Halaman

29 June 2011

Kerajaan sedia terima kritikan

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Kerajaan negeri sedia menerima kritikan daripada golongan wartawan asalkan ia berupa kritikan membina dan ke arah menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat tempatan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata atas kepentingan rakyat, kerajaan sedia bertindak berdasarkan teguran pihak media dan membaiki segala kelemahan dalam sistem pentadbirannya.

“Bagaimanapun, pada masa yang sama kita mahu pihak media menyemak terlebih dahulu fakta dan kesahihan sesuatu berita sebelum menyiarkannya,” katanya sewaktu berucap pada majlis ramah mesra YAB Menteri Besar dengan media di Permai Inn, petang ini.

Program anjuran Unit Komunikasi Negeri (Ukom) itu turut dihadiri Pengarah Ukom, Haji Shamsuddin Sulong dan Timbalannya Ruslan Abd Rahman; Penyelidik Kanan, Hambali Abd Latiff dan Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Rosli Zakaria.

Menteri Besar berkata, tugas dan tanggungjawab yang dipikul oleh wartawan seakan sama dengan pemimpin kerajaan iaitu meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Wartawan menyiarkan kesusahan rakyat supaya pihak berkenaan membela nasib mereka manakala wakil rakyat menyediakan kemudahan dan keperluan rakyat,” ujar beliau.

Beliau berharap para wartawan dapat bekerjasama dengan kerajaan dan berganding bahu membela nasib rakyat di negeri ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan negeri sudah terlalu banyak menyediakan subsidi dan kemudahan kepada rakyat Terengganu.

Katanya, sebahagian besar daripada penerima bantuan am di negeri ini sepatutnya tidak layak diberi kemudahan itu jika mereka tinggal di negeri lain.

“Tetapi Kerajaan Terengganu terlalu baik hati dengan menyediakan macam-macam kemudahan untuk rakyat, asalkan mereka tidak susah,” katanya.




Kejohanan Motosikal Lasak Asia di Gong Badak

Oleh: Aida Abd Rahman



Lebih 150 peserta dari lapan negara dijangka menyertai Kejohanan Motosikal Lasak Asia yang akan berlangsung buat julung kalinya di Terengganu bertempat di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu bermula 14 hingga 16 Julai ini.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata kejohanan yang terbahagi kepada enam kategori melibatkan peringkat Asia serta kebangsaan itu menawarkan hadiah keseluruhan RM30,000.

Selain peserta seluruh negara, kejohanan turut melibatkan peserta dari Filipina, Thailand, Indonesia, India, China, Jepun, Mongolia dan Iran.

“Litar perlumbaan di kompleks Sukan, Gong Badak telah diubah suai dan dinaik taraf menjadi litar bertaraf antarabangsa bagi membolehkan kejohanan itu diadakan.

“Kemudahan sepanjang 1.3km dan mempunyai landskap yang cantik serta menarik, merupakan satu-satunya litar bertaraf antarabangsa yang ada di negara ini, “ katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, petang ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi mamat.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata kejohanan anjuran Kerajaan Terengganu dengan kerjasama kelab Sukan Bermotor Maju Selangor/ Wilayah persekutuan itu diiktiraf oleh Persatuan Automobil Malaysia (AAM) dan Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM).




Struktur bumbung Stadium Sultan Mizan tidak selamat

Oleh: Aida Abd Rahman



Kerja-kerja membaik pulih Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, dijangka mengambil masa lebih lama berikutan hasil kajian mendapati struktur bumbungnya di bahagian Timur yang tidak runtuh dalam kejadian dua tahun lalu, juga tidak selamat untuk digunakan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerosakan baru yang dikesan melibatkan beberapa tiang yang patah dan tercabut, malah berkemungkinan keseluruhan struktur bumbung itu perlu dirobohkan.

“Apa yang merungsingkan saya, `east wing’ (bahagian Timur) bumbung juga tidak selamat kerana ada yang sudah patah dan tercabut. Kajian juga sedang dibuat dan kemungkinan kita terpaksa cabut kesemua sekali kerana material yang `sub standard’.

