Halaman

23 June 2011

Sudata dapat pujian penonton

Oleh: Suriati Ali

Perarakan masuk kontijen- kontijen sempena Karnival Sukan Pejabat-Pejabat Daerah dan Tanah (Sudata) Terengganu 2011 di Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Terengganu, malam tadi (22 Jun) nyata memukau kehadiran ratusan penonton.

Rata-rata mereka mengakui ia seolah-olah mini penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) berikutan turut mempamerkan tarian kebudayaan dan tembakan bunga api.

Majlis perasmian yang disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat; Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Nawawi Wan Ismail dan enam pegawai daerah lain.

Seramai 800 atlit mewakili tujuh Pejabat Daerah dan Tanah di seluruh Terengganu menyertai 14 acara pada kejohanan kali ketujuh itu.

Haji Nawawi berkata, penganjuran acara sukan sebegini secara tidak langsung mampu memupuk nilai yang baik dari segi perhubungan dan persepakatan antara pegawai dan kakitangan di semua peringkat jabatan.

“Antara acara baru yang diperkenalkan dalam karnival kali ini ialah tenpin boling, boling padang, futsal, karom, congkak, paintball dan nyanyian.

“Tujuan penambahan acara kali ini bagi memperkenalkan sukan baru di kalangan atlet di samping mengekalkan permainan tradisional yang hampir ditelan zaman,” katanya