Kejohanan kuda lasak Sultan Mizan Cup 2011 yang akan diadakan pada bulan Oktober depan akan menonjolkan keunikan dan kecantikan batu karang yang terdapat di pulau-pulau di negeri ini, sebagai tema kejohanan bertaraf antarabangsa itu.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata batu karang yang tumbuh seperti Hutan Tropika di dasar laut negeri ini adalah yang tercantik di dunia dan menjadi warisan negeri Terengganu yang harus dipulihara dan dikekalkan untuk generasi pewaris.
Beliau berkata, tahun lalu kejohanan kuda lasak itu menyerlahkan tradisi dan warisan Terengganu melalui tema songket manakala tahun ini ia akan terus mempamerkan waisan negeri melalui tema batu karang (coral).
“Sultan Mizan Cup 2011 dijangka menarik penyertaan 90 penunggang dari 15 buah negara yang akan bertanding dalam acara 120 kilometer,” katanya pada majlis perasmian jenama dan logo baru Sultan Mizan Cup di Kampung M angkuk, Setiu hari ini.
Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin yang berkenan berangkat ke majlis itu, merasmikan jenama dan logo baru Sultan Mizan Cup.
Kejohanan itu yang dulunya dikenali The Sultan’s Cup Terengganu Endurance Challenge, telah menjadi acara sukan utama di Terengganu dan meletakkan negeri ini sebagai salah satu destinasi penting dalam kalendar sukan berasaskan pelancongan sejak 2006.
“Langkah ini (penjenamaan semula) akan menjadikan sukan ini acara terpenting di rantau ini dan sekaligus dapat membantu melonjakkan nama Terengganu sebagai destinasi sukan berkuda terunggul bukan saja di rantau ini, tetapi di peringkat
antarabangsa,” ujar beliau.
Menteri Besar berkata, bagi kejohanan Sultan Mizan Cup 2011, peserta dari negara Argentina, Australia, Bahrain, Chile, Perancis, India, Indonesia, Jepun, Kazhakstan, Qatar, Singapura, Korea Selatan, Thailand, UAE, Uruguay, Amerika Syarikat dan Malaysia akan mengambil bahagian.
Beliau berharap kejohanan tersebut bakal menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini dan seterusnya memberi peluang kepada rakyat tempatan memasarkan produk mereka.