“Kemungkinan besar akan buat semula (bumbung stadium) dengan cara lain dan antara pilihan memasang membran tekstil sebagaimana Stadium Merdeka kerana lebih ringan dan murah,” katanya ketika mengulas perkembangan kajian yang dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) terhadap stadium itu, selepas Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, petang ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat.

Katanya, berdasarkan taklimat JKR, banyak kerja tambahan baru yang perlu disiapkan oleh pihak konsultan. Malah, kajian yang menelan belanja lebih RM2 juta itu dijangka dapat siap sepenuhnya pada September ini.

Menteri Besar turut kesal berikutan bahagian padang juga memerlukan kerja penyelenggaraan dan pembersihan akibat ditumbuhi semak samun dan pokok liar sepanjang stadium itu ditutup sejak dua tahun lalu.

Beliau turut mengulangi rasa kecewa apabila dalam lawatan pada Disember lalu pihak JKR tidak memberikan cadangan supaya mengeluarkan permit khas bagi mengawal selia kawasan padang yang kini mengakibatkan peningkatan kos dan kerja penyelenggaraan sebelum stadium itu dapat diguna semula.

Dalam laporan media Isnin lalu, Menteri Besar melahirkan rasa kecewa kerana kajian terhadap stadium yang sebahagian daripada bumbungnya runtuh lebih dua tahun lepas masih belum siap.

Kerja pembersihan runtuhan di stadium itu telah selesai sejak beberapa bulan lalu selepas bumbung utama stadium itu runtuh pada 2 Jun 2009 sebaik sahaja digunakan ketika Terengganu menjadi tuan rumah Sukan Malaysia pada 2008.

Namun stadium itu masih terbengkalai apabila kerja baikpulih belum dapat dijalankan sehingga sekarang disebabkan kajian oleh konsultan belum selesai.



Rampasan peralatan kes SMS ugut ikut prosedur

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Pegawai Penyiasat kes ugutan bunuh melalui SMS yang membabitkan bekas Setiausaha Politik kepada mantan Menteri Besar Dato’ Seri Haji Idris Jusoh, iaitu Datuk Dr.Ahmad Ramzi Mohd Zubir, memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini bahawa semua peralatan berhubung kes berkenaan dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan.

ASP Mohd Hadzwan Zulkefle memberitahu mahkamah pihaknya mengisi borang yang disedikan bagi mencatat segala butir-butir peralatan seperti telefon bimbit, kad sim dan komputer yang dikaitkan dengan kes tersebut, sebagai bahan bukti kes.

“Semua barang-barang itu ditanda dan dicatat segala butir-butir mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya pada perbicaraan hari ini.

Beliau menunjukkan kepada mahkamah semua bahan-bahan bukti berupa telefon bimbit, kad sim, komputer dan laporan analisa kandungan SMS yang dikaitkan dengan kes tersebut.

Prosiding hari ini lebih bertumpu kepada mengecam dan mengenal pasti pelbagai peralatan yang dirampas polis daripada tertuduh dan saksi-saksi yang terlibat dengan kes berkenaan.

ASP Mohd Hadzwan memberitahu mahkamah semua telefon bimbit yang dirampas daripada tertuduh dan semua saksi, termasuk tiga Ahli Dewan Undangan Negeri iaitu YB Dato’ Haji Rosol Wahid (Ajil), YB Haji Abd Halim Jusoh (Permaisuri) dan YB Haji Mohd Ariffin Abdullah (Paka), direkodkan mengikut peraturan.

Perbicaraan kes termasuk yang menyaksikan lebih 20 saksi memberi keterangan mereka, dilakukan di depan Hakim M.Bakri Abd.Majid.

ASP Mohd Hadzwan yang merupakan Pegawai Penyiasat kes itu merupakan saksi terakhir yang memberi keterangan dalam perbicaraan.

