Halaman

20 June 2011

Perkhidmatan bot penambang wajar dikekalkan

Oleh: Suriati Ali



Penduduk tempatan dan pengunjung luar Terengganu mengharapkan kerajaan negeri mengekalkan perkhidmatan bot penambang walaupun kini terdapat pelbagai kemudahan lain yang lebih canggih.

Pengangkutan berusia lebih 50 tahun itu masih diminati dan diperlukan orang ramai terutama penduduk dan peniaga yang tinggal di Seberang Takir untuk membawa barangan niaga atau ke mana-mana destinasi di sekitar Bandar Raya Kuala Terengganu.

Bermula dengan harga 20 sen untuk satu perjalanan ketika ia diwujudkan, kini menjadi RM1 namun ia masih tetap menjadi pilihan penduduk kerana menganggapnya masih murah.

Bukan tidak ada bas atau teksi namun kelaziman bagi mereka untuk menggunakan perkhidmatan bot tersebut kerana lebih cepat.

Bagaimanapun, jika dulu hampir 70 buah bot penambang yang beroperasi di sungai tersebut namun kini hanya tinggal 25 buah sahaja.

Ini kerana sejak Jambatan Sultan Mahmud siap dibina pada tahun 1980-an, penumpang bot penambang semakin berkurangan memandangkan lebih ramai yang menggunakan kemudahan jambatan tersebut.

Seorang penumpang, Zulkifli Zainuddin berkata perkhidmatan ini sewajarnya dikekalkan kerana ia menjadi pengangkutan tradisi sejak turun temurun lagi.

Katanya, dia akan membawa anak-anak menaiki bot penambang setiap kali tiba cuti umum atau hujung minggu.

“Kami cukup teruja menaiki bot penambang kerana dapat melihat pemandangan sekitar Bandar Raya Kuala Terengganu melalui jalan air.

“Jika bot penambang yang masih tinggal ini ditamatkan perkhidmatannya, sudah tentu generasi akan datang tidak dapat menggunakannya lagi,” katanya.

Seorang pengusaha bot penambang Ghazali Abdullah, 48, berkata dia mencari rezeki menggunakan bot penambang sejak 20 tahun lalu dan kini masih giat menjalankan aktiviti itu bersama rakan lain.

Katanya, perkhidmatan bot penambang sebelum ini hanya menggunakan bot yang menggunakan layar sahaja.

Namun kini semua bot penambang telah menggunakan enjin, tetapi kebanyakannya telah berusia hampir 20 tahun.

Beliau mengakui bahawa perusahaan bot tersebut semakin kurang mendapat sambutan daripada pengguna.Bagaimanapun perusahaan tersebut masih lagi diperlukan memandangkan permintaan penduduk tempatan yang menggunakan pengangkutan itu sejak dahulu lagi.