Halaman

21 June 2011

JPNT bijak atur program pendidikan khas

Oleh: Suriati Ali



Usaha murni Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu mengetengahkan bakat terpendam pelajar pendidikan khas untuk tatapan khalayak umum secara besar-besaran sewajarnya menjadi contoh kepada pelbagai pihak.

Bukan mudah untuk memujuk, mengasah dan menggilap bakat golongan itu kerana ia memerlukan perhatian serius dan komitmen tinggi oleh tenaga pengajar serta warga pendidik golongan tersebut.

Timbalan Pengarah Pendidikan Khas Kementerian Pelajaran Malaysia, Encik Jalaludin Othman, berkata pihaknya bangga kerana Terengganu mampu melakukan yang terbaik dalam merencana sistem pendidikan khas termasuk mengatur program dan membuat persembahan pentas.



Katanya, dia mengakui bukan satu perkara mudah untuk melibatkan pelajar pendidikan khas terutama cacat penglihatan dan cacat pendengaran mengadakan persembahan pentas.

”Pelajar golongan ini mampu melakukan yang terbaik sama mereka dialiran perdana sekiranya pihak berkenaan bijak mendidik dan membimbing,” katanya ketika berucap sempena program Pentas Istimewa di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Isteri Menteri Besar yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil rakyat Terengganu, To Puan Seri Hajah Norliza Mahmud dan Ketua Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas, Encik Ngah Bidin.



Seramai 129 pelajar pendidikan khas membabitkan 14 sekolah menengah kebangsaan dan sekolah rendah di negeri ini mengadakan pelbagai persembahan pentas.

Antaranya termasuk drama muzikal, sajak, tarian, pentomin, silat, nyanyian, nasyid, tarian sewang dan dikir barat berisyarat.