Dato’ Dr Ahmad Ramzi didakwa atas empat tuduhan menghantar ugutan jenayah menerusi SMS iaitu bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa mengancam mendatangkan kematian ke atas Adun Paka, Mohd Ariffin Abdullah pada pukul 11.21 malam, 13 April tahun lalu di E-726 Kampung Kubang Parit.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan yang sama ke atas dua lagi Adun, Abd Halim Jusoh (Permaisuri) dan Dato’ Rosol Wahid (Ajil) antara pukul 11.21 dan 11.25 malam di tempat dan tarikh yang sama.

Beliau turut didakwa atas tuduhan pilihan, menggunakan perkhidmatan internet bagi menghantar SMS berbunyi: "Baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?" kepada tiga Adun tersebut.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan jika sabit kesalahan, dia boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun.

Dr Ahmad Ramzi turut dituduh memfitnah Wan Ahamad Wan Muda, bekas Setiausaha Sulit Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said yang kini memegang jawatan Timbalan Setiausaha kerajaan negeri dengan menghantar SMS ugutan itu menggunakan nombor telefon bimbit 019 -9158369 milik Wan Ahamad.

Tertuduh diwaklili oleh peguambela Datuk Hazman Ahmad, Mohd Noor Mahmood dan Rosli Abdul Rahman.

Hakim M.Bakri menetapkan perbicaraan kes itu disambung semula pada 15 Ogos depan bagi memberi peluang pihak pendakwa dan peguambela menggulung hujah mereka.



YPKT wujud program untuk ibu tunggal

Oleh: Suriati Ali

Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) menyediakan pelbagai bantuan dan sokongan bagi meringankan beban golongan miskin, terutama ibu tunggal agar dapat meneruskan kehidupan dengan lebih terjamin.

Langkah itu bertujuan memastikan golongan berkenaan, khususnya mereka yang mempunyai anak masih bersekolah mampu menjalani kehidupan lebih berkualiti dan tidak tercicir daripada pelajaran.

Pengarah YPKT Encik Mohd Shafaruddin Mustafa berkata, seramai 7,722 penduduk termasuk 6,924 ibu tunggal dan selebihnya bapa tunggal di Terengganu dipantau YPK melalui program e-Kasih yang diwujudkan dua tahun lepas.

“Di samping bantuan berbentuk kewangan, barangan, kursus kemahiran juga ditawarkan bagi membantu golongan berkenaan membuka perniagaan kecil-kecilan serta kemahiran menjahit pakaian dan sebagainya.

“Pihak kami turut menyediakan pakar motivasi bagi sesi pemulihan emosi terutama mereka yang menghadapi tekanan perasan selepas kehilangan orang tersayang atau berhadapan masalah mendidik- anak-anak di zaman yang mencabar ini ,” katanya.

Encik Mohd Shafaruddin, berkata pihaknya mengabaikan golongan rakyat bermasalah sebaliknya menyediakan ruang dan peluang seluas-luasnya bagi membantu meringankan beban mereka.



PTG anjur kursus Pemantapan Pembangunan Tanah

Oleh: Suriati Ali

Kira-kira 100 peserta berjaya mengikuti Kursus Pemantapan Pembangunan Tanah anjuran Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Terengganu di Dewan Teater, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu bermula jam 9.30 pagi hari ini (29 Jun).

Kursus sehari yang disampaikan sendiri Pengarah PTG, Tuan Mamat Tuan Ngah itu nyata menarik minat peserta yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pejabat Tanah Daerah serta Jabatan Perancangan Bandar dan Desa.

Program itu memberi fokus kepada pelbagai aspek termasuk berkaitan pengurusan tanah, kaedah permohonan untuk kelulusan serta kuasa Pentadbir Tanah dan Pengarah Negeri berhubung permohonan.

Agenda lain, syarat-syarat pecah sempadan dan pengeluaran hak milik kepada bahagian pecah sempadan.

Tuan Mamat berkata, kurusus seumpama ini mampu dijadikan sebagai landasan untuk menyeragamkan pengurusan tanah supaya tidak bercanggah dengan undang-undang ynag ditetapkan.

“Selain itu, dapat menyelesaikan permasalahan antara jabatan dengan sermpurna , memberi penjelasan secara mendalam berkaitan kajian tanah dan kajian kes serta meningkatkan kualiti kerja dengan efisyen apabila berususan dengan pelanggan,” katanya.

