Halaman

30 June 2011

Imam Makkah pimpin solat terawih

Oleh: Esah Abdullah



Seramai 32 imam dari negara Timur Tengah akan ditempatkan di masjid-masjid seluruh negeri bagi memimpin solat terawih sepanjang Ramadan nanti.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata daripada jumlah itu, 17 imam dari Mesir dan 15 dari Makkah, Arab Saudi.

“Jumlah ini melebihi tahun lalu, bagi memenuhi permintaan orang ramai yang ingin menunaikan menunaikan solat terawih bersama imam dari Makkah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Guru Kafa Terengganu (Perkat)
di Wisma Darul Iman hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman; Pengarah Yayasan Islam Terengganu, Haji Md Kamaru Al-Amin Ismail dan Pengerusi Perkat, Tuan Abdul Razak Tuan Yusof.



Katanya, dijangkakan imam berkenaan akan tiba ke negeri ini sehari sebelum puasa dan akan ditempatkan di masjid-masjid negeri serta daerah secara bergilir untuk memudahkan masyarakat di luar bandar menyertai solat berjemaah.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, 17 orang dari Mesir merupakan guru bahasa Arab yang mengajar di sekolah-sekolah agama negeri ini.

“Di samping mengajar bahasa Arab guru berkenaan boleh menjadi imam di masjid-masjid sepanjang bulan puasa kerana pemilihan mereka ke sini sbelum ini mengambil kira pelbagai sudut termasuk ilmu taranum yang baik,” katanya.

Mengenai imam dari Makkah pula, Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, mereka semangnya didatangkan khas untuk menjadi imam solat terawih di masjid-masjid sepanjang bulan Ramadan.


Pengerusi Perkat, Tuan Abdul Razak Tuan Yusof.

Sementara itu, tahun lalu seramai 31 orang iaitu 10 imam dari Makkah dan 21 dari Mesir yang juga guru bahasa Arab yang bertugas di negeri ini menjadi imam solat terawih sepanjang Ramadan.

“Program membawa imam dari Arab Saudi dan Mesir yang dimulakan dua tahun lalu, akan diteruskan setiap kali menjelang Ramadan kerana ia mendapat sambutan menggalakkan daripada jemaah selain dapat mengimarahkan lagi masjid,” katanya.