Halaman

02 July 2011

Elak Facebook jadi medium tabur fitnah-MB

Oleh: Aida Abd Rahman



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengingatkan pemilik akaun laman sosial Facebook tidak menggunakan laman sosial itu sebagai medium untuk menabur fitnah kepada pihak lawan mahu pun pembangkang.

Katanya, dalam senario dunia tanpa sempadan, semua pihak kini semakin terbuka memberikan pandangan serta pendapat masing-masing khususnya dalam isu politik. Bagaimanapun, perkara itu haruslah berasaskan fakta yang kukuh.



“Kita harus faham bahawa fitnah itu suatu perkara yang amat dasyhat dan berdosa besar.Dalam kita menghakimi pihak lain, kita haruslah mempunyai fakta dan bukti yang tepat.

“Dalam kita melibatkan diri dengan perang siber sekalipun, jangan kita sehingga memfitnah orang. Saya juga tidak izinkan kakitangan dan pegawai saya membuat fitnah terhadap pihak lain dalam melancarkan perang siber ini,” kata beliau ketika berdialog bersama kira-kira 60 pemilik akaun Facebook di Majlis Temu Mesra YAB Menteri Besar Terengganu Bersama Facebooker, di perkarangan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, Bukit Besar, Kuala Terengganu, petang ini.



Turut hadir, Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail; Pegawai Pembangunan DUN Ladang, Dato’ Wan Hisham Wan Salleh; Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu, Encik Badrul Hisham Zaki.

Dalam pada itu, Menteri Besar turut mengambil masa kira-kira sejam bagi menjawab beberapa isu yang diajukan `facebooker’ yang terdiri daripada ahli persatuan Gerakan Kebangkitan Anak Muda Kuala Terengganu (Berani Berubah).

Dato’ Seri Haji Ahmad turut mencadangkan untuk mengadakan satu pertemuan khas dengan pengendali laman sosial berkenaan di majlis lain suatu masa nanti, memandangkan masa yang amat terhad pada pertemuan kali ini.

"Oleh kerana ada pelbagai perkara yang saya mahu kongsi dan beritahukan kepada saudara saudari semua, tetapi masa pada petang ini amat terbatas, kita akan aturkan program perjumpaan lain di masa akan datang," katanya lagi.