Halaman

23 June 2011

T’Contra susun program pelajar pintar

Oleh; Esah Abdullah

Program Schoolwide Enrichment Model (SEM) merupakan satu blueprint untuk sesebuah sekolah meningkatkan keupayaan pelajar yang menjurus untuk menghasilkan program tersendiri yang unik berasaskan kajian lokaliti setempat.

Pengerusi Persatuan Pendidikan Bestari Negeri Terengganu (T’Contra), Encik Mazlan Che Wil berkata, demografi pelajar dan kekuatan dinamik sekolah itu sendiri akan menghasilkan kekuatan dan juga kreativiti.


“Program ini istimewa bagi pelajar pintar cergas untuk mengetengahkan bakat melalui gerak kerja yang mencabar minda dengan pembelajaran yang menyeronokkan,” katanya di majlis perasmian Pameran SEM di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) petang semalam.

Katanya, program ini membuka peluang kepada pelajar mengaplikasikan minat, pengetahuan dan idea kreatif mereka dalam bidang kajian yang diminati.

“Bidang kajian ini terdiri daripada pelbagai disiplin ilmu berdasarkan minat dan kecenderungan pelajar, kemuncaknya usaha kreatif dan kritis ini ditampilkan kepada umum untuk manfaat bersama,” katanya.

Selain itu katanya, pelajar yang terbabit dengan program ini menimba pengalaman melalui menjana idea, penerokaan hasilan dan hasilan produk yang menggalakkan pelajar berfikir diluar kotak.

“Kita merancang mana-mana produk yang mencapai tahap hasilan mampu dikeluarkan sebagai hasilan produk gunaan akan dipaternkan,” katanya.

Beliau berharap program SEM yang bakal diadakan setiap tahun ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh pelajar dan pengalaman menyiapkan tugasan yang diberi dapat mematangkan fikiran mereka.