Halaman

19 June 2011

Perkaya jaga kebajikan anak-anak yatim

Oleh: Suriati Ali

Golongan anak yatim di negeri ini dinasihatkan supaya tidak menjadikan alasan ketiadaan kasih sayang serta sokongan daripada ibubapa menyebabkan mereka kurang berminat untuk belajar dan tidak cemerlang dalam peperiksaan.

Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (Perkaya), Dato’ Dr Tengku Mahmud Mansor, berkata mana-mana pelajar kematian ibu atau bapa tidak perlu berasa tersisih dalam menuntut ilmu kerana ada pihak bertanggunggjawab untuk membimbing dan memberi sokongan.

Katanya, di Terengganu, agensi kerajaan dan swasta mewujudkan pelbagai aktiviti serta program semata-mata ingin membantu meringankan beban selain mengelak golongan itu berasa tersisih.

Pihak kami mengakui masih terdapat segelintir anak yatim di negeri ini masih ketinggalan dalam pelajaran selain kurang berjaya menempatkan diri di universiti tempatan.

“Faktor itu berlaku mungkin disebabkan kurangnya sokongan moral, insan diharapkan iaitu ibu atau bapa berkahwin lain, dihimpit kemiskinan dan ganguan emosi.

“Bagi mengurangkan tekanan itu, pihaknya mengadakan pelbagai aktiviti, termasuk kelas tambahan, sukaneka, lawatan sambil belajar, bantuan pakaian sekolah, program anak angkat, motivasi dan kem jati diri,” katanya

Dato’ Dr Tengku Mansor turut memberitahu, seramai 200 anak yatim yang menuntut ilmu di Kolej Bestari, Setiu berjaya menamatkan pengajian masing-masing.

“Apa yang membanggakan, kesemua mereka mendapat keputusan yang memuaskan atau melepasi sasan yang diinginkan.

“Pelbagai pendekatan dilaksanakan termasuk memberi bantuan kewangan dan kelengkapan belajar semata-mata ingin merangsang minda dan memastikan matlamat itu tercapai.

"Antara pendekatan diambil adalah melalui lawatan sambil belajar ke beberapa universiti terkenal di seluruh negara,” katanya.

Katanya, langkah itu mampu memberi pendedahan kepada mereka untuk mengetahui cara hidup sebenar di kampus

“Selain pihaknya sentiasa memantau bagi mengenal pasti golongan itu berpotensi mencapai kecemerlangan dalam setiap mata pelajaran dan peperiksaan utama..

“Bagi mereka yang cemerlang, ia tidak menjadi masalah untuk melanjutkan ke mana-mana Institusi Pengajian Tinggi Awam IPTA kerana Perkaya sentiasa membantu daripada pelbagai aspek sama ada kewangan dan moral,” katanya.