Halaman

20 June 2011

Perjuangan Pas semakin menyimpang

Oleh; Esah Abdullah



Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu (BPUNT), Dato’ Seri Haji Ahmad Said menyifatkan parti Pas kini semakin jauh dari perjuangan asal mereka berikutan barisan muka-muka baru dalam kepimpinan parti itu dipilih dari bukan kalangan ahli agama.

Katanya, hanya tiga daripada lapan Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) parti berkenaan dilantik menyertai 22 jawatankuasa Pas negeri yang diumumkan oleh Pesuruhjayanya, Haji Abdul Wahid Endut.



“Kini sudah jelas perjuangan yang mereka laungkan selama ini untuk menegakkan negara Islam adalah hipokrit semata-mata dan kini hendak wujudkan negara kebajikan pula,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan ketua-ketua cawangan Umno seluruh negeri di Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, petang semalam.

Menteri Besar, berkata kepimpinan Pas negeri sekarang bukan lagi kepimpinan yang dibarisi golongan ulamak dan perjuangan mereka semakin menyimpang termasuk sanggup menggadai maruah bangsa dan agama demi mencapai cita-cita memerintah negara ini.



Menurutnya, dalam jawatankuasa baru mereka yang terdiri daripada tiga orang timbalan dan tiga orang penolong setiausaha itu jelas membayangkan mereka mempunyai masalah dalaman tetapi cuba menyembunyikannya.

Dato’ Seri Haji Ahmad kemudiannya meminta semua ketua cawangan terus memperkukuhkan jentera parti untuk menghadapi pilihan raya akan datang dan tidak memberi ruang kepada parti pembangkang untuk bertapak di mana-mana kawasan di negeri ini.



Katanya, oleh kerana tiada pemimpin yang kekal dalam dunia politik, setiap individu perlu berkompromi untuk membantu memberi kemenangan kepada rakan dalam parti apabila tiba masanya sebagai membalas jasa rakan yang pernah membantu tanpa mengira waktu untuk memastikan kemenangan kita dalam parti.

“Insya-Allah, berkat kejujuran dan keikhlasan yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) keyakinan rakyat semakin tinggi dan mereka mula dapat menilai yang mana kaca yang mana permata,” katanya.