






Kerajaan negeri cakna rakyat – MB

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, mencabar pemimpin parti pembangkang supaya menamakan perkara-perkara yang masih belum dilakukan Kerajaan Terengganu bagi menjaga kebajikan penduduk negeri ini, khususnya di kalangan umat Islam.

Beliau berkata, sehingga ini semua keperluan penduduk terutama dari kalangan golongan miskin dan berpendapatan rendah sudah disediakan sama ada oleh kerajaan negeri mahu pun Kerajaan Pusat yang diterajui Barisan Nasional (BN).

“Kerajaan Terengganu memberi bantuan bermula dari keperluan sekolah anak-anak berupa biasiswa, bantuan uniform dan bantuan awal kemasukan ke asrama penuh hinggalah ke universiti.

“Manakala bantuan lain turut disediakan kerajaan di segi bantuan untuk ibu tunggal, fakir miskin dan memulakan perniagaan,” katanya ketika berucap merasmikan Mesuarat Agung Persatuan Masjid Daerah Kemaman di Dewan Sri Geliga Majlis Perbandaran Kemaman.

Hadir sama pada majlis itu, Pegawai Daerah Kemaman, Haji Kamil Othman, imam dan bilal seluruh daerah Kemaman.

Menteri Besar berkata, penduduk negeri ini tidak perlu keliru dengan hasrat pemimpin Pas kononnya parti itu dan rakan-rakan mereka dalam pakatan pembangkang mahu menubuhkan Negara kebajikan jika diberi peluang memerintah negara ini.

“Dulu Pas mendakwa mereka berjuang untuk Islam tetapi kini merea tukar kepada negara kebajikan pula. Apa yang saya nampak pemimpin Pas menggunakan Islam semata-mata untuk kepentingan politik mereka saja,” katanya.

Beliau berkata, Pas tidak perlu mencanangkan kepada rakyat bahawa mereka mahu menjaga kebajikan mereka kerana perkara itu sudah lama dilakukan Kerajaan Barisan Nasional.


MBKT giat laksana pembangunan untuk kepentingan penduduk

Oleh: Aida Abd Rahman

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sedang giat merancang membangunkan projek besar bagi memberi manfaat kepada penduduk di dalam kawasan perbandaran menerusi Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Datuk Bandar MBKT Dato’ Adzlan Mohd Dagang berkata, antara projek itu adalah membina Kuala Terengganu (KT) Central iaitu sebuah stesen bas baru yang serba lengkap di kawasan Bukit Besar, membina sistem perparitan di kawasan Kuala Nerus dan menaik taraf beberapa jalan di bandar ini.

"Peruntukan di bawah Kementerian Pengangkutan hampir RM80 juta bagi membina lingkaran jalan di dalam bandar raya untuk memastikan KT Central dapat beroperasi dengan lancar tanpa menyebabkan kesesakan lalu lintas.

"Projek ini bergantung kepada selesainya pengambilan semula tanah untuk jalan dan juga tapak bangunan di kawasan Bandar Baru Hiliran, Bukit Besar yang sedang berjalan melibatkan keluasan keseluruhan kira-kira empat hektar," kataya ketika sidang akhbar pada majlis mesra media di Kelab Eksklusif MBKT di Batu Buruk, Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir, Pengarah Penyiaran Kawasan Timur, Dr Nawiyah Che Lah; Presiden Kelab Wartawan Terengganu, Encik Ayob Mamat serta wakil pelbagai media cetak dan elektronik.

Selain itu, MBKT juga akan membina sistem perparitan di kawasan Kuala Nerus bagi menghindari banjir yang sering berlaku di situ.

Dato’ Adzlan berkata, kerajaan negeri telah memohon peruntukan daripada kerajaan pusat berjumlah kira-kira RM150 juta bagi projek di bawah RMK-10 itu.






MB minta penjawat beri perkhidmatan terbaik

Oleh: Suriati Ali



Dato' Seri Haji Ahmad Said menyempurnakan gimik pelancaran Karnival Sukan Pejabat-Pejabat Daerah dan Tanah Terengganu 2011 di Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail, Universiti Malaysia Terengganu, Kuala Terengganu. - Foto: Harish Fadzillah.

Penjawat awam di Terengganu diminta memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat bertujuan mengelak pandangan serong dan tohmahan terhadap mutu perkidmatan awam.

Memperkenalkan slogan `Merakyatkan Pentadbiran & Pembangunan’ dan mengamalkan sistem Sisih, Susun, Sapu, Seragam dan Sentiasa Amal (5S) antara pendekatan yang dilaksanakan bertujuan memberi kebajikan dan keselesaan kepada rakyat.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, dia menyarankan pejawat awam supaya tidak lupa mengamalkan etika mesra, jujur dan bertanggungjawab ketika menjalankan tugas.



