Halaman

21 June 2011

Terengganu sasar kekal juara Sukma kali keempat

Oleh: Aida Abd Rahman


Gambar fail.

Terengganu mensasarkan 58 pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) Ke-14 Pahang tahun depan sebagai misi untuk mengekalkan kejuaraan dalam temasya itu buat kali keempat berturut-turut selepas meraihnya pada Sukma 2008 sehingga 2011 yang lalu.



Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat, berkata kerajaan negeri tetap optimis mampu mencapai sasaran itu berdasarkan persiapan awal serta strategi yang diatur dengan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) bersama setiap pengurusan pasukan dan jurulatih sukan masing-masing.

“Kita mengambil langkah awal dengan menyelaras dan memberi lebih fokus bagi melaksanakan program latihan yang lebih mantap menerusi dua fasa yang sudah digariskan.

“Strategi melalui beberapa fasa untuk memastikan kesinambugan kecemerlangan dalam Sukma melibatkan fasa pertama sedang berjalan yang dimulai sejak Januari hingga November ini, manakala fasa kedua bermula Disember ini hingga Jun depan,” katanya pada di majlis perjumpaan bersama pengurus pasukan dan jurulatih Sukma Ke-14 Pahang 2012, di Dewan Auditorium 1, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, petang ini.

Turut hadir, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Haji Zainal Abidin Hussin dan Timbalannya, Encik Ibni Amin Busu.

Sehingga kini, Sukma edisi ke-14 dijangka mempertandingkan 18 sukan wajib seperti olahraga, menembak, pencak silat, tenpin boling dan skuasy, manakala lima sukan pilihan pula adalah tinju, golf, petanque, bola tampar dan ekuestrian.

Sementara kontinjen Sukma Terengganu dijangka bakal menyertai 24 acara sukan yang menawarkan lebih 100 pingat emas.

YB Haji Rozi berkata, pihaknya tetap yakin acara lain, selain kanu, mendayung dan judo yang menjadi penguasaan Terengganu pada temasya Sukma lalu namun tidak dipertandingkan pada temasya Sukma tahun depan, masih mampu memberi kutipan emas buat kontinjen Terengganu.

“Sebenarnya acara sukan lain, negeri kita masih mempunyai atlet yang bersedia menghadapi saingan untuk mengutip pingat emas, bagaimanapun acara mereka tidak dipertandingkan dalam Sukma baru-baru ini.

“Kita lihat tahun depan kerana acara seperti lumba basikal, olahraga, taekwando, silat dan angkat berat masih mampu menghadiah pingat emas untuk Terengganu,” katanya lagi.

Beliau berkata, kerajaan negeri menerusi MSNT sudah mengenal pasti acara tertentu yang harus diberi penekanan khusus dan lebih agresif bagi mencapai hasrat dan sasaran pingat itu.