Halaman

22 June 2011

Terengganu hantar 12 guru sertai kursus Confratute di Amerika

Oleh: Aida Abd Rahman



Kerajaan negeri menaja 12 guru besar dan pengetua dari sekolah terpilih seluruh Terengganu bagi mengikuti Kursus `Confratute’ di University of Connecticut, Amerika Syarikat sebagai kesinambungan program memperkasakan bidang pendidikan yang dilaksanakan sejak 2008 lalu.

Program yang bermula 10 hingga 15 Julai ini melibatkan kos RM3,800 bagi setiap guru mengikuti kursus yang meliputi 60 tajuk perbincangan, termasuk teknik pengajaran dan pembelajaran kreatif serta menyeronokkan pelajar.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, guru yang mendapat pendedahan daripada kursus itu akan berkongsi ilmu itu dengan guru lain serta mengaplikasikannya untuk pelajar di sekolah masing-masing bagi meningkatkan prestasi pelajar terutama yang bakal menghadapi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Sehingga kini, 72 guru dari seluruh negeri sudah mengikuti program itu sejak ia diperkenalkan empat tahun lalu.

“Selepas menamatkan kursus itu, guru berkenaan akan menjadi pelatih bagi melakukan penambahbaikan dalam pelajaran dan usaha Kerajaan Terengganu ke arah mencapai wawasan menjadikan Terengganu sebagai Negeri Anjung Ilmu serta merealisasikan program 201052,” katanya selepas mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, petang ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Pegawai Kewangan negeri, Dato’ Abdul Razak Ismail.

Sementara itu, Menteri Besar turut berpuas hati dengan prestasi pencapaian murid seluruh negeri dalam Ujian Pengesanan (OTI) 2 bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini menunjukkan peningkatkan berbanding tahun lalu.

Pencapaian itu meningkat kepada 24.93 peratus pada tahun ini, berbanding tahun lalu mencatat 24.43 peratus.

Malah, beliau berharap pada peperiksaan OTI 3 akan terus mencatat peningkatan sekaligus mencapai sasaran keputusan UPSR yang terbaik seluruh negara buat kali ke-11 berturut-turut tahun depan.

“Daripada keputusan OTI 2 dan OTI 3 ini boleh kita tafsirkan sebagai peningkatan pencapaian dalam objektif kita untuk memastikan program 201052, iaitu 20 sebagai peratusan keseluruhan A untuk UPSR tahun depan menjadi kenyataan.

“Sebagaimana kita sedia maklum, pencapaian anak Terengganu dalam UPSR pada tahun ini adalah 15.4 peratus, manakala tahun lalu 15.3 peratus. Walaupun hanya 0.1 peratus meningkat, Terengganu menjadi satu-satunya negeri yang mencatat peningkatan berbanding negeri lain yang semuanya merosot kerana mendakwa soalan UPSR agak sukar,” katanya.

Beliau berharap penekanan dan tumpuan khusus diberikan kepada semua pelajar yang bakal berdepan dengan UPSR yang berbaki beberapa bulan lagi bagi memastikan sasaran prestasi keseluruhan peperiksaan itu mampu dicapai.