Halaman

21 June 2011

Insan istimewa mampu lakukan yang terbaik

Oleh: Suriati Ali



Isteri Menteri Besar yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil rakyat Terengganu, To Puan Seri Hajah Norliza Mahmud memberitahu insan istimewa yang ada pada hari ini cukup membanggakan semua pihak kerana mampu melakukan pelbagai perkara seperti individu normal.

”Tidak pernah terfikir golongan ini mampu berjaya dengan cemerlang dalam bidang akademik, sukan dan kokurikulum di pelbagai universiti tempatan.

”Orang ramai terutama keluarga dan Ibu bapa diminta memberi peluang serta ruang yang seluas-luasnya supaya anak-anak istimewa ini mampu berdikari dan tidak berasa tersisih,” katanya.

Katanya, apa yang lebih penting mempastikan mereka mendapat pendidikan khas di beberapa sekolah terpilih di negeri ini.



”Murid istimewa mempunyai potensi dan keunikannya tersendiri selepas dididik dan diasuh golongan ibu bapa dan guru.

”Sebagai insan normal, kita sewajarnya menabur bakti dan berbudi untuk murid pendidikan khas kerana perbuatan itu sangat mulia dan pastinya tersedia ganjaran pahala yang bukan sedikit,” katanya.



Menurutnya, warga guru hendaklah bangkit segagah-gagahnya untuk berjuang, berkorban dengan budaya kerja prestasi tinggi dan integriti untuk melahirkan modal insan murid istimewa yang terbilang dan beriman menerusi pendidikan Negeri Anjung Ilmu.

“Ibu bapa pula jangan pinggirkan mereka dengan menganggap beban sebaliknya berilah kasih sayang yang sempurna kerana anak istimewa ini adalah anugerah Allah,” katanya.