Halaman

26 June 2011

Anak yatim diminta tekun belajar

Oleh: Suriati Ali

Anak-anak yatim di Terengganu diminta meningkatkan mutu dan kualiti pelajaran masing-masing supaya mudah mendapat tawaran kemasukan belajar daripada mana-mana Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (Perkaya), Dato’ Dr Tengku Mahmud Mansor, berkata apabila berjaya tamat pengajian dan mendapat kerjaya yang sempurna, kehidupan keluarga akan lebih terjamin dan sempurna.

“Golongan ini perlu kuat semangat dan sewajarnya meneruskan usaha walaupun apa jua rintangan yang dilalui,” katanya ketika berucap di Majlis Minggu Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (Perkaya) Sekolah-sekolah Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam (25 Jun).

Dato’ Dr Tengku Mahmud turut meminta pihak luar supaya berganding bahu, membantu dan mempertingkatkan tanggungjawab terhadap anak yatim ke arah lebih baik sama ada melalui sumbangan moral atau material.

Penerima sumbangan yang juga murid Tahun Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Banggol Peradong, Nur Saibah Shahidah Ariffin, berkata pemberian pakaian raya ini, sangat dihargai kerana mampu meringgankan bebanan ibu yang terpaksa menyara kehidupan kami adik beradik selepas kematian ayah, Ariffin Ismail pada Mac tahun lalu.

Katanya, kehidupan kami kini ditanggung abang sulung, Saiful Arizzam, 18, yang bekerja sendiri.

“Kehidupan harian kami sekeluarga agak sukar selepas ketiadaan ayah yang meninggal dunia akibat penyakit barah usus.

“Saya berjanji akan belajar bersungguh-sungguh supaya dapat mengubah nasib keluarga dan membantu meringgankan beban ibu dan abang,” katanya.

Murid Tahun Enam Sekolah Rendah Bukit Wan, Nur Fatini Izati Mohd Halil yang kematian bapa ketika berusia dua tahun berkata, dia pernah mendapat bantuan serupa daripada pihak sekolah dan Jawatankuasa Kemajuan dan Kemajuan Kampung (JKKK) yang menyedari kehidupannya agak susah.

“Ibu tidak perlu memikirkan lagi keperluan pakaian raya saya, kerana apa yang diperoleh ini sudah mencukupi,” katanya.