Kerajaan Barisan Nasional (BN) sudah amalkan negara kebajikan sejak sekian lama dengan melaksanakan pelbagai bentuk bantuan untuk golongan miskin di negara ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu (BPUNT) merangkap Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, hasrat parti pembangkang untuk mewujudkan sebuah negara kebajikan sebenarnya sudah dilaksanakan oleh BN.
“Parti pembangkang hipokrit menidakkan apa yang telah diterima dan dinikmati dalam negara ini adalah hasil perjuangan UMNO,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Ketua-ketua Cawangan UMNO seluruh negeri di Taman Tamadun Islam (TTI) Pulau Wan Man, Kuala Terengganu petang semalam.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi BPUNT, YB Yahya Khatib Mohammad, Setiausaha, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang dan Ketua Penerangan, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman, Pengarah Strategi BPUNT, Datuk Dr. Rosli Mat Hasan serta Ahli-ahli Parlimen dan Ahli-ahli Dewan undangan Negeri (Adun) seluruh negeri.
Katanya, kerajaan sudah beri macam-macam bantuan dalam bidang pendidikan, kesihatan, rumah, pertanian, subsidi minyak dan sebagainya.
“Semua pemberian ini adalah untuk keselesaan dan kesejahteraan rakyat jelata, meringankan beban mereka dan saya nak tanya apakah semua ini tidak termasuk dalam kategori kebajikan,” katanya di hadapan lebih 1,000 orang yang mewakili 1006 cawangan seluruh negeri.
Dato’ Seri Haji Ahmad seterusnya berharap agar ketua cawangan tidak terpengaruh dengan parti pembangkang yang hanya untuk memecahkan belahkan perpaduan kalangan masyarakat Melayu Islam di negara ini.
“Beri penjelasan kepada penduduk di bawah jagaan masing-masing bahawa kerajaan BN sudah lakukan segalanya untuk kebajikan rakyat di negeri ini,” katanya.