Halaman

22 June 2011

Sektor perikanan dapat perhatian pelabur

Oleh: Suriati Ali

Sektor perikanan di negeri ini terus mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk enam pelabur dari luar Terengganu menyatakan minat mengusahakan projek ternakan ikan dalam sangkar di kawasan perairan laut.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Haji Asha'ari Idris berkata kerajaan negeri setakat ini telah menerima permohonan dari keenam-enam pihak itu yang merupakan usaha sama syarikat Malaysia dan dari luar negara.

"Syarikat berkenaan berminat menjalankan penternakan ikan kerapu serta siakap dalam sangkar di kawasan perairan Marang dan Dungun," katanya .

Katanya, bagaimanapun kerajaan sedang membuat penilaian teliti sebelum meluluskan perkara itu kerana mereka memohon menjalankan projek itu di kawasan perairan pulau sedangkan ia merupakan kawasan taman laut yang dilindungi.

"Kawasan pulau boleh melindungi projek mereka dari musim tengkujuh atau lain-lain bencana...jadi kerajaan terpaksa meneliti dahulu cadangan itu," katanya.

Asha'ari berkata banyak projek ternakan ikan dalam sangkar telah dilaksanakan di negeri ini, tetapi projek ternakan ikan dalam sangkar di laut terbuka yang dicadangkan itu merupakan yang pertama di negeri ini.