Halaman

29 June 2011

Struktur bumbung Stadium Sultan Mizan tidak selamat

Oleh: Aida Abd Rahman



Kerja-kerja membaik pulih Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, dijangka mengambil masa lebih lama berikutan hasil kajian mendapati struktur bumbungnya di bahagian Timur yang tidak runtuh dalam kejadian dua tahun lalu, juga tidak selamat untuk digunakan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerosakan baru yang dikesan melibatkan beberapa tiang yang patah dan tercabut, malah berkemungkinan keseluruhan struktur bumbung itu perlu dirobohkan.

“Apa yang merungsingkan saya, `east wing’ (bahagian Timur) bumbung juga tidak selamat kerana ada yang sudah patah dan tercabut. Kajian juga sedang dibuat dan kemungkinan kita terpaksa cabut kesemua sekali kerana material yang `sub standard’.

“Kemungkinan besar akan buat semula (bumbung stadium) dengan cara lain dan antara pilihan memasang membran tekstil sebagaimana Stadium Merdeka kerana lebih ringan dan murah,” katanya ketika mengulas perkembangan kajian yang dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) terhadap stadium itu, selepas Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, petang ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat.

Katanya, berdasarkan taklimat JKR, banyak kerja tambahan baru yang perlu disiapkan oleh pihak konsultan. Malah, kajian yang menelan belanja lebih RM2 juta itu dijangka dapat siap sepenuhnya pada September ini.

Menteri Besar turut kesal berikutan bahagian padang juga memerlukan kerja penyelenggaraan dan pembersihan akibat ditumbuhi semak samun dan pokok liar sepanjang stadium itu ditutup sejak dua tahun lalu.

Beliau turut mengulangi rasa kecewa apabila dalam lawatan pada Disember lalu pihak JKR tidak memberikan cadangan supaya mengeluarkan permit khas bagi mengawal selia kawasan padang yang kini mengakibatkan peningkatan kos dan kerja penyelenggaraan sebelum stadium itu dapat diguna semula.

Dalam laporan media Isnin lalu, Menteri Besar melahirkan rasa kecewa kerana kajian terhadap stadium yang sebahagian daripada bumbungnya runtuh lebih dua tahun lepas masih belum siap.

Kerja pembersihan runtuhan di stadium itu telah selesai sejak beberapa bulan lalu selepas bumbung utama stadium itu runtuh pada 2 Jun 2009 sebaik sahaja digunakan ketika Terengganu menjadi tuan rumah Sukan Malaysia pada 2008.

Namun stadium itu masih terbengkalai apabila kerja baikpulih belum dapat dijalankan sehingga sekarang disebabkan kajian oleh konsultan belum selesai.