“Pendekatan itu cukup penting berikutan mampu menaikkan imej jabatan di kalangan masyarakat,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Karnival Sukan Pejabat-Pejabat Daerah dan Tanah (Sudata) Terengganu 2011 di Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Terengganu, malam tadi (22 Jun).

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat; Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Nawawi Wan Ismail dan enam pegawai daerah lain.

Seramai 800 atlit mewakili tujuh Pejabat Daerah dan Tanah di seluruh Terengganu menyertai 14 acara pada kejohanan kali ketujuh itu.

Dato’ Seri Haji Ahmad memberitahu penganjuran sukan seumpama ini mampu meningkatkan tahap kesihatan, mewujudkan semangat tolenrasi dan kerjasama antara penjawat awam.

“Melalui kejohanan ini juga, ia mampu melahirkan lebih ramai kakitangan kerajaan yang berbakat dan berdisplin di samping dapat membudayakan sukan sebagai aktiviti sihat dalam kehidupan harian.



“Terengganu kini mampu menjulang nama di pelbagai ceruk negeri selepas berjaya meraih kejuaraan tiga kali dalam Sukan Malaysia (Sukma) dan merangkul Piala FA,” katanya.

Kerajaan negeri akan berusaha mengekalkan kecemerlangan ini selain berazam untuk terus mencipta pelbagai kejayaan dalam pelbagai bidang lain.


Sudata dapat pujian penonton

Oleh: Suriati Ali

Perarakan masuk kontijen- kontijen sempena Karnival Sukan Pejabat-Pejabat Daerah dan Tanah (Sudata) Terengganu 2011 di Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Terengganu, malam tadi (22 Jun) nyata memukau kehadiran ratusan penonton.

Rata-rata mereka mengakui ia seolah-olah mini penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) berikutan turut mempamerkan tarian kebudayaan dan tembakan bunga api.

Majlis perasmian yang disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat; Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Nawawi Wan Ismail dan enam pegawai daerah lain.

Seramai 800 atlit mewakili tujuh Pejabat Daerah dan Tanah di seluruh Terengganu menyertai 14 acara pada kejohanan kali ketujuh itu.

Haji Nawawi berkata, penganjuran acara sukan sebegini secara tidak langsung mampu memupuk nilai yang baik dari segi perhubungan dan persepakatan antara pegawai dan kakitangan di semua peringkat jabatan.

“Antara acara baru yang diperkenalkan dalam karnival kali ini ialah tenpin boling, boling padang, futsal, karom, congkak, paintball dan nyanyian.

“Tujuan penambahan acara kali ini bagi memperkenalkan sukan baru di kalangan atlet di samping mengekalkan permainan tradisional yang hampir ditelan zaman,” katanya



Ukom anjur Klinik Siber

Oleh: Azwa Shamsuddin (Pelatih UPM)

Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom) dengan kerjasama Penerangan UMNO Negeri Terengganu menganjurkan Program Klinik Siber selama tiga hari yang bermula 23 Jun 2011 (hari ini) bertempat di International Training Centre (ICT TATIUC), Teluk Kalong, Kemaman, Terengganu.

Program ini diadakan bertujuan mendedahkan pengguna atau pelayar Facebook, blog, Twitter dan pelbagai lagi media baru bagaimana untuk menyebarkan maklumat kerajaan negeri dengan lebih tepat dan beretika.

Melalui pendekatan sama, ia mampu mencapai matlamat ke arah melahirkan rakyat yang boleh menilai antara kebaikan dan keburukan berita siber.

Perasmian yang disempurnakan Ketua Penerangan UMNO merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Y.B. Haji Ahmad Razif Abd. Rahman itu, bermula jam 2.30 petang ini (23 Jun 2011).

Kira-kira 150 peserta terdiri daripada golongan belia dan veteran membabitkan lapan Parlimen di negeri ini menyertai program tersebut.

Pihak penganjur sentiasa berusaha mengadakan program seumpana ini berikutan mampu member pilihan kepada pembaca di mana sebelum ini hanya bergantung kepada akhbar harian untuk mengetahui maklumat terkini.

TDM serah untung, dividen terbesar RM28 juta kepada kerajaan

Oleh: Aida Abd Rahman

TDM Berhad membayar dividen dan keuntungan terbesar yang diraih Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) itu kepada kerajaan negeri dan agensi lain berjumlah RM28,810,458.17 bagi 2010.

Penyerahan cek dilakukan Pengerusinya, Datuk Roslan Awang Chik kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said selepas Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, semalam.
Pembayaran dividen itu dibuat kepada Terengganu Incorporated Sdn Bhd dan agensi lain (RM20,400,362.07) dan Perbadanan memajukan Iktisad negeri berjumlah RM5,412,000.

