Halaman

02 July 2011

Penduduk Ladang gembira dengan kehadiran Menteri Besar



Rata-rata penduduk di kawasan Ladang nyata gembira menerima kehadiran Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said bersama Isteri To’ Puan Norliza Mahmud yang mengunjungi kawasan mereka seawal jam 8 pagi tadi.

Program Sehari Bersama Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang itu adalah program kedua selepas berjaya bersua muka dengan hampir seluruh penduduk DUN Batu Buruk, baru-baru ini.

Antara majlis yang dijayakan di DUN Ladang adalah Perjumpaan Bersama Pengundi Cina, di Cerung Lanjut; Beramah Mesra Bersama Veteran, di Pasar Besar Bukit Besar; melawat kawasan banjir kilat, di Jalan Tekukur dan menghadiri jamuan rakyat di Sekolah Kebangsaan Pasir Panjang.

Seorang penghuni Ladang Gemilang Satu, Kiah Said, 50, berkata dia gembira kerana terpilih untuk menduduki pangsasuri tersebut yang nyata lebih selesa berbanding kediaman sebelum ini.

Katanya, pada mulanya dia dan anak-anak berasa janggal tinggal di pangsapuri itu berikutan tiada laman untuk bercucuk tanam selain perlu menggunakan kemudahan lif untuk pulang ke rumah.



“Tiada apa perkataan yang boleh diucapkan melainkan jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana sudi membantu meringankan beban penduduk Ladang daripada dikenakan kadar sewa tinggi,” katanya.

Haji Abdul Aziz Muda, 70, pula cukup kagum dengan sikap cakna Dato’ Seri Haji Ahmad kerana sudi meluangkan masa dan menjenguk keadaan penduduk DUN Ladang walaupun beliau dihimpit kesibukan tugas harian.



Katanya, program seumpama itu wajar diteruskan kerana melaluinya rakyat dapat meluahkan apa yang terpendam di hati selain dapat mengetahui lebih mendalam mengenai nasib penduduk.

“Saya yakin melalui pendekatan ini, rakyat mudah mesra dengan pemimpin secara tidak langsung DUN Ladang mempunyai peluang cerah untuk kembali ke tangan Barisan Nasional,” katanya .