Halaman

25 June 2011

Sikap sendiri faktor terbabit rasuah-YB Rozi

Faktor elaun bulanan yang rendah bukan punca utama mengakibatkan gejala rasuah, sebaliknya gejala itu banyak dipengaruhi oleh sikap atlet dan pemain bola sepak itu sendiri .

“Ada di kalangan pemain bola sepak yang menerima elaun mahal juga terlibat dengan rasuah, jadi gejala itu berpunca daripada sikap dan kesedaran kita sendiri. Jadi, elaun yang diterima besar atau kecil bukan faktor utama,”kata Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian rasuah yang menimpa pasukan Piala Presiden T-Team, ketika sidang media di majlis perjumpaan bersama pengurus dan jurulatih Sukan Malaysia Ke-14, Pahang 2012, di Dewan Auditorium 1, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Haji Zainal Abidin Hussin dan Timbalannya, Encik Ibni Amin Busu.

YB Haji Rozi berkata, atlet dan pemain khususnya pemain bola sepak pelapis dari skuad Piala Presiden perlu menjauhi kegiatan tidak sihat dan boleh menghancurkan masa depan mereka itu jika mahu kerjaya mereka dalam bidang sukan lebih menyinar.

“Saya harap mereka tidak terpengaruh dengan kegiatan `orang tengah’ yang berada di luar padang dan bertindak mengatur perlawanan dengan menawar wang dengan cara yang mudah.

“Jika mereka pemain di peringkat bawah atau masih di peringkat pelapis seperti Piala Presiden, mereka perlu menggandakan usaha supaya boleh ke tahap lebih baik dan mendapat tawaran gaji atau elaun yang lebih tinggi,” katanya lagi.

Menurutnya, setiap pengurusan bola sepak negeri mengikut garis panduan yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia dari aspek elaun dan gaji, malah pengurusan bola sepak Terengganu turut menyediakan elaun yang setimpal sebagaimana dilakukan pengurusan pasukan lain.