Orang ramai terutama penduduk tempatan mengambil kesempatan mengunjungi beberapa lokasi menarik sempena cuti kelepasan am yang diumumkan Menteri Besar Dato’ Ahmad Said sempena kejayaan pasukan Terengganu merangkul Piala FA dan kontijen negeri ini yang menjuarai Sukan Malaysia (Sukma) Ke-14 baru-baru ini.
Antara destinasi yang menjadi tumpuan termasuk, Pantai Batu Buruk, Taman Shahbandar, Muzium Negeri Terengganu, Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu; Taman Reakreasi dan Mini Zoo Bukit Takal, Kemaman dan beberapa pulau di negeri ini.
Tinjauan Teganukita di Pasar Besar Kedai Payang (PBKP), Dataran Shahbandar dan Pantai Batu Buruk mendapati, orang ramai sibuk dengan aktiviti masing-masing, ada di antara mereka membawa anak-anak menaiki bot penambang, bermain di taman permainan dan bersantai di tepi pantai.
Kakitangan kerajaan, Encik Mazlan Md Yusuf 41, berkata dia manfaat sepenuhnya sempena cuti umum hari ini (19 Jun) dengan membawa keluarga bersiar-siar di sekitar Bandar Raya Kuala Terengganu.
“Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberi cuti umum sempena kejayaan Terengganu merangkul Piala FA dan meraih kejuaraan Sukma. Cuti seumpama ini nyata dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan,” katanya.
Asmanira Alias, 30 dari Kampung Gemuruh, Tepoh, berkata dia membawa anak-anak menghabiskan masa lapang ke Taman Permainan Batu Buruk, Kuala Terengganu bagi memenuhi pemintaan mereka.
“Sebaik mengetahui Dato’ Ahmad mengumumkan cuti, anak-anak antara individu paling seronok dan terus mendesak supaya di bawa ke lokasi ini apabila tiba masanya,” katanya.