Halaman

02 July 2011

PBT disaran tingkatkan imej perkhidmatan

Oleh: Suriati Ali

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu meningkatkan imej serta mutu perkhidmatan mereka bagi mengelak tohmahan dan cemuhan masyarakat akibat sistem yang tidak cekap.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said mengakui cabaran dan bebanan tugas di setiap PBT di seluruh negeri kini semakin mendesak hingga kadang–kala agensi berkenaan tidak mampu memenuhi kehendak pelanggan.

“Justeru itu, kita perlu banyak berubah dan berusaha mempertingkatkan imej sedia ada terutama berkaitan menjaga kebersihan di kawasan masing-masing termasuk yang menjadi tumpuan pelancong.

“Lokasi tumpuan pelancong perlu sentiasa berada dalam keadaan bersih bagi menjaga imej Terengganu di mata pelancong tempatan dan luar negara,” katanya ketika berucap di Majlis Makan Malam dan Penyampaian Hadiah sempena sukan tahunanan PBT, di Kediaman Seri Iman, Batu Buruk, Kuala Terengganu, malam tadi.

Hadir sama, Isteri Menteri Besar, To’ Puan Norliza Mahmud, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Dato’ Adzlan Mohd Dagang dan beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu sekiranya negeri berada dalam keadaan kotor dan tidak selesa, sudah tentu mereka akan membawa bahan berita yang kurang elok kepada rakan atau saudara di kampung halaman masing-masing.

“Keadaan ini nyata merugikan Terengganu terutama berkaitan ekonomi dan kehadiran pelancong.

“Tidak guna kerajaan menghebahkan dan membuat promosi mengenai keindahan dan keistimewaan Terengganu, jika PBT tidak mahu mengambil cakna mengenai kebersihan,” katanya.