Meningkatkan kemakmuran dan kefahaman Undang-undang dan menyeragamkan pengurusan tanah antara PBT dan beberapa jabatan yang terlibat antara objektif utama kursus ini dianjurkan PTG.


70 pelajar ikuti pengajian di Rusia

Oleh; Esah Abdullah

Seramai 70 orang pelajar negeri ini terpilih untuk mengikuti pengajian dalam bidang perubatan di dua universiti di Rusia yang dijadual bertolak pada September depan.

Ketua Penolong Pengarah Tajaan Yayasan Terengganu, Encik Mohd Razali Mahmud berkata, pelajar terbabit kini sedang mengikuti kursus persediaan di Tati Universiti College (TATiUC) Kemaman, selama empat bulan.

“Di TATiUC pelajar terbabit mengikuti kursus Bahasa Inggeris, Matematik, Kimia, Bio, Basic Atonomi dan Bahasa Rusia,” katanya kepada Teganukita.

Katanya, tahun ini kerajaan memutuskan untuk menghantar pelajar mengikuti pengajian dalam bidang perubatan di dua universiti di negara berkenaan iaitu Moscow State Medical Universiti (MSMU) seramai 50 orang dan Volgograd State Medical Universiti (USMU), 20 orang.

Menurut Encik Mohd Razali, setiap pelajar akan menerima tajaan berjumlah RM300,000 seorang untuk tempoh enam tahun pengajian di MSMU manakala RM280,000 seorang di USMU.

Namun begitu katanya, jumlah sebenar mereka yang akan dihantar ke universiti berkenaan tertakluk kepada peperiksaan akhir mereka di TATiUC nanti.




Rombongan Dagang New Zealand intai peluang pelaburan di Terengganu

Oleh: Esah Abdullah

Keyakinan dan kepercayaan terhadap potensi pelaburan yang boleh diceburi di bumi Terengganu, delegai dagang yang mewakili beberapa syarikat dari New Zealand diketuai Pengarah Urusan New Zealand Unlimited Sdn Bhd, Mr Richard Tankersley telah membuat kunjungan sehari ke negeri ini.

Delegasi seramai 19 orang itu berpecah kepada tiga kumpulan dan melawat tiga sektor iaitu pembangunan pelancongan di Tasik Kenyir, Pusat Pembiakan dan Ternakan Tersat, Hulu Terengganu serta Projek Taman Ilmu di Besut.

Manakala lima yang lain terdiri daripada Mr Richard Tankersley dan Ketua Pegawai Kewangannya, Mr. Roger Skillen; Setiausaha Dewan Perniagaan Malaysia New Zealand, JP Sevaran Kaur; Setiausaha Pelaburan dan Ekonomi Suruhanjaya Tinggi New Zealand, Ms. Shannon Auatin dan Pengerusi Selset New Zealand Centre Sdn Bhd, Ir Yong Kee Chiang menjadi tetamu kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said di Wisma Darul Iman.

Pertemuan dan perbincangan yang berlangsung hampir sejam itu kemudiannya beralih ke majlis taklimat yang berkisar mengenai agenda Pembangunan Negeri Terengganu disampaikan Timbalan Pengarah (Sektoral) Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Haji Tun Ahmad Faisal Tun Abd. Razak.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, YB Toh Chin Yaw berkata, mereka amat berminat untuk menyertai beberapa peluang perniagaan di negeri ini termasuk bidang pelancongan, pendidikan dan pertanian.

“Dengan peluang melawat tempat-tempat berkenaan, mereka sudah ada gambar mengenai potensi yang boleh disertai di sini,” katanya kepada Teganukita selepas menyertai pertemuan wakil New Zealand dengan Menteri Besar, di Pejabat Menteri Besar, Wisma Darul Iman semalam.

Katanya dalam perjumpaan itu juga, mereka telah menawarkan kepada kerajaan untuk memberi ruang kepada pelajar di negeri ini mengikuti kursus dalam bidang-bidang tertentu di negara berkenaan termasuk usahasama dengan universiti tempatan di sini.




