Seramai 72 keluarga dalam daerah Marang yang ditimpa bencana ribut Sabtu lalu menerima sumbangan berupa barangan keperluan harian serta wang tunai daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Sumbangan di bawah Misi Bantuan Pasca Bencana KBS telah disampaikan oleh Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawasan Bukit Payong,Marang Zaidi Muda di Dewan Sivik, Bukit Payong, Marang petang semalam.
Hadir sama Timbalan Pengarah Cawangan Perhubungan Strategik KBS, Encik Ahmad Yusop Che Ros; Timbalan Pengarah Belia dan Sukan Terengganu, Encik Fauzi Ariffin dan Pengerusi Majlis Belia Negeri Terengganu, Mat Yusof Mat Ali.
“KBS memperuntukkan RM900,000 di bawah bantuan bencana dan sehingga ini RM300,000 telah dibelanjakan melalui 17 program misi bantuan di seluruh negara sejak mula diperkenalkan Oktober tahun lalu,” kata Encik Ahmad Yusof.
Katanya, melalui misi ini selain sumbangan bantuan makanan dan wang tunai, keluarga yang ditimpa bencana atau musibah akan turut dibantu melalui sumbangan tenaga sukarelawan seperti membaiki rumah rosak, memasak di tempat bencana dan membantu jika berlaku kemalangan atau kebakaran.
Menurut Ahmad Yusop, sehingga ini terdapat 15,000 sukarelawan bencana belia telah berdaftar di seluruh negara dan ianya diselaraskan oleh satu unit di bawah KBS bagi memudahkan penyelarasan dan bentuk bantuan disalurkan.
Katanya, setiap unit sukarelawan belia yang ditubuhkan itu membabitkan 50 hingga 200 belia bergantung kepada situasi di daerah dan negeri masing-masing.
Beberapa orang mangsa rebut ketika ditemui di majlis berkenaan mengucapkan berbanyak terima kasih kepada KBS menghulur bantuan dan turut berterima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri YB Haji Alias Abdullah yang menghulur bantuan segera termasuk atap dan sebagainya.