Halaman

28 June 2011

Guru dan pelajar wajar diberi peluang aktif sukan

Oleh: Suriati Ali


Antara peserta Persidangan Kebangsaan Pendidikan Jasmani 2011 di Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan, Besut. - Foto: Zulkipli Putra.

Pentadbir sekolah diminta memberi galakan dan peluang kepada guru serta pelajar mengembangkan bakat dan potensi diri masing-masing dalam bidang sukan bagi mengelak ketandusan atlet.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata umpamanya menggalakkan mereka yang berkaitan menyertai pelbagai aktiviti dan kejohanan sukan di peringkat sukan mahupun negeri.



Katanya, suasana kehidupan sihat melalui aktiviti sukan dan kecergasan yang terdapat di kawasan persekitaran sekolah mampu melahirkan warga sekolah yang sihat, aktif dan berdaya maju. Situasi begini berpotensi melahirkan bakat sukan yang terkemukan pada suatu hari nanti.

“Pihak berkenaan juga sepatutnya mengenal pasti potensi dan kekuatan sukan yang boleh ditonjolkan di sekolah supaya menyerlah sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Pelajar memainkan peranan penting dalam melakukan anjakan paradigma pendidikan jasmani dan sukan. Mereka ke sekolah bukan sekadar mengejar kecemerlangan akademik malah perlu memahami bahawa bersukan juga dapat membina pembentukan diri yang sihat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Persidangan Kebangsaan Pendidikan Jasmani 2011, di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Mizan, Besut, hari ini (28 Jun).



Hadir sama, Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia Kementerian Pelajaran Malaysia Datuk Dr Haili Dohlan; Pengarah IPG Kampus Sultan Mizan, Dr Hajah Samsiah Mustafa dan Ketua Sektor Akademik Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Haji Mohd Zubir Embong.

Persidangan yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir 29 Jun ini mengumpulkan pensyarah dari pelbagai negara termasuk Thailand, India, Indonesia dan Singapura.



YB Haji Ahmad Razif turut memberitahu kerajaan menerusi persatuan-persatuan sukan mengadakan pelbagai program untuk membentuk ahli sukan sejak di bangku sekolah lagi.

“Mereka yang terpilih akan diberi latihan dalam acara sukan tertentu selain menjalani kehidupan seperti pelajar biasa di sekolah bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam aspek pendidikan jasmani. Pendekatan ini mampu melahirkan lebih ramai bakat-bakat muda yang profesional,” katanya.

Katanya, kesediaan ibu bapa menerima perubahan sangat penting kerana ramai ibu bapa pasti mahukan anak mereka menumpukan perhatian untuk kecemerlangan akademik.



“Ibu bapa sebagai tunjang keluarga perlu mengubah persepsi mereka mengenai dunia sukan ke arah yang lebih positif.

“Sukan bukan sahaja menjadi punca rezeki malah dapat meningkatkan maruahserta ekonomi negara. Oleh itu, ibu bapa perlu meberi sokongan penuh kepada anak-anak yang menunjukkan minat dalam bidang sukan.