Agensi lain yang mendapat keuntungan usahasama adalah Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (RM2,861,543.10) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (RM136,553).

Sehingga kini, TDM sudah membayar RM81.8 juta dividen dan keuntungan usahasama kepada kerajaan negeri sejak bayaran pertamanya pada 2007.

TDM Berhad adalah syarikat pegangan pelaburan milik Terengganu yang tersenarai di papan utama Bursa Malaysia dengan menjalankan operasi berteraskan perladangan dan penjagaan kesihatan.

Ketua Pegawai Eksekutif TDM, Encik Badrul Hisham Mahari, pembayaran dividen kali ini adalah terbesar pernah dibuat TDM kepada pemegang saham jangka panjangnya, merupakan sebahagian daripada komitmen TDM untuk memberi ganjaran kepada pemegang saham dengan pulangan yang lumayan.

“Pembayaran dividen ini selari dengan prestasi memuaskan yang dicapai oleh TDM untuk 2010. Menjadi fokus kami untuk terus memberi ganjaran kepada para pemegang saham kami.

“Bagi memastikan kami mampu berbuat demikian, usaha berterusan perlu dilakukan bagi memajukan dua perniagaan teras kami dan memperbaiki kecekapan operasi. Hasilnya boleh dilihat melalui peningkatan pembayaran dividen kepada para pemegang saham,” jelasnya.

TDM akan terus mengagihkan dividen yang memberangsangkan kepada syarikat pemegang saham selaras dengan peningkatan pendapatan syarikat.





22 June 2011

Terengganu hantar 12 guru sertai kursus Confratute di Amerika

Oleh: Aida Abd Rahman



Kerajaan negeri menaja 12 guru besar dan pengetua dari sekolah terpilih seluruh Terengganu bagi mengikuti Kursus `Confratute’ di University of Connecticut, Amerika Syarikat sebagai kesinambungan program memperkasakan bidang pendidikan yang dilaksanakan sejak 2008 lalu.

Program yang bermula 10 hingga 15 Julai ini melibatkan kos RM3,800 bagi setiap guru mengikuti kursus yang meliputi 60 tajuk perbincangan, termasuk teknik pengajaran dan pembelajaran kreatif serta menyeronokkan pelajar.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, guru yang mendapat pendedahan daripada kursus itu akan berkongsi ilmu itu dengan guru lain serta mengaplikasikannya untuk pelajar di sekolah masing-masing bagi meningkatkan prestasi pelajar terutama yang bakal menghadapi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Sehingga kini, 72 guru dari seluruh negeri sudah mengikuti program itu sejak ia diperkenalkan empat tahun lalu.

“Selepas menamatkan kursus itu, guru berkenaan akan menjadi pelatih bagi melakukan penambahbaikan dalam pelajaran dan usaha Kerajaan Terengganu ke arah mencapai wawasan menjadikan Terengganu sebagai Negeri Anjung Ilmu serta merealisasikan program 201052,” katanya selepas mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, petang ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Pegawai Kewangan negeri, Dato’ Abdul Razak Ismail.

Sementara itu, Menteri Besar turut berpuas hati dengan prestasi pencapaian murid seluruh negeri dalam Ujian Pengesanan (OTI) 2 bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini menunjukkan peningkatkan berbanding tahun lalu.

Pencapaian itu meningkat kepada 24.93 peratus pada tahun ini, berbanding tahun lalu mencatat 24.43 peratus.

Malah, beliau berharap pada peperiksaan OTI 3 akan terus mencatat peningkatan sekaligus mencapai sasaran keputusan UPSR yang terbaik seluruh negara buat kali ke-11 berturut-turut tahun depan.

“Daripada keputusan OTI 2 dan OTI 3 ini boleh kita tafsirkan sebagai peningkatan pencapaian dalam objektif kita untuk memastikan program 201052, iaitu 20 sebagai peratusan keseluruhan A untuk UPSR tahun depan menjadi kenyataan.

“Sebagaimana kita sedia maklum, pencapaian anak Terengganu dalam UPSR pada tahun ini adalah 15.4 peratus, manakala tahun lalu 15.3 peratus. Walaupun hanya 0.1 peratus meningkat, Terengganu menjadi satu-satunya negeri yang mencatat peningkatan berbanding negeri lain yang semuanya merosot kerana mendakwa soalan UPSR agak sukar,” katanya.

Beliau berharap penekanan dan tumpuan khusus diberikan kepada semua pelajar yang bakal berdepan dengan UPSR yang berbaki beberapa bulan lagi bagi memastikan sasaran prestasi keseluruhan peperiksaan itu mampu dicapai.