Halaman

24 June 2011

Laluan sehala elak jalan sesak

Oleh: Suriati Ali

Langkah Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengubah beberapa laluan utama di pusat bandar Kuala Terengganu sebagai jalan sehala mulai Mei lalu, nyata mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas dan kemalangan jalan raya.

Antara lokasi yang terlibat dengan sistem jalan sehala adalah persimpangan Sekolah Menengah Agama (SMA) Sultan Zainal Abdin Ladang melalui Taman Shahbandar dan seterusnya ke Pasar Besar Kedai Payang.

Datuk Bandar MBKT, Dato’ Adzlan Dagang, berkata sekiranya penyusunan semula jalan ini mendapat sambutan orang ramai, berkemungkinan MBKT akan menambah kawasan pejalan kaki di jalan itu bagi memberi keselesaan kepada orang ramai.

“Pada masa sama, MBKT akan mempertingkatkan kemudahan sedia ada bagi memenuhi keperluan pelancong tempatan dan luar Terengganu,” katanya.

Sebelum ini , MBKT turut mengubah beberapa jalan lain, termasuk Jalan Sultan Ismail, Jalan Cerong Lanjut, Jalan Bandar, Jalan Banggol, Jalan Kampung Tiong dan sebahagian Jalan Sultan Zainal Abidin.

“Setakat ini kita tidak mendapat maklumbalas yang tidak baik daripada mana-mana pihak. Malah, para peniaga juga tidak membantah tindakan MBKT menjadikan laluan tersebut sebagai jalan sehala,” ujarnya.

Malah, katanya, tindakan tersebut mampu melicinkan perjalanan kenderaan di kawasan berkenaan, termasuk sewaktu beberapa program besar diadakan baru-baru ini.

Beliau berkata, pihaknya menjalankan kajian terperinci sebelum mengubah sistem sedia ada bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku dan menyusahkan peniaga yang membuka premis mereka di sepanjang jalan terbabit.

“Papan tanda dan kain rentang turut dipasang di sebelah bahu kiri dan kanan jalan bertujuan tidak mengelirukan pengguna jalan raya,” katanya.

Pada masa yang sama, katanya, MBKT sedia menerima pandangan daripada mana-mana pihak bagi menambahbaik cadangan pengubahan laluan sekitar Bandaraya Kuala Terengganu.