MB saksi raptai Ulek Mayang

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, turut menyaksikan majlis raptai Ulit Mayang sempena kejohanan sukan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia 2011 di Dewan Besar Wisma Darul Iman. - Foto: Harish Fadzillah.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, turut menyaksikan majlis raptai Ulek Mayang sempena kejohanan sukan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia 2011 yang bakal diadakan di Terengganu selama lima hari mulai 5 Julai ini.



Raptai berkenaan diadakan di Dewan Besar Wisma Darul Iman, malam tadi bermula jam 8.30 malam hingga 10.30 malam.

Turut menyaksikan raptai tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, YB Dr Haji A Rahman Mokhtar; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda dan Setiausaha Politik Menteri Besar, Encik Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.

Program Makan Malam Ulit Mayang akan diadakan sempena kejohanan sukan berkenaan yang melibatkan 14 pasukan dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.



Menteri Besar ketika diminta memberi komen mengenai persembahan tersebut berkata ia bertambah baik berbanding minggu lalu.

Beliau yakin mutu persembahan itu akan meningkat sebelum majlis sebenar diadakan dalam tempoh kira-kira dua minggu lagi.


28 June 2011

Edisi khas Hari Raya Harmoni papar MB dan isteri

Oleh: Aida Abd Rahman



Keluaran khas majalah Harmoni terbitan Utusan Karya bersempena Hari Raya Aidilfitri pada 1 Ogos ini akan menampilkan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud sebagai penghias muka depan majalah itu.

Pada masa yang sama, turut terdapat paparan artikel beserta gambar eksklusif Dato’ Seri Haji Ahmad dan To’ Puan Seri Norliza pada enam muka surat majalah yang berkonsepkan informasi mengenai kekeluargaan itu.

Penolong Pengarang Utusan Karya, Puan Rahaiza Ismail dengan dibantu jurugambarnya, Encik Abdul Fatah Sulaiman menjayakan sesi wawancara khas untuk keluaran itu, di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, hari ini.



Sebelum itu, Menteri Besar dan isteri memenuhi slot rakaman untuk program Syahadah sempena Hari Raya Aidilfitri terbitan Radio Televisyen Malaysia yang diketuai Pengurus Pemasaran/Jualan TV, Puan Nor Sanusree Ramli dengan dibantu tiga krew.

Turut hadir, Pengarah Yayasan Islam Terengganu, Tuan Haji Md Kamaru al-Amin Ismail. Sesi wawancara dan rakaman turut disertai lima kakitangan Bahagian Penerbitan dan Audio Visual Unit Komunikasi Negeri.

Menurut Puan Rahaiza, pihaknya sudah lama merancang untuk memilih Menteri Besar Terengganu itu sebagai penghias muka depan majalah terbitan syarikatnya, bagaimanapun kekangan masa menyebabkan perkara itu beberapa kali tertangguh dan hanya dapat dilaksanakan kini.

“Saya sangat teruja menemui pemimpin terkenal dan cukup merendah diri seperti Dato’ Seri Haji Ahmad dan isteri. Pada awalnya saya menyangka Menteri Besar seorang yang serius, rupa-rupanya persepsi itu tidak benar sama sekali.

“Dato’ Seri bukan hanya mudah mesra dan senang berbicara, malah dalam pertemuan ini, saya melihat sikap spontan beliau yang suka berjenaka serta wujud keserasian antara beliau dengan isteri dan keluarganya,” katanya.



Dalam wawancara itu, Dato’ Seri Haji Ahmad dan isteri mendedahkan kehidupan dan aktiviti harian yang dijalani beliau selepas bergelar Menteri Besar sejak 2008 serta dari sisi lainnya, peranan sebagai ketua keluarga dan juga bapa kepada empat anak hasil perkahwinan dengan To’ Puan Seri Norliza sejak 1984 lalu.

Beliau turut berkongsi pelbagai kejayaan Terengganu dan formula dilaksanakan yang mencetuskan kejayaan itu,selain produk pelancongan yang terdapat di negeri ini.